Browsing Tag

ahli perniagaan

Nilofar
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Taliban Punca Perniagaan Wanita Islam Afghanistan Bakal Kembali Ke Zaman Gelap

no comment

SEJAK kumpulan militan Taliban semakin berkembang dan aktif di Afghanistan ketika ini, pereka fesyen, Marzia Hafizi, 29, merasa bimbang mengenai kelangsungan perniagaan terutama golongan wanita yang kebanyakkannya telah mengusahakan perniagaan sejak 20 tahun.

Pereka fesyen Marzia Hafizi berbual dengan seorang pekerja di butiknya Lora di Kabul, Afghanistan. Gambar: Thomson Reuters Foundation / Shadi Khan Saif

Marzia, yang membuka kedai pakaiannya di ibu kota Kabul sejak tahun 2018, telah memenuhi impiannya untuk bergelar ahli perniagaan di negara yang dianggap konservatif dan dikuasai kaum lelaki sejak zaman pemerintahan Taliban (1996 hingga 2001).

“Ramai rakan dan keluarga saya menasihati agar berhenti dan meninggalkan negara ini, tetapi saya nekad untuk terus mengusahakan perniagaan ini. Setidaknya saya berjaya mewujudkan peluang pekerjaan untuk mereka dan melihat Afghanistan maju,” katanya.

Ketika tentera asing yang dipimpin Amerika Syarikat (AS) keluar dari negara itu, Taliban telah memperoleh keuntungan wilayah di Afghanistan. Situasi itu menimbulkan ketakutan di kalangan wanita mengenai hak mereka termasuk soal pendidikan dan pekerjaan hingga kebebasan untuk bergerak.

Semasa pemerintahan Taliban, wanita diharuskan menutup tubuh dan wajah mereka dengan burqa dan dilarang keluar, bersekolah, bekerja atau meninggalkan rumah tanpa saudara lelaki.

Namun kini kumpulan militan itu mengatakan mereka akan berubah mengikut cara Islam sebenar dengan memberikan hak wanita dalam perniagaan, pekerjaan, harta pusaka dan pendidikan.
Pun begitu, keputusan tersebut masih di peringkat perincian dan akan diputuskan menurut syariah Islam. Begitupun ia tetap menimbulkan keraguan kepada golongan wanita.

Fawzia Koofi. Gambar: Indenpendent.co.uk

Kerajaan telah berjanji untuk tidak berkompromi mengenai hak wanita sebagai pertukaran untuk perdamaian tetapi perbincangan antara Taliban dan ahli politik Afghanistan masih gagal berjalan dengan baik.

Penganalisis Majlis Perisikan Nasional AS telah meramalkan situasi itu merugikan bagi wanita, walaupun tanpa kemenangan Taliban. Pihak mereka mengatakan keuntungan wanita dalam perniagaan kerana desakan tekanan dari luaran dan bukannya mendapat sokongan dari negara sendiri.

Fawzia Koofi adalah salah seorang daripada beberapa perunding wanita dalam rundingan damai antara ahli politik Afghanistan dan Taliban.

Fawzia yang terselamat daripada dua percubaan pembunuhan, mengatakan golongan wanita Afghanistan akan terus menentang dan tidak akan berpatah balik.

“Kami akan melakukan segalanya untuk menjaga hak wanita dalam masyarakat, kehidupan politik dan sosial, kami tidak mahu kembali ke masa lalu yang gelap,” katanya.

Kerjaya wanita Afghan jauh semakin maju sejak kebelakangan ini. Gambar: Thomson Reuters Foundation / Shadi Khan Saif

Wanita Afghanistan telah menyumbang kepada kemajuan besar sejak dua dekad yang lalu. Jumlah yang semakin meningkat telah menyelesaikan beberapa isu seperti pendidikan, bekerja seperti golongan lelaki termasuk menyertai politik, media, kehakiman, hospitaliti dan bidang teknologi.

Di bandar-bandar seperti Kabul, Herat dan Mazar-i-Sharif, wanita muda dapat dilihat berjalan bebas, menggunakan telefon pintar mereka, memakai pakaian barat dan bergaul dengan lelaki di kafe dan pusat membeli-belah.

Presiden Ashraf Ghani telah melantik wanita sebagai timbalan gabenor di semua wilayah dan memberikan mereka peranan sebagai menteri.

Wanita Afghanistan memegang 27 peratus kerusi di dewan parlimen mengikut kuota, malah melebihi jumlah 25 peratus di negara-negara antarabangsa lain, menurut Kesatuan Antara Parlimen.

Wanitanya memiliki hampir 60,000 perniagaan, terutama di Kabul termasuk restoran, salon dan kedai kraftangan, menurut Dewan Perdagangan dan Industri Wanita Afghanistan.

Nilofa Ayubi

Nilofar Ayubi, 28, yang mengendalikan firma reka bentuk dalaman, Maria Clothing yang terkenal dengan golongan elit Kabul, berkata, “Apa pun keadaannya, saya tidak akan menyerah pada pekerjaan saya. Sekiranya Taliban berkuasa, mereka harus membunuh saya atau membiarkan saya meneruskan pekerjaan saya,” katanya.

Di kawasan luar bandar, di mana keluarga konservatif dan Islamik radikal berkuasa, kebanyakan wanita masih memakai burqa dan hanya meninggalkan rumah untuk pergi ke hospital dan mengunjungi keluarga. Gadis-gadis terus diserah untuk dinikahkan kepada golongan lelaki yang lebih tua.

Ketua Organisasi Perdamaian dan Hak Asasi Manusia, Nezam Uddin, berkata, “masih banyak yang harus dilakukan untuk memperluaskan hak-hak kesihatan dan pendidikan yang sangat kurang kepada wanita di luar bandar.

“Bukan sahaja daerah yang dikuasai Taliban, tetapi semua daerah terpencildi bandar dan kampung. Masyarakat masih jauh ketinggalan dalam hal pembangunan dan layanan, bahkan dibandingkan dengan Kabul, apatah lagi dengan negara-negara serantau,” katanya.

Sumber: Independen.co.uk