Browsing Tag

Aib suami isteri

POLIGAMI
Gaya Hidup,

Islam izin kongsi kisah rumahtangga selagi tidak aibkan pasangan

IBARAT membuka pekung di dada apabila media sosial kini menjadi medium popular masyarakat meluahkan rasa termasuk hal rumahtangga.

Terutamanya apabila melibatkan poligami atau curang yang begitu sensitif untuk dibicarakan, sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi dan fitnah dalam masyarakat.

Apa saja kisah rumahtangga yang berlaku pasti akan dikongsi di media sosial, adakah Islam membenarkan cara sebegini.

Menurut Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yuhaniz Mohd Yusop, Islam membenarkan perkongsian kisah rumahtangga untuk diambil pengajaran dan pelajaran selagi tidak mengaibkan dan memudaratkan sesiapa.

Katanya, terdapat banyak kisah rumahtangga baik dan bagus untuk dijadikan motivasi kepada orang lain.

Baca Juga Perbetulkan salah faham perihal poligami

“Kisah hebat ini adalah salah satu terapi buat kita untuk perbaiki diri. Kisah berunsur malang, kekecewaan, kesakitan, penderitaan dan trauma juga membuatkan kita sentiasa waspada serta berhati-hati dalam menjalani kehidupan.

“Bercerita dan berkongsi kisah rumahtangga ada kaedahnya. Jika kisah baik dan pasangan berkenaan tidak ada masalah untuk berkongsi dengan orang lain, maka buatlah dengan cara baik.

Twitter

MEDIA sosial kini menjadi medium popular masyarakat meluahkan rasa termasuk hal rumahtangga.. -Gambar hiasan/FOTO: CANVA.COM

“Jika kisah tidak baik dan apatah lagi pasangan akan rasa diaibkan jika perkongsian kisah mereka dikongsikan, maka rahsiakanlah pemilik kisah itu. Hanya perkongsian kisah sahaja yang dilakukan untuk sama-sama kita mendapat ibrahnya,” katanya.

Yuhaniz berkata lagi, tiada halangan dalam Islam untuk mengadu dan berkongsi masalah rumahtangga namun hanya kepada orang yang layak sahaja.

Mendapatkan nasihat daripada pihak berautoriti

Imam al-Ghazali menegaskan setiap masalah dihadapi pasangan suami isteri atau sebagainya hanya boleh dikongsikan kepada orang yang berautoriti atau layak bagi membantu dalam membuat keputusan dan tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan 

Dalam hal ini, katanya, setiap pasangan wajar mendapatkan nasihat daripada pihak berautoriti seperti kaunselor, pegawai khidmat nasihat dan peguam.

Sekiranya ingin berkongsi dengan orang sekeliling, seperti kawan rapat atau adik beradik, pastikan individu itu boleh menjadi pendamai.

Sayidatina Fatimah puteri Rasulullah SAW juga pernah menceritakan masalah rumahtangga beliau kepada Baginda.

poligami

WALAUPUN poligami dibenarkan agama, namun perkahwinan monogami lebih disarankan agar tidak berlaku kezaliman sesama pasangan. Foto: Unsplash

Sahl Ibnu Sa’d RA meriwayatkan Rasulullah SAW mendatangi rumah Fatimah dan Baginda tidak melihat Ali RA di rumah. Lalu Baginda bertanya: “Di mana suamimu?” Jawab Fatimah: “Tadi ada masalah denganku, dia terus marah kepadaku, lalu keluar. Siang ini dia tidak tidur di sampingku.”

Kemudian Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat mengenai keberadaan Ali. “Wahai Rasulullah, dia di masjid, sedang tidur.”Datanglah Rasulullah SAW ke masjid dan ketika itu Ali sedang tidur, sementara baju atasannya jatuh di sampingnya dan terkena debu. Lalu Rasulullah SAW mengusap debu itu, sambil mengatakan, “Bangun, wahai Abu Thurab… bangun, wahai Abu Thurab.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Turut Disyorkan Ada sebab mengapa wanita tak boleh berkahwin 4 dan amalkan poliandri

Suami isteri ibarat pakaian

Seterusnya, memetik perkongsian Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr. Ahmad Sanusi Azmi menyatakan dalam al-Quran, ALLAH memberikan perumpamaan bahawa suami dan isteri itu adalah ibarat pakaian yang saling menutup keaiban mereka, saling melindungi sesama mereka, dan memelihara dari disakiti.

Firman ALLAH SWT: “Isteri-isteri kamu itu adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah ayat 187)

“Menurut al-Raghib al-Asfahani, perumpamaan bahawa suami isteri itu seperti pakaian adalah kerana mereka seharusnya saling menutup keaiban dan saling memelihara air muka masing-masing.

“Janganlah dijadikan budaya bahawa setiap kesalahan atau kesilapan suami atau isteri itu dipamerkan dalam media sosial,” jelasnya.

Poligami
Gaya Hidup,

Suami Isteri Ibarat ‘Pakaian’, Jaga Aib Pasangan Masing-Masing

MEDIA sosial begitu ‘berkuasa’ pada era milenial kini. Masakan tidak, medium itu mampu menularkan informasi mahupun pelbagai jenis cerita hanya dalam masa yang singkat.

Apatah lagi jika ia melibatkan kisah sensasi atau menyayat hati sehingga menjadi topik hangat perbualan ramai.

Demikianlah penangan media sosial yang begitu berpengaruh dalam kehidupan kita pada hari ini.

Meskipun demikian, jika penggunaannya disalahgunakan, platform tersebut boleh mendatangkan dampak yang buruk bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga orang lain.

Apalagi andai kisah yang didedahkan itu berkaitan dengan pasangan dan perihal rumah tangga, seolah-olah membuka aib.

Dalam hal itu, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menegur tentang perbuatan mendedahkan keaiban pasangan.

DR AHMAD SANUSI

Beliau mengakui, perselisihan dalam rumah tangga pasti akan berlaku. Begitupun, ia bukanlah bermaksud kita dibolehkan berlaku tidak baik terhadap pasangan masing-masing.

“Sebaliknya, setiap pasangan hendaklah menjaga hubungan baik sesama mereka. Ingatlah bahawa Rasulullah SAW mencela pasangan yang mendedahkan keaiban pasangannya.

“Namun, seandainya pasangan telah melakukan kesalahan, dosa dan maksiat, sekiranya ia boleh diselesaikan dengan baik, selesaikan dengan cara yang sedemikian.

“Jikalau tiada solusi yang baik, maka mahkamah adalah tempat penyelesaian terbaik,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Dalam pada itu, pendakwah tersebut mengingatkan bahawa pendedahan berkaitan pasangan di media sosial bukanlah jalannya.

Ketahuilah bahawa ALLAH SWT memberikan perumpamaan dalam al-Quran bahawa pasangan suami isteri itu ibarat pakaian yang saling menutup keaiban dan melindungi sesama mereka, selain memelihara daripada disakiti, terangnya.

Menerusi kalam-NYA itu, ALLAH SWT berfirman: “Isteri-isteri kamu itu adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah, ayat 187)

Dr Ahmad Sanusi kemudian menukilkan pandangan al-Raghib al-Asfahani yang menyatakan, perumpamaan bahawa suami isteri itu seperti pakaian adalah kerana mereka seharusnya saling menutup keaiban dan saling memelihara air muka masing-masing.

Baca juga 5 Tip Cara Bergurau Senda Tanpa Undang Kemarahan Pasangan

Kata al-Raghib al-Asfahani lagi: “Dijadikan pakaian itu sebagai satu perumpamaan di dalam al-Quran bagi seorang suami adalah kerana suami akan menjadi pelindung buat dirinya dan isterinya daripada terdedahnya keburukan mereka berdua.”

Melihat ungkapan itu, jelas ahli akademik tersebut, ia adalah sebuah pengajaran penting pada era dunia hari ini yang mana ada pasangan yang saling mendedahkan aib sesama mereka.

Aib suami isteri

JANGANLAH membuka aib pasangan kerana Rasulullah SAW mencela mereka yang berbuat demikian.

Malah dalam sebuah hadis, katanya, Rasulullah SAW mencela lelaki yang mendedahkan rahsia sulit pasangan mereka.

“Dalam sebuah insiden yang lain, seorang wanita pernah datang dan mendedahkan kepada baginda SAW bahawa dia telah berzina. Rasulullah kemudian meminta wanita tersebut pulang dan memikirkan kembali pendedahan tersebut. Ini kerana ALLAH masih membuka ruang taubat untuk kembali kepada-NYA.

“Namun, seandainya kesalahan tersebut telah sabit, maka selesaikanlah dengan pihak berautoriti seperti mana yang digariskan dalam syariat Islam.

“Janganlah dijadikan budaya bahawa setiap kesalahan atau kesilapan suami atau isteri itu dipamerkan dalam media sosial,” nasihat beliau.

Justeru, berhati-hatilah dengan penggunaan media sosial masing-masing agar tidak menimbulkan fitnah kepada diri sendiri dan orang lain.

Foto: 123rf