Browsing Tag

AI

AI tak mencabar Tuhan
Aqidah,

AI tiada roh, tak boleh dianggap mencabar Tuhan

AI tiada roh, tak boleh dianggap mencabar Tuhan

KEBIMBANGAN terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) ada asasnya. Bukan sekadar output dikhuatiri tidak asli tetapi berkaitan isu salah guna hingga mendatangkan natijah buruk.

Paling menggusarkan apabila Al dianggap mencabar kuasa ALLAH SWT. Masakan tidak, kemudahan tersebut persis otak manusia yang mampu memahami dan menjawab segala pertanyaan.

Bagaimanapun, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berpandangan, kehadiran AI sama sekali tidak bertentangan dengan akidah Islam yang mengajar tentang ALLAH sebagai Tuhan Maha Pencipta dan tiada sekutu bagi-NYA.

Baca juga Teknologi AI sempurnakan fardu kifayah

Malah, katanya, manusia mesti bersyukur kepada-NYA kerana memberi petunjuk sehingga mampu mencipta akal tiruan yang boleh diprogram untuk membuat kerja sebagaimana dikehendaki.

“Secara mudah, AI adalah sistem komputer yang dibina untuk menjalankan tugas yang biasanya dilakukan oleh manusia dalam pelbagai bidang.

“Ia termasuklah teknologi maklumat, transaksi kewangan, media, bisnes, pembelajaran, perubatan dan lain-lain,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

DR WAN SALIM

Melihat kepada definisi dan peranannya, jelas agamawan itu, penciptaan AI tidak boleh sama sekali dianggap mencabar Tuhan.

“Bahkan, ia sekadar alat yang direka untuk meniru perbuatan manusia.

“AI tidak mempunyai roh dan sifat makhluk hidup,” tegas beliau.

Baca juga Jangan buat kerja Tuhan

Meskipun ada pihak tertentu mencanang bahawa tiada unsur keaslian bagi mereka yang menggunakan AI untuk memudahkan diri dan urusan kerjanya, Dr Wan Salim tidak bersetuju dengan pandangan sedemikian.

Menurutnya, keaslian masih wujud kerana hak cipta dimiliki sepenuhnya oleh individu yang memprogramkan AI untuk menyempurnakan tugasan.

“Ia jelas menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya buat masa ini, AI masih tidak dapat menandingi kecerdikan akal manusia yang dianugerahkan ALLAH.

“Sebaliknya, alat itu hanya mampu melakukan apa yang diprogramkan oleh manusia tetapi tidak mampu melakukannya sendiri. Alat yang ketiadaan roh tentunya tidak berkuasa melakukan kehendak sendiri,” terangnya.

Wujudkan garis panduan

Bagaimana pula pandangan Islam tentang kemudahan AI yang senang ‘diceroboh‘ untuk memudahkan kerja-kerja kreatif seperti penulisan, merekayasa gambar atau atur letak, memplagiat dan sebagainya?

Menjawab tanda tanya itu, Dr Wan Salim menjelaskan, apa juga rekayasa boleh disalah guna oleh orang yang tidak amanah dan integriti.

“Segalanya bergantung kepada hati nurani. Di sinilah letaknya kepentingan pendidikan rohani yang berperanan menyucikan hati dengan iman dan takwa.

AI tak mencabar Tuhan

PENCIPTAAN AI tidak boleh sama sekali dianggap mencabar Tuhan. Bahkan, ia sekadar alat yang direka untuk meniru perbuatan manusia. -Foto: 123rf

“Ingatlah, keunggulan dan keanggunan peribadi seseorang terbentuk sebagai hasil daripada keakraban hubungannya dengan Tuhan menerusi ibadah serta akhlak yang baik.

“Kombinasi iman, takwa, ibadah dan akhlak mampu membentuk keperibadian yang baik serta amanah kepada Tuhannya dan sesama manusia,” ungkapnya.

Dalam pada itu, tokoh agama itu turut sependapat dengan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri supaya diwujudkan garis panduan tentang AI agar tidak disalah guna.

Jelas beliau, ia penting agar perkara itu tidak membawa natijah yang merosakkan manusia dan makhluk-makhluk lain.

Baca juga Pasak nilai kemanusiaan dalam diri, jangan sampai bersifat seumpama haiwan

“Ini adalah tanggungjawab pihak kerajaan. Sebagaimana diketahui, agama Islam mewajibkan mereka yang diberikan kuasa pemerintahan supaya melakukan yang makruf (kebaikan) dan mencegah kemungkaran.

“Ia sepertimana kita memerlukan peraturan dalam bidang-bidang lain yang tidak boleh dicerobohi, maka begitu jugalah dalam AI.

“Perlu ada undang-undang tertentu yang bertujuan mengawal bidang ini supaya tidak dicerobohi sehingga boleh memesongkan matlamatnya yang baik iaitu untuk kesejahteraan hidup manusia,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan agar pihak kerajaan menerusi Bahagian Undang-undang Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Komunikasi dan Digital boleh menggubal undang-undang dan peraturan untuk mencegah pencerobohan hak cipta serta plagiarisme dalam teknologi AI.

AI tak mencabar Tuhan

UMAT Islam disarankan untuk menerima AI dan menggunakannya demi menyeru (dakwah) manusia kepada pembinaan masyarakat yang sejahtera. -Foto: Pexels

“Ia sebagaimana yang lazim dilakukan untuk melindungi hak cipta dalam pencetakan dan penerbitan hasil kreatif buku, filem dan sebagainya.

Sebelum mengakhiri bicara, Dr Wan Salim menitipkan pesan agar umat Islam menerima AI dan menggunakannya untuk menyeru (dakwah) manusia kepada pembinaan masyarakat yang sejahtera.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.