Browsing Tag

Ahli Sunnah Wal Jamaah

sesat
Berita Semasa, Pilihan Editor,

Ajaran Sesat Berselindung Di Sebalik Nama Agama

no comment

Terdapat beberapa kumpulan ajaran sesat di Malaysia yang pernah didedahkan oleh media secara meluas. Walaupun kumpulan ini dari segi luarannya mendakwa berlandaskan agama Islam, namun apabila diteliti sebaliknya, amalan mereka ini bercanggah dengan ajaran Islam.

Mengapa ajaran sesat bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah? Ahli Sunnah Wal Jamaah berasal daripada dua patah perkataan iaitu, “Ahl Al-Sunnah” dan “Al- Jamaah” yang memberi maksud golongan yang mengikuti pegangan Nabi SAW atau mengikuti jalan hidup Baginda SAW dan jemaah para Sahabat terutamanya Khulafa’ Ar-Rasyidin yang dididik oleh Baginda SAW.

Ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah meliputi ajaran-ajaran Islam mengenai akidah, syariah dan akhlak yang dibawa semenjak zaman Nabi SAW serta para Sahabat Baginda SAW.

Istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah diambil dan dirumuskan oleh ulama berdasarkan hadis-hadis Nabi SAW. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi daripada Abdullah Bin Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

“Sesungguhnya telah berpecah Bani Israel kepada tujuh puluh dua kelompok. Manakala umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga kelompok di mana kesemuanya akan ke neraka kecuali satu kelompok. Mereka bertanya: ‘Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?’ Baginda SAW menjawab: “Mereka ialah golongan yang berpegang kepada ajaranku dan para Sahabatku.”

Berdasarkan riwayat hadis tersebut dan riwayat-riwayat lain yang sama erti dengannya, para ulama telah membuat kesimpulan bahawa maksud mereka yang mengikut sunnah Rasulullah SAW dan para Sahabat adalah golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah satu pegangan yang berakar umbi daripada ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat Baginda. Kemudian, ia disusun dengan lebih bersistem dan teguh oleh ulama-ulama terkemudian terutamanya dua tokoh utama imam Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu, Imam Abu Al-Hassan
Al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur AlMaturidi.

Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan ajaran yang betul, lurus, selamat, jelas dan tiada kekeliruan padanya. Antara ciri utama pegangan akidah ASWJ adalah berpegang dan mentafsirkan hukum-hukum Islam berdasarkan empat sumber utama iaitu al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qias tanpa mengabaikan peranan atau kepentingan setiap satu daripadanya.

Inilah antara pegangan utama akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang perlu diberi perhatian agar ia dipraktikkan dalam kepercayaan (akidah), pengamalan (syariat) dan keperibadian (akhlak) kita sebagai seorang Muslim.

Sesungguhnya, apabila wujud kepercayaan, pengamalan dan keperibadian yang menyalahi pegangan tersebut maka ditakuti ia bukan berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dijanjikan selamat daripada penyelewengan dan kesesatan.

Mengenali ajaran sesat

Ajaran sesat didefinisikan sebagai sebarang ajaran yang didukung oleh orang Islam atau bukan Islam dengan dakwaan bahawa ajaran tersebut adalah berlandaskan ajaran Islam.

Sedangkan pada hakikatnya ajaran tersebut bertentangan dengan sumber utama Islam iaitu al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qias serta bercanggah dengan pegangan atau pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah, syariat dan akhlak.

Antara fahaman yang sesat dari sudut kepercayaan atau akidah adalah fahaman-fahaman klasik dalam pemikiran Islam yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti Syiah, Murjiah, Khawar, Qadariyyah, Jabariyyah dan Muktazilah.

Antara fahaman kontemporari yang sesat dari sudut kepercayaan atau akidah yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah seperti Nasionalisme, Sekularisme, Liberalisme, Pluralisme, Sosialisme, Kapitalisme dan Komunisme.

Malah di Malaysia beberapa ajaran sesat yang telah difatwakan sebagai ajaran sesat seperti Hizbut Tahrir, Millah Abraham, Tarekat Naksabandiyah Kadirun Yahya, Ajaran Nordin Puteh, Tarikat Mufarridah, Ajaran Hj Ghazali Othman, Ajaran Zamree Abd. Wahab (Ketupat Linux), Fahaman Syiah, Tarikat Al-Hasaniah, Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol, Ajaran Tah@Khadah Ali, Ajaran Islam Jamaah,
Qadiani@Ahmadiah, Ajaran Ilmu Hakikat Hassan Jonit dan lain-lain.

Antara fahaman yang sesat dari sudut pengamalan atau syariat ialah ibadah, ritual atau pengamalan yang diada-adakan menyalahi sumber syariat Islam iaitu al-Quran, As-Sunnah, ijmak dan qias. Contoh:

Mengamalkan solat yang wajib kurang atau lebih daripada lima waktu.
Mengguna pakai kaedah perlaksanaan zakat dan puasa yang menyalahi kaedah perlaksanaan yang sedia maklum.
Menunaikan haji bukan di Makkah atau dilaksanakan pada bulan selain bulan haji dan sebagainya.

Antara fahaman yang sesat dari sudut pengabdian atau akhlak antara hamba bersama Tuhannya seperti pengagungan ketua, guru atau tokoh manusia melebihi kedudukan kemanusiaan. Kebanyakan fahaman atau ajaran sesat dalam kategori ini berselindung di bawah nama tasawuf dan tarekat.

Mereka menisbahkan nama kumpulan dengan nama-nama tarekat sufi yang muktabar tetapi hakikatnya mereka tiada kaitan langsung dengan aliran tarekat tersebut. Dakwaan palsu itu boleh dikesan dari sudut wujud atau tidak pengazahan dan sanad sesebuah aliran tarekat yang menjadi sandaran.

Doktrin bermaksud prinsip atau kepercayaan yang dianggap benar dan satu-satunya yang dapat diterima sebagai kepercayaan seterusnya pengamalan. Doktrin ajaran sesat bermaksud beberapa prinsip atau kepercayaan yang menjadi asas kepercayaan seterusnya pengamalan kepada kumpulan-kumpulan ajaran sesat.

Antara doktrin ajaran sesat secara umumnya adalah:
Mengingkari Rukun Iman dan Rukun Islam.
Meyakini atau mengikuti akidah yang bercanggah dengan syarak.
Meyakini turunnya wahyu setelah al-Quran.
Mengingkari kandungan atau kebenaran al-Quran.
Melakukan pentafsiran al-Quran tanpa kaedah yang betul.
Mengingkari kedudukan hadis Nabi SAW sebagai sumber ajaran Islam.
Merendahkan para nabi dan rasul.
Mengingkari Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul terakhir.
Mengubah asas-asas ibadah yang telah ditetapkan syarak.
10 Mengkafirkan sesama Muslim tanpa dalil syarii.

Selain itu, antara bentuk-bentuk doktrin umum ajaran sesat adalah seperti dakwaan wujudnya agama atau ajaran baharu, kitab suci baharu selain al-Quran, nabi atau rasul baharu selepas Nabi Muhammad SAW, syariat baharu yang menyalahi syariat yang sedia dimaklumi dan tafsiran-tafsiran agama yang menyeleweng daripada al-Quran dan as-Sunnah. Kesemua doktrin atau dakwaan ajaran sesat tersebut adalah pencemaran terhadap ajaran Islam yang suci.

Kesimpulan

Islam adalah sebuah cara hidup lengkap yang meliputi segala urusan kehidupan manusia. Islam adalah agama yang mudah dalam erti kata sesuai dilaksanakan di semua keadaan, masa dan tempat serta sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Ia juga bermaksud Islam adalah agama yang bersifat sederhana, mudah, praktikal dan bertoleransi. Kerana itu penganut agama Islam disifatkan sebagai ummatan wasatan iaitu umat yang sederhana, adil, tidak berat sebelah dalam hal dunia dan akhirat serta seimbang dalam seluruh aspek kehidupannya.