Browsing Tag

adil

poligami
Hukum,

Cara giliran bermalam antara isteri dalam perkahwinan poligami. Ini saranan Islam.

ISU perkahwinan poligami sentiasa relevan menjadi buah mulut masyarakat.

Mana tidaknya, perkahwinan terdiri daripada seorang lelaki sehingga empat orang wanita itu melibatkan banyak hati, perasaan dan tanggungjawab yang besar.

Walaupun ia dibenarkan atas sebab-sebab tertentu, namun agama lebih menyarankan perkahwinan monogami agar tidak berlaku kezaliman sesama pasangan.

Bagi golongan adam yang memilih untuk menempuh jalan poligami, mereka wajib memastikan segala kebajikan para isterinya terjaga. Demi memastikan keadilan terpelihara, ada yang menggunakan sistem penggiliran bermalam di rumah pasangan.

Baca juga Suami boleh tidur dengan dua isteri dalam satu bilik? Berikut penjelasannya

Baca juga ‘Kehilangan sebenar apabila seorang masuk syurga dan pasangannya pula ke neraka’

Pada asasnya, hukum melakukan giliran bermalam dalam kalangan isteri adalah sunat dan bukannya wajib, seperti yang dipetik menerusi portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Bagi kaum lelaki yang berpoligami, dia disunatkan membahagikan malam serta tidur bersama para isterinya agar tidak meninggalkan mereka begitu sahaja.

Ia tidak dikira wajib kerana bermalam adalah hak suami dan dia boleh tidak melakukannya.

Turut disyorkan Empat perkara sunat dilakukan selepas akad nikah

poligami

WALAUPUN poligami dibenarkan agama, namun perkahwinan monogami lebih disarankan bagi mereka yang tidak mampu berlaku adil demi mengelakkan kezaliman terhadap pasangan. Foto: Unsplash

Walau bagaimanapun, jika dia telah bermalam dengan salah seorang orang rumahnya secara undian atau cara lain, maka si suami juga mesti bermalam bersama isterinya yang lain.

Ketika itu, melaksanakan penggiliran menjadi wajib untuk bersikap adil kepada mereka.

Perkara itu turut dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW sendiri menerusi sebuah hadis diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA, iaitu:

Nabi SAW membuat giliran dalam kalangan isterinya dan berlaku adil. Baginda bersabda: “Ya ALLAH, inilah pembahagian yang mampu aku lakukan. Janganlah kamu mencela aku tentang pembahagian yang kamu miliki yang tidak mampu aku lakukan.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud)

Baca juga 6 sikap romantik Rasulullah yang patut dicontohi

APABILA membahagikan masa bersama isteri-isteri dalam perkahwinan poligami, pastikan ia dilakukan secara sama rata.

Siapa berhak mendapat giliran bermalam

Semua isteri berhak mendapat giliran bermalam bersama suaminya walaupun salah seorang daripada mereka sakit, didatangi haid atau nifas selagi mereka taat kepada suami mereka.

Namun, bagi isteri yang nusyuz atau derhaka, dia tidak berhak mendapat bahagian ini kerana dia telah membatalkan haknya melalui penderhakaannya.

Baca juga Suami mengaku bujang atau duda. Awas, jangan sampai jatuh talak

ISTERI yang baru dinikahi perlu diberikan masa giliran bermalam lebih lama oleh sang suami.

Baca juga Haram menengking suami walaupun isteri tengah stres

Berapa hari untuk seorang isteri

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menasihatkan suami memperuntukkan satu malam dan sehari sebelumnya atau selepasnya bagi setiap orang isterinya.

Giliran bermalam selama dua atau tiga hari untuk seorang isteri juga dibolehkan, tetapi lebih daripada itu dikira haram kerana akan membebani mereka.

Turut disyorkan Isteri Boleh Tuntut Fasakh Kalau Suami Berpoligami Bersikap Tak Adil

Tambah JAIS, sehari semalam adalah dikira malam dan siangnya atau siang dan malamnya.

Oleh itu, haram hukumnya jika suami hanya memberi malam sahaja kepada salah seorang dari bininya sedangkan siangnya diberi kepada isteri yang lain.

Pun begitu, dalam hal lelaki tersebut baru bernikah, dia wajib bermalam selama tujuh hari berturut-turut sekiranya wanita itu anak dara. Sebaliknya, tiga hari berturutan adalah untuk janda. Setelah itu, barulah sang suami menggilirkan semula secara sama rata.

Baca juga Sedekah harta suami tanpa izin, ini hukumnya yang wajib diketahui

KEPADA mereka yang sudah berumah tangga, jalankan tanggungjawab masing-masing dengan sebaiknya, di samping menunaikan hak ALLAH SWT.

Haram kumpulkan para isteri dalam satu rumah

Menurut JAIS lagi, jika suami tinggal bersendirian, dia diharuskan memanggil semua isterinya datang menemuinya berdasarkan giliran masing masing.

Namun, yang paling afdal ialah dia pergi ke setiap rumah isterinya berdasarkan giliran masing-masing.

Dalam pada itu, JAIS menegaskan bahawa suami diharamkan mengumpulkan para isteri dalam sebuah rumah tanpa kerelaan mereka kerana tindakan itu akan menyebabkan perbalahan dan perselisihan sesama mereka.

Selain itu, sang suami turut diharamkan tinggal di rumah salah seorang daripada isterinya, kemudian memanggil isteri-isteri lain bermalam bersamanya di situ secara bergilir.

Baca juga Perlukah isteri taat kepada suami yang tidak solat? Berikut perinciannya

PERKAHWINAN merupakan sunnah Rasulullah SAW, bukan sahaja demi memenuhi fitrah manusia, tetapi juga melaksanakan ibadah dalam menyempurnakan semua hak dan tanggungjawab yang diberikan. Foto: Pexels

Begitulah cara pembahagian bermalam sesama para isteri bagi lelaki berpoligami yang digariskan oleh Islam.

Dalam mahligai cinta biasa antara sepasang suami isteri pun memerlukan tanggungjawab dan komitmen besar, inikan pula perkahwinan poligami.

Sememangnya memberi keadilan kepada ramai isteri bukan mudah. Namun, bagi mereka yang memilih untuk menempuh jalan tersebut, tanggungjawab itu wajib anda laksana dengan baik sesukar mana sekalipun.

Ingatlah pesanan baginda Rasulullah SAW. Sabdanya, “Sesiapa yang mempunyai dua orang isteri dan dia cenderung kepada salah seorang daripadanya, pada hari kiamat dia akan datang dengan sebahagian badannya senget.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & Jabatan Agama Islam Selangor

Foto: 123RF, Pexels & Unsplash