Browsing Tag

agama

Berita Semasa,

Mahu bebas dibelenggu hutang? Amalkan doa ini

KEBANYAKAN daripada kita pasti pernah berhutang, tidak kiralah sama ada daripada orang lain, bank ataupun institusi berkaitan.

Berapa pun jumlahnya, ia wajib dilunaskan dalam tempoh yang ditetapkan.

Namun, adakalanya kekangan tertentu membuatkan kita rasa ‘terhimpit’ untuk membayarnya. Barangkali ada perkara mendesak yang menyebabkan hutang itu ‘terbabas’ untuk dibayar.

Ia bukan bermaksud kita enggan membayarnya. Cuma kekangan tadi membuatkan diri kita sukar untuk menjelaskannya pada waktu itu atau bulan tertentu.

Masakan tidak, kita sendiri tidak tahu pasang surut kehidupan pada masa akan datang.

Ketahuilah, Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan beberapa amalan supaya hutang tadi boleh dilangsaikan.

Malah, ada doa khusus supaya urusan pembayaran hutang kita dipermudahkan.

Ini doa yang dianjurkan sebagaimana disebutkan dalam beberapa hadis masyhur:

Pertama

Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya: “Rasulullah SAW telah masuki masjid. Tiba-tiba terdapat seorang sahabat bernama Abu Umamah RA sedang duduk di sana.

Beliau bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat kau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan luar waktu solat?”

Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!”

Rasulullah menjawab: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya, ALLAH akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu?”

Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.”

Maka baginda bersabda: “Ucapkanlah pada tiba waktu pada pagi dan petang bacaan ini:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepada ENGKAU dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada ENGKAU dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada ENGKAU dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada ENGKAU dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, ALLAH menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.” (Riwayat Abu Daud)

Ketahuilah, Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan beberapa amalan supaya hutang tadi boleh dilangsaikan.  Malah, ada doa khusus supaya urusan pembayaran hutang kita dipermudahkan.

BERDOALAH semoga ALLAH memudahkan urusan kita dalam melunaskan hutang.

Kedua

Bahawa ‘Aisyah RA memberitahu bahawa Nabi Muhammad SAW berdoa dalam solat sebelum salam:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ

Maksudnya: “Ya ALLAH! Sesungguhnya aku berlindung dengan ENGKAU dari azab kubur, dan aku berlindung dengan ENGKAU dari fitnah Dajal, dan aku berlindung dengan ENGKAU dari fitnah semasa hidup dan saat kematian. Ya ALLAH! Sesungguhnya aku berlindung dengan ENGKAU dari dari perbuatan dosa dan kesusahan hutang.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

(Artikel berkaitan: Harus viralkan orang tak bayar hutang di media sosial?)

Ketiga

Daripada Suhail, beliau berkata: “Abu Soleh memerintahkan kepada kami apabila salah seorang di antara kami hendak tidur, hendaklah berbaring sebelah kanan kemudian mengucapkan:

اَللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ، رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، فَالِقَ الْحَبِّ وَالنَّوَى، وَمُنْزِلَ التَّوْرَاةِ وَاْلإِنْجِيْلِ وَالْفُرْقَانِ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ شَيْءٍ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ. اَللَّهُمَّ أَنْتَ اْلأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ اْلآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُوْنَكَ شَيْءٌ، اِقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ وَأَغْنِنَا مِنَ الْفَقْرِ

Maksudnya: “Ya ALLAH! Tuhan yang menguasai langit ketujuh-tujuh langit, Tuhan yang menguasai ‘Arsy yang agung, Tuhan kami dan Tuhan kepada segala sesuatu. Tuhan yang membelah butir tumbuh-tumbuhan dan biji benih, Tuhan yang menurunkan Taurat, Injil dan Furqan (Al-Quran). Aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada segala kejahatan sesuatu yang ENGKAU memegang rambut hadapannya (yakni semua makhluk dibawah kekuasaan ALLAH). Ya ALLAH! ENGKAULAH yang awal, sebelum-MU tidak ada sesuatu. ENGKAULAH yang terakhir, setelah-MU tidak ada sesuatu. ENGKAULAH yang Zahir, tidak ada sesuatu di atas-MU. ENGKAULAH yang Batin, tidak ada sesuatu yang terlepas daripada-MU. Langsaikanlah hutang kami dan berilah kepada kami kekayaan hingga terlepas daripada kefakiran.” (Riwayat Muslim)

Keempat

Daripada Ali RA, bahawa seorang hamba mukatab telah datang menemuinya dan berkata: “Sesungguhnya aku tidak mampu untuk melangsaikan hutang perjanjian dengan tuan aku (perjanjian kitabah iaitu antara hamba dengan tuannya untuk pembebasan dirinya), maka tolonglah aku!

Maka Saidina Ali RA berkata: “Mahukah kamu aku ajarkan kepadamu doa yang telah Rasulullah SAW ajarkan kepada mereka. (Iaitu) Jika kamu dibebani hutang yang setinggi bukit, ALLAH akan selesaikanya untuk kamu?”

Saidina Ali berkata: “Katakanlah:

اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya ALLAH! Cukupkanlah aku dengan dengan yang halal dan jauhkanlah aku daripada yang haram, dan cukupkanlah aku dengan kurniaan-MU daripada bergantung kepada selain-MU.” (Riwayat al-Tirmizi)

Begitu banyak doa yang boleh kita amalkan. Iringilah usaha kita untuk membayar hutang dengan doa yang dianjurkan.

Semoga ALLAH memudahkan urusan kita untuk melunaskan hutang sebelum ajal datang menjemput.

Sumber: Irsyad al-Hadith Siri ke-180: Doa-Doa untuk Melangsaikan Hutang, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & https://news.detik.com/

Berita Semasa,

Nak suruh SABAR? Cakap memang senang, tapi nak buat tu memang susah.. Jom cuba cara dianjurkan Islam ini

BIBIR begitu mudah menuturkan perkataan sabar. Namun, hati membentak-bentak seakan sukar benar untuk menerima sesuatu dan bersabar begitu sahaja.

Ya, bukan mudah untuk mendidik hati supaya bersabar. Apatah lagi saat diri ditimpa ujian berat atau sedang dalam keadaan amarah yang membuak-buak.

Begitulah lumrah sifat manusia. Begitupun, kita perlu ingat bahawa segala rasa itu semua datangnya daripada nafsu dalam diri.

Jika tidak dibendung, natijahnya begitu buruk.

Barangkali kita hilang kawalan dan bertindak di luar kewarasan akal. Maka sebab itulah segala rasa itu perlu ditundukkan dengan sifat sabar untuk melenyapkannya.

Disebabkan itulah perkataan sabar disebut sebanyak 90 kali dalam al-Quran. Ia sudah cukup membuktikan mengapa begitu pentingnya sifat sabar dalam diri.

Bagaimana cara kita untuk meningkatkan sifat sabar mengikut apa yang dianjurkan oleh agama Islam?

(Artikel berkaitan: Sabar hadapi cubaan, usah keluh-kesah kerana ini sebabnya ALLAH menguji)

Jom kita amalkan 6 tip ini yang boleh dilakukan untuk membebaskan diri daripada dibelenggu sifat kurang sabar:

1. Niatkan kerana ALLAH SWT

Sesungguhnya segala perkara yang diniatkan kepada ALLAH akan mendapat keredaan-NYA. Inilah yang akan memupuk sifat sabar dalam diri.

Rasulullah SAW bersabda: “Amal itu tergantung niatnya dan seseorang hanya mendapatkan sesuai niatnya. Barang siapa yang hijrahnya kepada ALLAH dan rasul-NYA, maka hijrahnya kepada ALLAH dan rasul-NYA, dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia atau kerana wanita yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya itu sesuai ke mana ia hijrah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2. Banyakkan membaca al-Quran

BANYAKKAN membaca al-Quran akan melapangkan hati kita.

Hati akan tenang apabila kita banyak membaca kalam ALLAH. Ia melorongkan kita supaya bersabar dalam setiap perkara.

Firman ALLAH SWT: “Dan kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” (Surah al-Isra’, ayat 82)

3. Puasa

Ia merupakan antara cara untuk ‘mengasah’ diri supaya bersabar. Masakan tidak, puasa mengajar kita supaya bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga, tetapi juga segala macam nafsu yang bersarang dalam diri.

4. Berzikir

LAZIMI diri kita dengan berzikir dan mengingati ALLAH SWT.

Membasahkan lidah dengan mengingati ALLAH akan membuatkan kita lebih kuat. Ingatan dan keyakinan kepada ALLAH dalam setiap perkara yang dilakukan membuatkan kita lebih bersabar dalam mengharungi suatu perkara.

5. Bersyukur dengan apa yang dimiliki

Lihat betapa banyaknya nikmat kurniaan ALLAH yang tidak terhitung kepada kita. Bersyukurlah dengan pemberian-NYA. Rasa syukur akan melatih diri kita menjadi orang yang sabar dan ikhlas dalam kehidupan.

6. Berdoa

Jangan lupa titipkan doa agar kita dikurniakan sifat sabar yang tinggi. Mohonlah kepada ALLAH semoga kita menjadi orang yang sabar.

Jom sama-sama kita praktis. Mudah-mudahan kita termasuk dalam kalangan orang yang bersabar.

Begitu besarnya sifat sabar ini kerana imbalannya bukan calang-calang. Sesiapa yang bersabar, insya-ALLAH mereka bakal menjadi calon-calon ahli syurga kelak.

Sumber: https://www.timesindonesia.co.id/ dan https://dalamislam.com/

Berita Semasa,

Hati sedih dan galau, ‘merdekakan’ rasa itu dengan cara yang dianjurkan agama ini…

SAAT dirundung kesedihan, emosi terganggu untuk melakukan rutin harian dan tugas hakiki. Masakan tidak, jiwa begitu berkecamuk dan hati pula galau.

Ketika itu, otak seakan-akan tidak berfungsi sebaiknya kerana dipengaruhi dengan rasa sedih berkenaan.

Ya, begitulah lumrah manusia. Memang tidak dapat dinafikan pada satu-satu masa, perasaan itu akan bergelut dalam diri. Ada banyak faktor yang menyebabkan kita sedih.

Barangkali kita dihimpit oleh ujian, masalah, kesakitan dan sebagainya sehingga menyebabkan rasa sedih datang bertamu.

Namun, sampai bila kita harus bersedih? Islam mengajar kita cara merawat diri daripada kesedihan.

Ini antara cara ‘merdekakan’ rasa sedih dengan lima ‘ubat’ hati menurut Ibrahim Al-Khowash:

1. Membaca al-Quran dan tadabbur kalamullah berkenaan.

2. Rajin mengosongkan perut (dengan gemar berpuasa).

3. Mendirikan solat malam (solat tahajud).

4. Merendahkan diri di hadapan ALLAH iaitu dengan berdoa dan membasahkan lidah berzikir. Sebaiknya, lakukanlah pada akhir malam iaitu waktu sahur.

5. Bergaullah dengan orang yang soleh sebagaimana yang dianjurkan oleh Imam al-Nawawi dalam karyanya, At-Tibyan.

Pada masa sama, jom kita amalkan doa yang boleh diamalkan ketika hati sedang bersedih.

Lazimkan diri membaca doa yang ada disebutkan dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ العَظِيمُ الحَليمُ ، لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ رَبُّ العَرْشِ العَظِيْمِ ، لاَ إلهَ إِلاَّ اللهُ رَبُّ السَّمَاوَاتِ، وَرَبُّ الأَرْضِ، وَرَبُّ العَرْشِ الكَرِيمِ

(Laa ilaaha illallah al-a’zhim al-halim, laa ilaaha illallah rabbul ‘arsyil ‘azhim. Laa ilaaha illallah, rabbus samaawaati wa rabbul ardhi wa rabbul ‘arsyil karim)

Maksudnya: “Tiada sembahan yang berhak disembah selain ALLAH yang MAHA AGUNG dan MAHA PENYANTUN. Tiada sembahan yang berhak disembah selain ALLAH, Tuhan yang menguasai ‘Arasy, yang MAHA AGUNG. Tiada sembahan yang berhak disembah selain ALLAH – DIA Tuhan yang menguasai langit, (DIA) Tuhan yang menguasai bumi dan (DIA) Tuhan yang menguasai ‘Arasy, lagi MAHA MULIA.”

Kita disunatkan untuk berdoa dengan bacaan di atas ketika menghadapi ujian berat.

Ketahuilah bahawa sedih sebenarnya ada yang ‘bernilai’ pahala. Umpamanya, sedih kerana musibah yang menimpa agamanya dan sedih kerana musibah yang menimpa banyak kaum muslimin.

Rasa sedih sebegitu bernilai pahala dari hati yang cenderung kepada kebaikan dan membenci kejelikan.

Pun begitu, jika rasa sedih tadi hingga meninggalkan perkara yang diperintahkan seperti tidak sabar, meninggalkan jihad atau yang mendatangkan mudarat, ia menjadi kesedihan yang dilarang oleh agama Islam.

Alangkah indahnya jika kesedihan yang kita alami tadi dihiasi dengan sifat sabar. Sudah tentu pahala ganjarannya.

Ayuh merdekakan perasaan segera andai diri dihambat rasa sedih. Cepat-cepat amalkan apa yang dianjurkan oleh Islam untuk mengelak diri daripada dibelenggu rasa itu.

Sumber: rumaysho.com

Berita Semasa,

Bila kita guna selipar tandas dalam rumah, perlu ke basuh semua kawasan kediaman? 

KEBANYAKAN daripada kita memang mengkhususkan selipar di tandas masing-masing. Selipar itulah yang akan digunakan setiap kali ke tandas.

Lazimnya, selipar itu tidak akan dibawa keluar daripada tandas atau digunakan sesuka hati dalam kawasan rumah kita.

Masakan tidak, selipar yang dipanggil sebagai selipar tandas tadi sudah dianggap kotor.

Namun, kadangkala anak-anak kita suka benar bermain selipar tandas hinggakan dibawa ‘berjalan’ keliling rumah.

Apabila berlaku perkara itu, adakah kawasan yang dilalui selipar tersebut menjadi najis? Jika betul ya, bagaimana cara mensucikannya?

Jika kita benar-benar yakin bahawa selipar yang digunakan itu terkena najis, maka kawasan yang dilalui itu juga dikira bernajis.

Mahu atau tidak, kita perlu membersihkan kawasan najis berkenaan. Ia dengan cara menghilangkan najis dan membasuh kawasan terlibat dengan mengalirkan air mutlak ke kawasan yang dikenalpasti.

Ketika proses itu dilakukan, pastikan hilang tiga perkara dengan basuhan tadi iaitu hilang warna, bau dan rasa.

Bagaimanapun, jika tertinggal salah satu daripada warna, bau atau rasa disebabkan sukar untuk dihilangkan walaupun telah digosok dan dibasuh dengan air beberapa kali, maka ia dimaafkan dan dikira sebagai suci.

Apa pun, kita dicadangkan agar menggunakan selipar yang berlainan untuk kegunaan di bilik air dan di luar bilik air.

Ia bukan sahaja memudahkan, tetapi demi kebaikan kita juga apabila ada pengkhususan sebegini.

Sumber: Himpunan Soal Jawab Agama Siri 1, Jabatan Mufti Negeri Selangor

Foto: Freepik

‘The Misfits’ Di Kecam Sindir Islam
Berita Semasa,

Ibu panggil ketika solat, apa nak buat? Perlu sahut atau abaikan saja…

SOLAT fardu merupakan kewajipan bagi setiap Muslim. Tidak kiralah bagaimana keberadaan atau keadaan kita, kewajipan itu tetap perlu ditunaikan walaupun ketika sakit atau sedang bermusafir.

Adakalanya ketika sedang solat, terdengar pula suara ibu melaung memanggil nama kita.

Ada setengah pendapat menyatakan, kita wajib menyahutnya. Pendapat lain pula menyatakan bahawa teruskan sahaja solat berkenaan.

Jika situasi itu berlaku kepada kita, ramai yang keliru tentang hal ini. Ia seolah-olah kita berada di persimpangan dilema.

Masakan tidak, solat itu merupakan satu kewajipan, manakala berbuat baik kepada ibu bapa juga adalah tuntutan agama.

Apa yang perlu kita lakukan jika ibu memanggil kita ketika sedang menunaikan solat fardu?

Menurut pendakwah Ustaz Azhar Idrus, apabila seseorang itu sudah mula menunaikan solat yang fardu, maka haram untuk kita berhenti.

Namun begitu, katanya, pengecualian diberikan sekiranya ada darurat.

“Ini kerana tiap-tiap amalan yang wajib, maka tidak harus kita memutuskannya melainkan kerana darurah sahaja.

“Adapun jika ia melibatkan solat sunat, maka tidak haram berhenti, tetapi makruh hukumnya berhenti jika tiada darurah dan harus berhenti jika dipanggil oleh ibu bapa,” terang beliau di Instagram miliknya baru-baru ini.

Dalam kitab Fiqhul Ibadah As-Syafie, ada dinukilkan bahawa: “Dan haram atas seorang yang telah masuk ke dalam sembahyang yang fardu memutuskannya kecuali kerana darurah seperti menyelamatkan nyawa kanak-kanak atau mencegah daripada berlakunya kemudaratan yang sangat seperti kebakaran. Dan harus memutuskan sembahyang yang sunat kerana menjawab panggilan dua ibu bapa jika mereka tidak tahu dia sedang sembahyang dan kesukaran atasnya kalau tidak dijawab.”

Melihat kepada ungkapan berkenaan, jelas Ustaz Azhar Idrus, sesiapa yang sedang menunaikan solat fardu ketika ibu bapa memanggilnya, maka tidak wajib dia menjawabnya atau berhenti daripada solat.

“Andai kata berlaku darurat seperti ibu bapa yang memanggil itu sedang kesakitan atau rebah atau seumpamanya, maka jawablah panggilan tadi.

“Begitupun, seandainya ketika itu kita sedang menunaikan solat sunat pula, tidak wajib untuk menjawab panggilan ibu bapanya. Sekiranya seruan itu dijawab, maka hukumnya adalah harus, tetapi solat tadi batal,” jelasnya.

Ingatlah, utamakan solat dahulu dalam apa-apa perkara yang dilakukan. Insya-ALLAH segala urusan kita akan dipermudahkan oleh-NYA.

Sumber: Instagram uaioriginal

Berita Semasa,

Dah suci daripada period, tapi lewat mandi wajib sebab ada kekangan tertentu…

UMUM mengetahui bahawa wanita yang sudah kering daripada darah haid atau period diwajibkan untuk segera mandi wajib.

Ia sangat penting kerana untuk mereka melakukan ibadah seperti menunaikan solat dan seumpamanya.

Namun begitu,adakalanya darah haid berhenti ketika kita ada urusan di luar contohnya di pejabat. Keadaan itu menyukarkan untuk mereka mandi wajib.

Apabila keadaan itu berlaku, sudah tentu wanita tadi tidak boleh solat kerana belum membersihkan dirinya.

Dalam kes seperti ini, apakah hukumnya jika melambatkan mandi wajib, sedangkan darah haid sudah habis ketika Zuhur semasa di pejabat tadi?

Menurut pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki, dalam perihal haid, hukum asal solat bagi wanita yang datang bulan adalah dilarang sama sekali.

Ia berdasarkan hadis Saidatina Fatimah binti Abi Hubaisy dalam Riwayat al-Bukhari dan Muslim yang mana Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila kamu didatangi haid, maka tinggalkan solat, apabila tempohnya sudah berlalu hendaklah kamu mandi dan bersihkan darah lalu dirikan solat.”

Agamawan itu turut mengemukakan pandangan Imam al-Nawawi dalam kitabnya, Syarah Sahih Muslim bahawa ulama telah sepakat wanita perlu meninggalkan solat ketika datang haid.

“Adapun jika berlaku seperti keadaan seperti di atas, dalam keadaan telah suci, tetapi kesukaran untuk mandi di pejabat, maka, wajib baginya untuk menggantikan (qada) solat yang ditinggalkan.

“Ini sepertimana disebutkan oleh Sheikh Hasan al-Kaf dalam kitabnya, al-Taqrirat al-Sadidah pada bahagian ibadah. Di samping itu, mohon istighfar kepada ALLAH SWT atas kekurangan yang berlaku,” katanya kepada Sinar Islam.

Usah pandang remeh tentang bab-bab ibadah ini. Kepada para wanita, pekalah tentang perihal period masing-masing.

 

najis anjing depan rumah
Hukum,

Najis anjing depan kawasan rumah, bagaimana kaedah pelupusan dianjurkan Islam?

NAJIS anjing depan kawasan rumah, bagaimana kaedah pelupusan dianjurkan Islam?

Duduk di kawasan perumahan yang sering menjadi tumpuan anjing berkeliaran memang memang agak menguji diri.

Jika haiwan berkenaan merupakan anjing liar, keselamatan diri jadi taruhannya. Itu belum lagi bab najis anjing yang merata-rata di sekeliling kawasan perumahan. Adakalanya, najis anjing itu betul-betul ada di hadapan rumah kita.

Baca juga Guna tisu basah ketika istinjak? Hati-hatilah kerana ia masih dikira menanggung najis

Andai najis itu memang betul-betul berada di hadapan rumah kita, bagaimanakah caranya untuk membuangnya?

Di mana kawasan sesuai untuk dibuang kerana bimbang ada orang lain pula yang terpijak jika dibuang merata-rata? Bagaimana kaedah sebenar lupuskan najis anjing?

najis anjing

USTAZ MUSTAFAR MOHD SUKI

Sebelum memperincikan jawapan lanjut, pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki menjelaskan, apa sahaja yang berasal daripada anjing dan anggotanya, ia dikira sebagai najis.

Ia termasuklah air kencing, tahi, darah, peluh, air liur atau mana-mana bahagian anggotanya. Demikian pandangan yang disepakati oleh Mazhab Syafie, terang beliau.

“Jika terkena, wajib dibasuh tujuh kali dan salah satunya adalah dengan tanah seperti disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Minhaj Syarah Sahih Muslim.

“Dalam situasi di atas, maka wajib kita membuang najis itu ke tempat yang terlindung daripada terkena pada manusia yang lalu-lalang.

“Kemudian membasuhnya sebanyak tujuh kali yang mana salah satunya dibasuh dengan air tanah. Demikian pendapat majoriti ulama seperti Mazhab Syafie, sebahagian pandangan Mazhab Maliki dan Hanbali sehingga hilang bau, rasa dan warna,” katanya.

Baca juga Pakaian anak bernajis, boleh ke terus basuh guna mesin?

Jelasnya, ia sebagaimana disebutkan dalam hadis-hadis sahih seperti yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Hurairah, Saidina Ali dan selainnya.

Sabda Nabi Muhammad SAW : “Apabila anjing meminum bekas salah seorang daripada kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali dan salah satunya dengan air tanah.”

Ujar beliau, walaupun terdapat perbezaan riwayat berkenaan dengan bilangan basuhan dan kaedah basuhan, akan tetapi cukuplah dengan pandangan Mazhab Syafie dan majoriti ulama seperti yang telah dinyatakan di atas.

Baca juga [VIDEO] Bila masuk ke rumah rakan yang bela anjing, ini perkara yang perlu kita ambil tahu

Justeru, jangan pandang enteng tentang perkara ini. Jika ternampak ada najis anjing di hadapan rumah kita, cepat-cepatlah buang di tempat yang sesuai supaya tidak dipijak oleh orang lain.

Jika kita memudahkan urusan orang lain, insya-ALLAH ALLAH akan mudahkan urusan kita pula.

Foto: Facebook

 

 

Berita Semasa,

Bahaya ajaran Qadiani… Fahaman yang menyimpang daripada landasan Islam sebenar, umat Islam disaran berhati-hati

AJARAN Qadiani atau Ahmadiah berasal dari India. Ia diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad bin Ghulam Murtadha bin Atta Muhammad yang dilahirkan di Qadian, berhampiran kota Amritsar, Punjab. Ajaran ini diasaskan pada tahun 1889 di Malaysia dan dipercayai bertapak pada tahun 1930 di Batu 20, Jeram, Kuala Selangor, Selangor.

Gerakan Qadiani turut dikenali sebagai Ahmadiyah, Ahmadi atau Ahmadiyyat yang pada asasnya berpegang kepada kepercayaan bahawa ajaran Mirza adalah ajaran yang sebenar.

Pada 15 Disember 1953, telah diadakan perbahasan antara kumpulan ini dengan para alim ulama di hadapan Sultan Selangor, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah. Hasil perbincangan tersebut telah diputuskan bahawa ajaran Qadiani tidak diiktiraf sebagai ajaran Islam, malah terkeluar daripada Islam. Keputusan itu menyebabkan kumpulan tersebut semakin lumpuh.

Terdapat pelbagai penyelewengan yang dapat dikesan dalam ajaran Qadiani. Antaranya adalah dakwaan Mirza Ghulam Ahmad dirinya sebagai Nabi yang menerima wahyu.

Beliau berkata: “Demi ALLAH yang nyawa saya di tangan-NYA, DIALAH yang telah mengutus dan menamakan saya nabi dan menunjukkan bukti-bukti yang jelas tentang kebenaran dakwaan saya yang jumlahnya sampai tiga ratus ribu bukti.”

Beliau juga turut mendakwa dirinya sebagai Isa al-Masih selepas didesak oleh orang kanannya dengan tujuan menguatkan ajaran dan keyakinan pengikutnya. Beliau mengatakan bahawa Nabi Isa benar-benar dibunuh dan bukannya diangkat ke langit oleh ALLAH dan orang yang mati tidak mungkin akan hidup ke dunia lagi.

Selain itu, beliau mendakwa dirinya mempunyai mukjizat. Katanya: “Nabi ALLAH itu telah mewujudkan tiga ribu mukjizat dan saya melebihi dari satu juta.”

Katanya lagi: “Bulan yang terang menjadi gerhana kerana saya, masakan dapat menafikan bulan dan matahari menjadi pucat kerana saya.” Turut mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi selepas mengaku dirinya sebagai Mujaddid.

Mirza Ghulam Ahmad turut menafikan konsep jihad. Beliau telah menyebutkan perihal jihad seperti berikut: “Jihad dengan pedang telah dilarang. Semua peperangan untuk agama sekarang ini telah ditegah. Sekarang jihad untuk tujuan agama telah diharamkan. Pada pendapat saya, tiada doktrin yang memburukkan nama Islam lebih daripada doktrin jihad. Saya menghabiskan sebahagian besar umur saya untuk mengiyakan kerajaan British dan menentang jihad.”

Di samping itu, beliau turut melakukan tahrif al-Quran iaitu mengubah ayat-ayat suci al-Quran mengikut kehendaknya sendiri agar bertepatan dengan dakwaandakwaannya.

Keputusan Fatwa Selangor

Berdasarkan warta fatwa bertarikh 24 September 1998, Kerajaan Negeri Selangor telah memutuskan bahawa:

  1. Ajaran Qadiani adalah satu ajaran yang menyalahi ajaran Islam yang sebenarnya. Pengikut-pengikut ajaran Qadiani itu telah dihukumkan kafir oleh ulama Islam serata dunia.
  2. Jabatan Agama Islam Selangor melalui Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak telah menghukumkan kafir kepada pengikut-pengikut Qadiani yang berpusat di Batu 20 Jeram, Kuala Selangor pada 15 Disember 1953 setelah mereka dibicarakan di Istana Kuala Lumpur di hadapan Sultan Selangor dan beberapa alim ulama di negeri Selangor. Setiap orang yang telah menjadi penganut ajaran Qadiani adalah telah murtad. Maka, wajiblah dituntut mereka bertaubat dan kembali kepada Islam dengan ikrar dua kalimah syahadah.
  3. Antara ciri-ciri ajaran itu menurut Mirza Ghulam Ahmad:
  • Sebagai nabi yang menerima wahyu.
  • Imam Mahadi.
  • Isa al-Masih.
  • Mempunyai mukjizat.
  • Para nabi menyaksikan dirinya.
  • Malaikat sebagai pancaindera tuhan.
  • Nabi Isa AS telah mati dan kuburnya di Srinagar, India.
  1. Orang-orang Islam dilarang menjual, mengedar, membeli, memiliki atau memberi ceramah tentang isi kandungan buku- buku berikut:
  • Invitation To Ahmadiyah yang dikarang oleh Hazrat Hj Mirza Bashiruddin Ahmad (Khalifatul Masih II).
  • Penawar Racun Fitnah Terhadap Ahmadiyyah yang ditulis oleh Pengurus Besar Jema’at Ahmadiah.
  • Alam Sebagai Saksiyang dikarang oleh Mohamad Zain bin Hasan.
  • The Holy Quran With English Translation And Commentary (Vol II, Part I) yang dikarang oleh M Mas’ud Ahmad.

Fatwa tahun 1998 di atas telah diperincikan pada tahun 2000 iaitu:

Memandangkan mana-mana orang yang telah menganuti ajaran Qadiani telah menjadi murtad (keluar daripada agama Islam), akibatnya dari segi hukum syarak dan undangundang sivil adalah:

  1. Perkahwinan orang tersebut boleh dibubarkan dengan pengesahan Mahkamah Syariah mengikut seksyen 46 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984;
  2. Orang tersebut tidak boleh menjadi wali dalam akad nikah anak perempuannya;
  3. Orang tersebut tidak boleh mewarisi harta peninggalan kerabat-kerabat Muslimnya;
  4. Orang tersebut tidak berhak untuk mendapatkan apa-apa keistimewaan yang diperuntukkan kepada orang Melayu di bawah Perlembangaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan sekiranya hak-hak tersebut telah diberi, dinikmati atau diperoleh oleh orang tersebut, ia hendaklah terhenti dari berkuatkuasa dan bolehlah dilucut, ditarik balik dan dibatalkan mengikut mana berkenaan, oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

Kesimpulan

Akidah Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunah Waljamaah yang menjadi pegangan di negara ini mestilah sentiasa dihayati agar sebarang anasir perosak akidah dapat dijauhi.

Oleh itu, umat Islam di Malaysia khususnya di negeri Selangor perlu menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti yang mempunyai ciri-ciri yang telah disebutkan di atas dan menjauhkan diri daripada segala bentuk ajaran dan fahaman yang meragukan.

Segera laporkan segala aktiviti yang meragukan kepada pihak berkuasa agama bagi membendung penularan ajaran yang boleh merosakkan akidah, syariah dan akhlak umat Islam.

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor

Berita Semasa,

Mimpi siang atau malam… Macam mana nak tahu mimpi itu baik atau tidak?

SETIAP orang tidak akan ‘lari’ daripada bermimpi ketika sedang tidur. Walaupun tahap kekerapan yang berbeza, tetapi ia pasti berlaku kepada kita tidak kiralah sama ada tidur pada waktu siang atau malam.

Segelintir orang percaya bahawa mimpi adalah mainan tidur. Namun, ada juga yang beranggapan mimpi itu membawa petanda kepada suatu perkara sama ada baik atau buruk.

Begitu juga dengan bermimpi ketika tidur siang atau malam. Ada sesetengah orang menganggap, ia membawa petanda mimpi yang bagus.

Apakah pandangan Islam tentang mimpi seseorang? Bagaimana kita hendak tahu tentang petanda mimpi yang bagus? Adakah bermimpi pada waktu siang ataupun waktu malam?

Memperincikan jawapannya, pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki menjelaskan, secara umumnya, mimpi yang dialami oleh seseorang boleh dibahagikan kepada tiga jenis.

USTAZ MUSTAFAR

Ia sama ada mimpi daripada gangguan syaitan, mimpi disebabkan manusia terlalu memikirkan sesuatu perkara dan mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 juzuk kenabian seperti diriwayatkan oleh Saidina ‘Auf bin Malik dalam hadis sahih riwayat Ibnu Majah, terang beliau.

“Mimpi daripada syaitan yang menimbulkan kegusaran dan keresahan tidak membawa apa-apa makna. Melainkan jika dia tersedar, maka disunatkan untuk meludah ke sebelah kiri dan memohon perlindungan daripada ALLAH SWT.

“Begitu juga mimpi disebabkan terlalu memikirkan sesuatu perkara sehingga apabila dia melakukan sesuatu, perkara itu sama seperti dialami dalam mimpinya. Ini juga tidak membawa kepada apa-apa isyarat atau makna.

“Namun, bahagian ketiga, begitu banyak hadis sahih lain yang menceritakan tentang mimpi yang baik (rukyah salihah). Jika perkara ini datang dengan petunjuk-petunjuk tertentu, hendaklah dirujuk kepada ahlinya seperti disebutkan oleh Imam Ibn Battal di dalam kitabnya, Syarah Sahih al-Bukhari,” jelas beliau kepada Sinar Islam. 

(Artikel berkaitan: Apabila kita bermimpi ibu bapa yang telah meninggal…)

Di samping itu, Ustaz Mustafar turut mengingatkan tentang pandangan Imam al-Syatibi bahawa mimpi tidak boleh menjadi penentu kepada hukum syarie.

“Adapun waktu tertentu sama ada siang atau malam, tidak mengkhususkan mimpi itu jadi baik ataupun buruk,” jelas beliau.

Jika bermimpikan sesuatu, tidak semestinya ia membawa petanda sesuatu yang baik atau sebaliknya.

Usah buat pelbagai andaian, sebaliknya rujuklah kepada mereka yang pakar dalam bab mimpi seperti alim ulama dan seumpamanya.

Berita Semasa,

Pengakuan bekas Dewi Remaja: “Syukur, ALLAH tutup aib saya.”

SUATU masa dulu, Amrinee Ghazi, 39, atau lebih dikenali sebagai Irene Ghazi pernah bergelumang dalam dunia glamor. Biarpun bukanlah bergelar selebriti, namun raut wajahnya sentiasa menjadi perhatian lensa kamera pada masa itu. Namanya begitu gah di pentas peragaan sebagai seorang model.

Menjadi bonus kepada dirinya apabila beliau pernah menjadi finalis Dewi Remaja 1998/1999. Ketika itu, sesiapa yang memasuki pertandingan berkenaan meskipun tidak bergelar juara, mampu mencipta nama. Begitu juga Irene.

Berkulit hitam manis dengan ketinggian seperti yang didambakan pihak agensi, wanita itu acap kali dipanggil menjadi penghias muka depan majalah dan papan iklan.

Bukan itu sahaja, Irene turut mempunyai asas dalam bidang tarian dan lebih arif dalam tarian balet membuatkan dirinya lebih istimewa.

Selama 13 tahun beliau bergelumang dalam dunia model, Irene akhirnya membuat satu keputusan berat iaitu terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada arena peragaan ketika namanya masih di puncak.

Apa yang dilakukan Irene selepas itu? Cerita wanita itu, beliau tidak berbuat apa-apa selain menguruskan keluarga dan membesarkan anak-anak.

Pun demikian,kehidupannya telah berubah 360 darjah.

Kepada SinarIslam beliau berkata, dirinya melakukan transisi mendadak dengan mengenakan hijab terlebih dulu sebelum memakai niqab sepenuhnya.

Jelas, daripada seorang model dan penari, ALLAH SWT dengan penuh kasih sayang menganugerahkan hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA.

Sisi lampau

Ketika bertemunya di Studio Sinar kira-kira dua bulan lalu, penulis terkesima melihat beliau dan keluarganya. Salah seorang anak perempuannya yang comel mengenakan hijab menjadi perhatian warga Sinar Harian.

Suaminya, Aarif Piergiorgio, 39, pula tidak henti-henti mengukir senyuman. Berkesempatan berjumpa secara empat mata dengannya memberi peluang lebih baik untuk penulis menggali kisah silamnya yang sukar dijejaki melalui internet.

Model dan penari balet Irene Ghazi

IRENE (kanan) lebih selesa menguruskan rumah tangga yang dibina bersama suaminya Aarif (kiri) dan anak-anaknya.

Perkataan pertama yang terpacul dari mulutnya ketika pertama kali duduk semeja ialah alhamdulillah dan ia kerap diulangi sepanjang perbualan kami.

“Alhamdulillah, ALLAH tutup aib saya. Selepas berhijab dan memakai purdah, memang saya cuba hubungi mereka yang pernah berurusan dengan saya. Saya memang nak semua gambar saya dulu dibuang,” katanya membuka bicara.

Kepada penulis, ibu kepada enam cahaya mata itu mengakui, berhijrah tidak sesukar mana. Namun, untuk kekal istiqamah, tidak mudah. Mengapa?

Jawapannya, ia memerlukan seseorang mempunyai hati yang benar-benar kuat dan cekal. Sebelum bercerita lanjut, penulis bertanya tentang sisi lampau hidupnya.

Tanpa berselindung, Irene membuka kisahnya. Ujar wanita itu, beliau bermula dalam bidang peragaan sejak berusia 14 tahun lagi. Kata beliau, pada mulanya memang tidak terfikir sedikit pun untuk menjadi seorang model memandangkan beliau aktif bersukan. Namun, apabila dilamar oleh sebuah agensi modeling terkemuka, dunianya mula berubah.

Ketika usianya menginjak 16 tahun, Irene menyertai Dewi Remaja 1998/1999. Walaupun tidak menang, namun dirinya tetap menjadi pilihan untuk menjadi model bagi sebuah jenama minuman terkemuka.

“Saya juga pernah menyertai pertandingan Asia Bagus. Syarikat agensi yang minta saya menyertainya. Mereka kata suara saya sedap, tapi tak menang juga,” ceritanya sambil tertawa kecil.

Bimbing suami

Biarpun nama Irene ketika itu menjadi sebutan, namun sekitar tahun 2008 iaitu ketika berumur 27 tahun, Irene nekad berhenti daripada bidang peragaan selepas berkahwin.

“Pada masa itu, saya sudah mula mendalami ilmu agama, tapi masih tak pakai tudung lagi. Apabila saya diserang gastrik,saya rasa seolah-olah nyawa saya bakal ditarik. Kemudian ibu saya meninggal dunia pula. Daripada situ, saya mula mengenakan selendang dan semakin mendekatkan diri dengan ALLAH,” katanya.

Pada saat cuba mentransformasikan diri, perkahwinan Irene dilanda gelombang. Beliau bercerai dengan suaminya pada 2013 selepas dikurniakan empat anak.

Tidak mengeluh apalagi memarahi takdir, Irene percaya terselit hikmah di sebaliknya. Ternyata ALLAH MAHA BERKUASA apabila sebaik tamat tempoh idah, wanita itu dipertemukan dengan seorang lelaki warga Itali yang kini menjadi suaminya, Aarif.

“Perkenalan kami bermula menerusi aplikasi WeChat. Mengenali dirinya membuatkan saya benar-benar kagum. Bayangkan dia banyak tahu pasal Islam dan sejarah agama suci ini. Rupa-rupanya, Aarif memang belajar pasal Islam dan sirah nabi sejak di bangku sekolah lagi. Di Eropah, ia menjadi subjek wajib untuk dipelajari di sana,” katanya.

Genap dua minggu perkenalan, Aarif melamar Irene selepas seminggu lelaki itu memeluk Islam. Biarpun jauh terpisah beribu batu, Irene tanpa lelah membimbing Aarif belajar mengaji, solat dan al-Quran. Semuanya dilakukan secara online sahaja.

“Tiga bulan kemudian, Aarif terbang ke Kuala Lumpur. Bila saya perkenalkan kepada keluarga di Kelantan, ramai seakan tidak percaya dengan pilihan suami saya.

“Ketika azan Maghrib berkumandang, semua orang terkejut bila nampak Aarif siap sedia untuk bersolat, sedangkan yang lain masih sibuk bersembang,” ceritanya sambil memberitahu, detik itu menjadi permulaan Aarif diterima baik dalam keluarganya.

Selepas bernikah pada 14 Februari 2014, Irene mengikuti suaminya ke Itali pada bulan Disember tahun yang sama.

Meneruskan ceritanya, Irene berkata, di Itali, beliau hanyut seketika apabila kembali aktif dalam tarian balet.

“Pada mulanya, ia hanya cuma sekadar suka-suka sahaja kerana Itali memang terkenal dengan tarian balet.

“Bakat yang dimiliki membuatkan saya ditawarkan untuk menyertai pertandingan. Niat asal hanya untuk mencapai kepuasan diri. Selain di Itali, saya turut sertai pertandingan di Jerman, Switzerland, Sepanyol dan Perancis.

“Bila teringat semula bagaimana saya terpaksa buka tudung balik, rasa malu dan menyesal teramat. Suami saya pun ada nasihatkan saya, tapi saya cakap, ia sekadar untuk penuhi keinginan saja,“ ujar beliau.

Model dan penari balet Irene Ghazi

SUAMI Irene, Aarif kini mengusahakan perniagaan lasagne ‘Pokcik Itali’ dengan dibantu Irene untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Kembali muhasabah

Tidak lama kemudian, Irene ditawarkan untuk menjadi tenaga pengajar di sebuah studio tarian balet terkemuka di Itali.

“Mula-mula, ramai yang mendaftar untuk kelas berkenaan. Namun entah di mana silapnya, makin lama makin berkurangan bilangan pelajar hingga majikan tidak mampu hendak bayar gaji.

“Bila saya pindah ke studio lain, perkara sama hampir berlaku. Dipendekkan cerita, saya tak sempat pun terima gaji hasil menjadi tenaga pengajar tarian,“ ceritanya.

Segala kejadian yang berlaku membuatkan Irene termenung dan terfikir sejenak. Beliau kembali bermuhasabah diri. Wanita itu merasakan bahawa ALLAH sebenarnya sedang melindunginya daripada terus melakukan perkara yang sia-sia.

“Sebelum ini, saya pernah berdoa supaya ALLAH menjauhkan saya daripada perbuatan dosa dan sia-sia. Bila saya renungkan balik, seolah-olah saya terhalang menerima gaji hasil daripada unsur syubhah dengan mengajar tarian itu. Saya menangis semahu-mahunya kerana saya bersyukur ALLAH sekali lagi menyelamatkan saya daripada terus hanyut,” katanya.

Enggan menoleh ke belakang lagi, Irene tekad dengan azam baharu. Bermula tahun 2015, beliau berhijab penuh dan memakai niqab. Wanita itu juga kembali mendekati agama sedalam-dalamnya.

“Kali ini, saya mendalami ilmu hadis. Suami turut menyokong tindakan saya dan sama-sama belajar. Saya juga tidak keluar rumah untuk mengelakkan diri daripada terjebak ke ‘tempat lama’,” ceritanya.

Sejak bulan Mac lalu, Irene bersama suaminya, Aarif dan enam anak mereka termasuk hasil perkahwinan terdahulu pulang ke Malaysia.

“Kami dibawa balik oleh kerajaan Malaysia ketika wabak Covid-19 ‘mengganas’ tempoh hari. Kami ambil peluang ini untuk pulang ke Malaysia dan menyekolahkan anak kedua di sekolah agama di sini.

“Pada masa sama, kami berniaga lasagne ‘Pokcik Itali’ di sekitar Pengkalan Chepa, Kelantan dan Gombak, Selangor serta kawasan sekitar sebagai sumber pendapatan kami,” katanya.

Biar apa jua ujian yang mendatang, Irene berdoa semoga ALLAH tetap menguatkan iman dan hatinya dengan agama Islam serta menunaikan kewajipan sebagai hamba-NYA dengan sempurna.

Lakukan hijrah, masih belum lambat untuk bertaubat

Penghijrahan sememangnya sangat dituntut dalam agama Islam. Ia sudah berlaku sejak zaman Rasulullah SAW lagi.

Pendakwah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid menjelaskan, pada zaman sekarang, penghijrahan membawa makna yang begitu luas. Ia dijadikan sebagai satu prinsip hidup kerana hijrah bererti meninggalkan.

USTAZ WAN AKASHAH

“Seseorang itu dikatakan berhijrah jika memenuhi dua syarat ini iaitu sesuatu yang ditinggalkan dan sesuatu yang dituju (tujuan),” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Menyelami maksud hijrah lagi, Ustaz Wan Akashah berkata, terdapat dua jenis hijrah dalam suasana sekarang, termasuklah hijrah dari satu tempat ke satu tempat umpamanya berhijrah dari Alor Setar, Kedah ke Johor.

Satu lagi pula melibatkan hijrah maknawi yang merangkumi empat perkara penting.

“Pertama, ia melibatkan iktikad (keyakinan) yang mana keyakinan kita daripada mukmin yang lemah kepada mukmin yang bersifat kuat yakin kepada ALLAH SWT. Kedua, fikriyah (pemikiran) iaitu daripada negatif kepada positif.

“Ketiga, syu‘uriyyah (cita rasa) yang mana ia membabitkan nilai yang kurang Islam kepada yang lebih Islamik sama ada dari segi hiburan, bacaan, pakaian, rumah dan sebagainya. Akhir sekali adalah sulukiyyah iaitu tingkah laku dan akhlak,” jelasnya.

Beliau turut memetik kata-kata Saidina Umar RA sebagai pedoman buat kita. Kata khalifah Islam kedua itu: “Hitung diri kamu sebelum dihitung oleh ALLAH.”

“Ini bermaksud, kita disuruh bertaubat kepada ALLAH dari segi maknawi. Kadangkala orang ingin berhijrah, tetapi hanya mengubah pemikiran tetapi tidak pada pakaian dan cita rasa.

“Sebenarnya kita kena penuhi empat perkara tadi, barulah lengkap dikatakan seseorang itu bertaubat kepada ALLAH SWT. Masih belum terlambat untuk kita bertaubat selagi nyawa masih belum sampai di kerongkong.

“Itulah yang berlaku kepada bekas model, Amrinee Ghazi yang berubah bukan sahaja dari segi penampilan, tetapi juga tingkah laku, cita rasa dan keyakinannya,” katanya.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang sebenar-benar hijrah ialah orang yang berhijrah meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh ALLAH (daripada melakukannya).” (Riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan al-Nasaie)

Menjawab satu soalan lain, Ustaz Wan Akashah menjelaskan: “Tidak salah apabila seorang isteri memimpin suaminya yang mualaf. Ini kes terpencil dalam kehidupan seorang Muslim.

“Perkara itu pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW yang mana ada seorang sahabat ingin berhijrah kerana ingin berkahwin dengan wanita Muslimah sejati. Namun, wanita itu meletakkan syarat supaya berhijrah ke Madinah jika ingin berkahwin dengannya. Maka sahabat tadi pun berhijrah.

“Jelas bahawa tidak salah untuk isteri memimpin suaminya,” katanya.