Browsing Tag

Afghanistan

6b8d84ff-32e6-4af3-a613-f6361ad318bd
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Taliban Tukar Bendera Afghanistan Menjadi “La Ilaha Illallah Muhammadur Rasulullah”

no comment

TIDAK lama setelah mengambil alih pemerintahan negara pada 15 Ogos lalu, Taliban mulai melakukan beberapa perubahan pentadbiran mengikut undang-undang Syariah termasuklah bendera rasmi Afghanistan.

Sebelum ini sudah diketahui, bendera Afghanistan memilik tiga warna iaitu hitam, hijau dan merah tetapi pemerintahan Taliban telah mengubahnya berlatarbelakangkan bendera itu kepada putih dengan kalimah syahadah, ‘La Ilaha Illallah Muhammadur Rasulullah’ dengan warna hitam.

Pejuang Taliban bersama bendera baharu Afghanistan. Gambar: Al Jazeera

Ada di kalangan umat Islam memanggil pemimpin Taliban dengan gelaran ‘Ameerul Momineen’ (pemimpin Ummah) dan sepenuh hati menyokong kemenangan Taliban. Sementara setengah rakyat masih menentang Taliban kerana kebanyakan mereka berpendapat bahawa Taliban bukanlah golongan Islam yang sebenar serta membunuh ramai rakyat yang tidak bersalah atas nama Islam.

Saluran berita Televisyen Nasional Emiriah Islam Afghanistan yang menggunakan bendera baharu Afghanistan.

Gambar yang digunakan oleh berita Televisyen Nasional Emiriah Islam Afghanistan dengan berlatarbelakangkan bendera terbaharu negara itu membuktikan Taliban telah secara rasmi mengambil alihnya dan mengubah segalanya sesuai mengikut kepercayaan mereka.

Sehingga kini masih ramai yang tertanya-tanya mengapa rakyat Afghanistan berusaha melarikan diri dari negara mereka sendiri kerana ketakutan terhadap Taliban. Begitu juga keadaan bagaimana hak wanita di Afghanistan terjamin selepas mendakwa Taliban sebelum ini telah meninggalkan kesan terhadap ideologi mereka yang menindas wanita.

Wanita Afghanistan bebas untuk keluar untuk ke sekolah dan bekerja. Gambar: NBC News

 

Taliban jamin wanita Afghanistan dibenarkan mendapat pendidikan dan bekerja dengan hijab

The Arab News melaporkan bahawa jurucakap rasmi Taliban mengatakan bahawa wanita Afghanistan akan dibenarkan meninggalkan rumah mereka untuk mendapatkan akses pendidikan dan persekolahan serta boleh bekerja dengan memakai jilbab seperti yang diwajibkan oleh Islam.

“Sehingga kini, Taliban tidak menghalang wanita yang tinggal di Afghanistan untuk pergi ke sekolah. Malah kelihatan ramai kanak-kanak perempuan keluar untuk ke sekolah. Sementara beberapa guru sekolah menghantar mereka pulang ke rumah memandangkan situasi pentadbiran di Afghanistan masih dilihat tegang ketika ini,” kata salah seorang rakyat tempatan.

Seorang wartawan daripada Media China, Jawid Omid telah menyiarkan gambar beberapa gadis yang pergi ke sekolah di Kabul hari ini. Foto itu dikongsi oleh ribuan orang di media sosial yang mempersoalkan masa depan gadis dan wanita Afghanistan.

Pengambilalihan Taliban di negara itu telah menimbulkan banyak persoalan dan kebimbangan mengenai pendidikan wanita dan hak-hak wanita. Sementara kumpulan fundamentalis mengatakan bahawa mereka akan menghormati hak wanita.

“Tujuan kami adalah agar wanita mendapat akses pendidikan dan bekerja dengan mengenakan jilbab di atas kepala mereka,” kata seorang jurucakap Taliban kepada BBC.

Sementara Penganalisis Politik yang juga Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia UKM, Prof Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid, berkata di Afghanistan wanitanya tersedia memakai jubah dan hijab disebabkan kesesuaian dengan keadaan cuaca yang sejuk dan berangin.

“Ianya adalah pakaian yang telah dipakai sejak dari dulu lagi dan di sebalik jubah, wanita mereka boleh melaram dengan baju yang cantik dan menarik, mereka boleh berseluar jeans dan blouse.

“Saya pernah berada lama di Himachal Pradesh, Utara India bersama rakan-rakan pensyarah dari Universiti Kabul bersama pelajar-pelajar perempuan serta lelaki dari Afghanistan.

“Mereka boleh bergaya sesuai dengan masa dan keadaan. Mereka mengatakan usah percaya pada apa yang ditulis oleh pemberita atau media Barat kerana mereka berat sebelah dengan Islam dan orang Muslim,” katanya.

 

Sumber: Muslim News Online

 

The New Arab
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Usah ‘Termakan’ Media Barat, Dunia Harus Beri Peluang Taliban Memerintah Negara Sendiri

no comment

SELEPAS Taliban kembali merampas tampok kepimpinan di Afghanistan pada 6 Ogos lalu, pelbagai speklulasi dimainkan media barat dalam usaha untuk memburukkan Gerakan Islam itu di bawah pemimpin Mawlawi Hibatullah Akhundzada.

Sejak dahulu lagi Taliban sering diperangi kerana mahu menegakkan sebuah negara Islam dan kita semua sarat dibekalkan dengan berita dari Barat yang sememangnya diakui sebagai golongan yang anti-Islam.

Taliban mula menawan semula Afghanistan secara berperingkat sejak 6 Ogos bermula dengan bandar Nimrooz, Sherbeganz, Sarepul, Kunduz, Talqan, Aybak sehingga la Jalalabad dan Kandahar pada 15 Ogos 2021.

Prof Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid

Penganalisis Politik yang juga Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia UKM, Prof Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid, berkata situasi politik di Afghanistan ketika ini belum ada pertumpahan darah yang teruk.

“Kalau kita hanya melihat apa yang ditulis oleh media Barat, Taliban sentiasa digambarkan sebagai teroris, pengganas yang menzalimi rakyatnya. Tetapi kalau ditanya dipihak penduduk tempatan di beberapa negeri di Afghanistan, rakyat tempatan tidak melihat mereka ini sebagai pengganas, tetapi sebagai pejuang kemerdekaan negara untuk bebas daripada penjajah Barat.

“Seharusnya dunia memberi peluang kepada Taliban memerintah negara mereka sendiri. Taliban tidak akan menang dan berjaya menawan kembali Afghanistan jika tidak disokong oleh akar umbi kerana dari 6 hingga 15 Ogos Taliban telah berjaya mengambil kembali semua bandar-bandar besar di Afghanistan, tanpa pertumpahan darah yang besar dalam kalangan penduduk tempatan.

“Tambahan lagi Afghanistan sudah sedekad dikawal dan dijaga oleh Amerika Syarikat dan pemimpin bonekanya, jika Taliban tidak mendapat sokongan dari akar umbi, tidak mungkin Taliban kembali berkuasa hari ini,” katanya kepada Sinar Islam Plus (SI+).

Keadaan hura-hara di Lapangan Terbang Kabul. Gambar: Financial Times

 

Keadaan hura-hara di lapangan terbang Kabul mungkin pengikut pemimpin terdahulu

Menurutnya lagi, diplomat luar telah pun meninggalkan Kabul, termasuk pangkalan tentera US juga telah ditutup dan kebanyakan mereka telah meninggalkan Kabul. Ketua perunding mewakili Taliban, Mullah Ab Ghani Baradar telah mengisytihar kemenangan Taliban dan menawan kembali Afghanistan daripada kuasa asing.

“Dalam video di lapangan terbang Kabul yang tersiar kelmarin, ia seolah-olah ramai yang mahu meninggalkan Kabul kerana mereka ini dahulu mungkin adalah pengikut besama pemimpin Hamid Karzai dan Presiden Ashraf Ghani. Mereka ini antara kroni dan pengikut yang dahulu bimbang akan keselamatan mereka.

“Ini bukan suatu yang luar biasa bila regim lain yang mentadbir. Cuma kita tidak pasti apa maksud video tersebut, melainkan ada dalam kalangan kita yang mahir berbahasa Pashtun. Mungkin juga mereka ini meraikan pemergian keluar tentera Amerika Syarikat yang telah lama berada di Kabul dan gagal untuk membangungkan Kabul setelah dihentam dengan bom dan peperangan,” tambahnya.

Pemimpin Taliban, Mawlawi Hibatullah Akhundzada. Gambar: BBC

Taliban perlu masa bangun kembali negara

Dr. Kartini menambah, pembaharuan pentadbiran mungkin mengambil masa untuk Taliban muncul dengan idea dan kaedah mengurus cara mereka sesuai dengan masyarakat Afghanistan (tribal societies and warlords).

“Dalam masyrakat Afghanistan sedia kita tahu terdapat kepelbagaian dari segi etnik (bangsa Hazaras, Pashtun, Tajiks, Uzbeks, Aimaq, Baloq, Gujjar, Arab dan banyak lagi, serta agama (syiah, sunnah waljamaah, bahai, hindu, sikh, christian) termasuk bahasa yang berbeza.

“Saya rasa sudah tiba masanya Amerika Syarikat (US) tidak campur tangan dalam hal ehwal mengurus Afghanistan. Amerika tidak belajar dari sejarah pahit mereka semasa perang di Vietnam. Tindakan Joe Biden menarik pulang semua anggota tentera adalah penjimatan yang paling baik buat masa ini kerana US dilanda kesan pandemik dan inflasi ekonomi yang teruk ketika ini.

“Hakikatnya, jika Barat dan dunia membenarkan regim Zionis menawan bumi Palestin dan bertindak zalim terhadap rakyat Palestin, maka kenapa mereka harus bias terhadap Taliban? Sedangkan pentadbiran baharu ini diterima oleh kebanyakan rakyat Afghanistan,” tegasnya.

 

Newspostwall
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Keganasan Di Lapangan Terbang Kabul, Ribuan Cuba Melarikan Diri dari Afghanistan.

no comment

RIBUAN rakyat Afghanistan yang terdesak berkumpul di lapangan terbang Kabul dalam keadaan kacau-bilau setelah ibu kota Afghanistan jatuh ke tangan Taliban yang telah mengumumkan ‘Emirat Islam’ yang baharu.

Lapangan terbang Kabul dikawal tentera AS. Gambar: Daily Mail

Tentera Amerika Syarikat (AS) telah mengawal lapangan terbang bagi penerbangan komersial kecuali penerbangan tentera sahaja dibenarkan beroperasi.

Pasukan AS melepaskan tembakan ke udara di lapangan terbang Kabul hari ini untuk mengawal ratusan orang awam yang berlari ke landasan, kata seorang pegawai AS.

“Orang ramai di luar kawalan, tembakkan dilepaskan hanya untuk meredakan kekacauan yang berlaku di lapangan terbang,” katanya.

Ribuan warga Afghanistan telah menuju ke lapangan terbang untuk cuba keluar dari negara itu setelah pemberontak Taliban memasuki ibu negara Afghanistan semalam.

Keadaan tidak terkawal apabila orang ramai menyerbu untuk menaiki pesawat. Gambar: Big World Tale

Rakaman video menunjukkan orang ramai mula berpusu-pusu di pintu masuk lapangan terbang, sementara beberapa penumpang terpaksa turun dari penerbangan komersial setelah penerbangan dibatalkan.

Salah seorang penumpang, Shoaib Barak, berkata dia diarahkan turun dari penerbangan KamAir selepas mendengar tembakan dalam keadaan yang kelam-kabut.

“Tindakan Taliban menghalang rakyat Afghanistan keluar dari negara itu mengejutkan ramai orang yang telah menempah penerbangan komersial untuk melarikan diri.

“Penumpang bukan warganegara telah diasingkan mengikut negara asal mereka untuk penerbangan tentera, namun Taliban telah mengatakan bahawa ia tidak akan membenarkan warganegara Afghanistan pergi,” katanya.

Orang ramai berebut untuk menaiki pesawat meninggalkan Afghanistan selepas negara itu dikuasai Taliban. Gambar: swiftheadline

Semalam, AS bersama pemimpin lebih daripada 65 negara mendesak Taliban untuk membiarkan rakyatnya meninggalkan Afghanistan dan memberi amaran akan bertanggungjawab ke atas segala penyalahgunaan kuasa.

“Amerika Syarikat bergabung dengan masyarakat antarabangsa dengan menegaskan bahawa rakyat Afghanistan dan warga negara asing yang ingin keluar dari negara itu mesti dibenarkan melakukannya.

“Mereka yang berkuasa di seluruh Afghanistan memikul tanggungjawab untuk melindungi nyawa manusia,” kata Setiausaha Negara, Antony Blinken menerusi Twitternya.

 

Sumber: Daily Mail

 

Dawn
Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Taliban Ambil Alih Kemenangan Dunia Islam, Kekalahan AS: Sirajul

no comment

AHLI Politik yang juga Pemimpin Jamaat-e-Islami (JI), Ameer Sirajul Haq mengatakan bahawa Taliban telah mengambil pendekatan pendamaian oleh rejim Kabul sebenarnya adalah kekalahan bagi Amerika Syarikat (AS) dan kemenangan rakyat Afghanistan khususnya dunia Islam.

Ameer Sirajul Haq . Gambar: Such TV

Sirajul mengharapkan dengan kekalahan yang memalukan bagi AS, kuasa besar itu tidak akan menyerang lagi negara lain, katanya ketika berucap pada bengkel latihan pusat untuk pemimpin dan pekerja JI di Mansoorah di sini, semalam.

Dia memuji Taliban kerana mahukan perdamaian, tidak membalas dendam terhadap lawan, melindungi diplomat dan orang asing bagi amnesti yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam dunia tamadun moden.

Katanya lagi, rakyat Afghanistan sekali lagi membuktikan bahawa mereka selalu mengalahkan kuasa besar yang menyerang negara mereka dan mendapat kemampuan untuk menyelesaikan masalah negara mereka dengan cara yang lebih baik.

Sirajul berkata, kekalahan kuasa penjajah Barat untuk ketiga kalinya dalam sejarah Afghanistan telah mengukuhkan lagi impian pembebasan Kashmir dan Palestin dengan harapan sinar kebebasan akan terbit tidak lama lagi.

Sirajul Haq memperingatkan bahawa pemimpin yang takutkan terhadap Allah Yang Maha Kuasa mampu mengelak daripada punca segala kejahatan seperti ketidakadilan, kekejaman, pertumpahan darah dan penjarahan.

Dia meminta orang-orang untuk memilih Jamaat-e-Islami untuk memastikan hak-hak mereka untuk memimpin mengikut landasan al-Quran dan Sunnah di dalam perlembagaan.

“Sudah tiba masanya pemimpin yang mengamalkan sistem keadilan seperti yang ditegakkan oleh Hazrat Umar Farooq (RA). Ahli JI dengan tekad dan semangat baharu harus menyampaikan mesej kepada setiap rumah dan setiap individu bahawa JI adalah pilihan terbaik dan satu-satunya yang dapat mengubah keadaan mereka.

“Keadaan inflasi, pengangguran dan kerusuhan dalam tiga tahun pemerintahan PTI telah menyukarkan hidup rakyat. Kadar pengangguran meningkat dari hari ke hari.

“Bilakah 22 juta orang akan menarik nafas lega? Sistem kadar faedah telah menjadikan negara sedemikian rupa sehingga menjalani kehidupan yang tidak sejahtera dan melalui cabaran besar bagi rakyat. Kehilangan nyawa dan harta benda warga di Karachi menjadi tanda tanya pemerintah,” katanya.

Sumber: International The News

Nilofar
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Taliban Punca Perniagaan Wanita Islam Afghanistan Bakal Kembali Ke Zaman Gelap

no comment

SEJAK kumpulan militan Taliban semakin berkembang dan aktif di Afghanistan ketika ini, pereka fesyen, Marzia Hafizi, 29, merasa bimbang mengenai kelangsungan perniagaan terutama golongan wanita yang kebanyakkannya telah mengusahakan perniagaan sejak 20 tahun.

Pereka fesyen Marzia Hafizi berbual dengan seorang pekerja di butiknya Lora di Kabul, Afghanistan. Gambar: Thomson Reuters Foundation / Shadi Khan Saif

Marzia, yang membuka kedai pakaiannya di ibu kota Kabul sejak tahun 2018, telah memenuhi impiannya untuk bergelar ahli perniagaan di negara yang dianggap konservatif dan dikuasai kaum lelaki sejak zaman pemerintahan Taliban (1996 hingga 2001).

“Ramai rakan dan keluarga saya menasihati agar berhenti dan meninggalkan negara ini, tetapi saya nekad untuk terus mengusahakan perniagaan ini. Setidaknya saya berjaya mewujudkan peluang pekerjaan untuk mereka dan melihat Afghanistan maju,” katanya.

Ketika tentera asing yang dipimpin Amerika Syarikat (AS) keluar dari negara itu, Taliban telah memperoleh keuntungan wilayah di Afghanistan. Situasi itu menimbulkan ketakutan di kalangan wanita mengenai hak mereka termasuk soal pendidikan dan pekerjaan hingga kebebasan untuk bergerak.

Semasa pemerintahan Taliban, wanita diharuskan menutup tubuh dan wajah mereka dengan burqa dan dilarang keluar, bersekolah, bekerja atau meninggalkan rumah tanpa saudara lelaki.

Namun kini kumpulan militan itu mengatakan mereka akan berubah mengikut cara Islam sebenar dengan memberikan hak wanita dalam perniagaan, pekerjaan, harta pusaka dan pendidikan.
Pun begitu, keputusan tersebut masih di peringkat perincian dan akan diputuskan menurut syariah Islam. Begitupun ia tetap menimbulkan keraguan kepada golongan wanita.

Fawzia Koofi. Gambar: Indenpendent.co.uk

Kerajaan telah berjanji untuk tidak berkompromi mengenai hak wanita sebagai pertukaran untuk perdamaian tetapi perbincangan antara Taliban dan ahli politik Afghanistan masih gagal berjalan dengan baik.

Penganalisis Majlis Perisikan Nasional AS telah meramalkan situasi itu merugikan bagi wanita, walaupun tanpa kemenangan Taliban. Pihak mereka mengatakan keuntungan wanita dalam perniagaan kerana desakan tekanan dari luaran dan bukannya mendapat sokongan dari negara sendiri.

Fawzia Koofi adalah salah seorang daripada beberapa perunding wanita dalam rundingan damai antara ahli politik Afghanistan dan Taliban.

Fawzia yang terselamat daripada dua percubaan pembunuhan, mengatakan golongan wanita Afghanistan akan terus menentang dan tidak akan berpatah balik.

“Kami akan melakukan segalanya untuk menjaga hak wanita dalam masyarakat, kehidupan politik dan sosial, kami tidak mahu kembali ke masa lalu yang gelap,” katanya.

Kerjaya wanita Afghan jauh semakin maju sejak kebelakangan ini. Gambar: Thomson Reuters Foundation / Shadi Khan Saif

Wanita Afghanistan telah menyumbang kepada kemajuan besar sejak dua dekad yang lalu. Jumlah yang semakin meningkat telah menyelesaikan beberapa isu seperti pendidikan, bekerja seperti golongan lelaki termasuk menyertai politik, media, kehakiman, hospitaliti dan bidang teknologi.

Di bandar-bandar seperti Kabul, Herat dan Mazar-i-Sharif, wanita muda dapat dilihat berjalan bebas, menggunakan telefon pintar mereka, memakai pakaian barat dan bergaul dengan lelaki di kafe dan pusat membeli-belah.

Presiden Ashraf Ghani telah melantik wanita sebagai timbalan gabenor di semua wilayah dan memberikan mereka peranan sebagai menteri.

Wanita Afghanistan memegang 27 peratus kerusi di dewan parlimen mengikut kuota, malah melebihi jumlah 25 peratus di negara-negara antarabangsa lain, menurut Kesatuan Antara Parlimen.

Wanitanya memiliki hampir 60,000 perniagaan, terutama di Kabul termasuk restoran, salon dan kedai kraftangan, menurut Dewan Perdagangan dan Industri Wanita Afghanistan.

Nilofa Ayubi

Nilofar Ayubi, 28, yang mengendalikan firma reka bentuk dalaman, Maria Clothing yang terkenal dengan golongan elit Kabul, berkata, “Apa pun keadaannya, saya tidak akan menyerah pada pekerjaan saya. Sekiranya Taliban berkuasa, mereka harus membunuh saya atau membiarkan saya meneruskan pekerjaan saya,” katanya.

Di kawasan luar bandar, di mana keluarga konservatif dan Islamik radikal berkuasa, kebanyakan wanita masih memakai burqa dan hanya meninggalkan rumah untuk pergi ke hospital dan mengunjungi keluarga. Gadis-gadis terus diserah untuk dinikahkan kepada golongan lelaki yang lebih tua.

Ketua Organisasi Perdamaian dan Hak Asasi Manusia, Nezam Uddin, berkata, “masih banyak yang harus dilakukan untuk memperluaskan hak-hak kesihatan dan pendidikan yang sangat kurang kepada wanita di luar bandar.

“Bukan sahaja daerah yang dikuasai Taliban, tetapi semua daerah terpencildi bandar dan kampung. Masyarakat masih jauh ketinggalan dalam hal pembangunan dan layanan, bahkan dibandingkan dengan Kabul, apatah lagi dengan negara-negara serantau,” katanya.

Sumber: Independen.co.uk

836e5c0a-ac84-485e-89e2-4268797a07e4
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Perjalalanan Nigara Shaheen Ke Tokyo Sebagai Pasukan Olimpik Pelarian

no comment

WANITA pelarian yang berasal dari Afghanistan dan dibesarkan di Pakistan, Nigara Shaheen akhirnya berjaya menjadi salah seorang daripada Pasukan Olimpik Pelarian di Tokyo 2020.

Nigara Shaheen yang dibawa lari oleh keluarga dari tanah kelahirannya di Jalalabad, semasa perang Afghanistan pada 1993 ketika itu baharu berusia enam bulan.

Shaheen mengimpikan ke Olimpik sejak kecil. Gambar: Al Jazeera

Keluarga membawanya berjalan selama dua hari dua malam untuk menyeberangi sempadan untuk menuju ke Pakistan.

Selepas berusia 18 tahun, Shaheen akhirnya dapat kembali ke kampung halaman di Afghanistan kerana mengikuti pengajian di American University of Afghanistan di Kabul. Dia yang aktif bersukan memasang impian untuk bergelar olimpian suata masa nanti.

Perjalanan Nigara Shaheen ke Olimpik 2020. Gambar: Quartz

Kini impian itu akhirnya tercapai apabila berjaya menyertai Pasukan Olimpik Pelarian bagi mewakili acara Judo Wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Ini adalah perjalanan yang sukar kerana pada satu ketika saya pernah berfikir pekara itu tidak akan menjadi realiti memandangkan saya adalah pelarian.

“Saya selalu bermimpi untuk bertanding di Sukan Olimpik dan saya sangat komited untuk mencapai impian itu. Ada kalanya saya fikir saya tidak akan dapat mencapainya, terutamanya semasa saya di Rusia kerana mengikuti pengajian ijazah, apatah lagi saya tidak dapat melakukan latihan kerana kesemua kelab judo ditutup akibat wabak coronavirus.

Shaheen mendengar taklimat selepas diumumkan terpilih mewakili pasukan Olimpik Pelarian. Gambar: International Judo Federation

“Tetapi saya masih ingat hari ketika Pasukan Olimpik Pelarian diumumkan, saya mengambil masa hampir satu hari untuk mempercayainya yang saya betul-betul terpilih,” katanya.

Begitupun dalam keseronokkan berjaya sebagai olimpian, Shaheen mengakui terdapat juga halangan yang dihadapi dalam hidupnya.

Shaheen (dua dari kiri) bersama rakan lain yang terpilih dalam Pasukan Olimpik Pelarian di Tokyo 2020. Gambar: International Judo Federation

“Saya sering diganggu dan dibuli ketika tinggal di Peshawar, Pakistan sebagai sebuah keluarga pelarian. Kami sentiasa merasa takut dan bimbang dengan keselamatan. Saya telah menjadi sasaran dan kecaman dan ancaman di media sosial. Individu yang tidak bertanggungjawab telah berjaya masuk menembusi akuan Facebook saya dan memuatkan banyak perkara mengenai diri saya.

“Di Rusia, saya juga tidak merasa diterima dalam masyarakat. Saya pergi ke sana dengan berfikir bahawa saya akan diterima untuk berlatih judo tetapi tidak mendapat sokongan yang saya harapkan.

“Walaupun sukar, namun semua perkara itu menjadikan saya lebih kuat. Malah jika bukan semua perkara itu terjadi kepada saya, tidak mungkin saya akan berada di Sukan Olimpik hari ini,” katanya.

Katanya, dia bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan kuat daripada keluarga sendiri dan mengambil berat untuk melindungi dirinya ke mana saya dia pergi.

“Walaupun saya sering diserang berkali-kali ketika dalam perjalanan untuk berlatih bersama keluarga, namun saya bersyukur kerana ibu bapa saya tahu semangat saya dan selalu memberi motivasi dan sentiasa berada di samping saya.

“Ketika saya menjadi pelarian di Pakistan, saya sangat muda dan kurang bergaul dengan masyarakat. Sebagai seorang kanak-kanak yang membesar di Pakistan, saya lebih banyak merasa kegelisahan dan kehidupan saya tidak sama dengan kanak-kanak di sekeliling saya.

“Tetapi sukan benar-benar menjadi tempat paling selamat bagi saya bukan hanya untuk kesihatan mental saya tetapi juga untuk memberi saya peluang untuk berintegrasi dengan masyarakat. Judo akan selamanya menjadi sukan yang saya cintai,” katanya.

Aksi Shaheen dalam pertandingan judo ketika dia dijatuhkan lawan. gambar: International Judo Federation

Menambah penglibatan dirinya dalam sukan judo, Shaheen berkata seni mempertahankan diri seperti gusti dan judo adalah jiwanya yang sukakan aktiviti lasak.

“Jika boleh, saya mahu menyertai semua kelab seni mempertahankan diri. Saya bermula dengan karate, kawasan tempat kami tinggal tidak mempunyai kelab lain jadi saya tidak adalah pilihan. Pada kejohanan bawah 14 tahun di Islamabad, jurulatih saya bertanya adakah saya mahu bermain judo kerana tidak ada banyak pemain judo bagi wanita. Saya bersetuju dan bertanding dalam judo sambil memakai pakaian karate.

“Sebaik sahaja saya melangkah ke pentas judo, saya merasakan mendapat semangat baharu, dan ketika itulah saya meninggalkan karate dan mengambil judo.

“Saya sangat berharap dengan kehadiran saya dalam kejohonan Olimpik ini dapat memberi inspirasi kepada gadis-gadis Afghanistan saya memiliki impian sama dengan saya. Saya telah menghadapi semua rintangan yang mencabar dalam hidup. Tetapi jika saya dapat melakukannya, mereka juga boleh melakukannya. Ia sukar tetapi tidak ada yang di luar kemampuan manusia,” katanya.

Sumber: Al Jazeera / Agensi Berita