Browsing Tag

Agihkan daging korban

Korban
Isu,

Cara Terbaik Agihkan Daging Korban

no comment

MESKIPUN suasana ibadah korban pada tahun ini terpaksa dilalui dengan prosedur operasi standard yang ketat, bersyukurlah kerana kita masih boleh melaksanakannya.

Apa tidaknya, ada negeri tertentu yang memutuskan untuk menangguhkan ibadah berkenaan pada tahun ini. Biarpun Hari Raya Aidiladha kali ini disambut dengan penuh kesederhanaan, namun raikanlah hari kebesaran itu dengan sebaiknya.

Walaupun saban tahun kita melaksanakan ibadah korban, namun persoalan berkaitan dengannya masih berlegar-legar dalam fikiran setiap kali tiba masanya.

Antara persoalan lazim yang sering kali diutarakan adalah tentang cara pengagihan daging korban. Sebenarnya, apakah cara terbaik dalam mengagihkannya menurut perspektif agama Islam?

Baca juga Haram Makan Daging Korban Kerana Kasihan Pada Haiwan Yang Disembelih?

Ketua Pembangunan dan Kesedaran Syariah, Bank Rakyat, Mohd Hanafiah Mohd Nawawi menjelaskan, secara asasnya, hukum melaksanakan ibadah korban menurut pandangan Mazhab Syafie adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut terutamanya bagi mereka yang mampu untuk melakukannya.

MOHD HANAFIAH

“Ia merupakan salah satu sunah Rasulullah SAW dan tuntutan berkenaan ada dinyatakan menerusi kalam-NYA,” jelasnya.

Firman ALLAH SWT: “Maka, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata dan lakukanlah sembelihan korban sebagai tanda kesyukuran.” (Surah al-Kauthar, ayat 2)

Dari segi pembahagian daging korban pula, ujar Mohd Hanafiah, ia perlu disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin dalam kalangan orang Islam.

Dalam hal itu, katanya, ia perlu dilihat kepada jenis korban yang dilaksanakan terlebih dahulu sama ada korban sunat, biasa ataupun nazar.

“Sekiranya ia merupakan korban nazar, maka wajib mengagihkan semua daging korban tersebut kepada golongan fakir, miskin ataupun disedekahkan kepada orang lain sebagai hadiah.

“Bagi korban sunat pula, peserta korban boleh makan sedikit daging berkenaan. Selebihnya, disedekahkan kepada orang miskin atau dihadiahkan kepada jiran tetangga dan sebagainya,” terangnya.

Namun begitu, dalam situasi pada hari ini, ujar Mohd Hanafiah, paling afdal apabila seseorang yang melakukan korban menyerahkan keseluruhan dan disedekahkan juga kepada penerima-penerima dalam kalangan fakir, miskin dan golongan yang memerlukan.

“Ini kerana menyedekahkan keseluruhan daging korban tersebut merupakan amalan yang mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dan menjauhkan kita daripada sikap mementingkan diri sendiri,” jelasnya.

Foto: Bernama