Browsing Tag

adibah noor

jaga kucing dengan baik
Isu,

Jagalah kucing dengan baik, elak dari dihumban ke neraka

BAGI pemilik-pemilik ‘si bulus’ di luar sana, jagalah kucing anda dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi penyebab anda terjerumus ke neraka.

Antara pencinta kucing yang sedang hangat diperkatakan tidak lain tidak bukan Allahyarham Adibah Noor.

Sabtu lalu, industri seni hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian pengacara dan pelakon terkenal, Adibah Noor yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur, pada 7.30 malam dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat.

jagalah kucing dengan baik

ADIBAH NOOR

Penyanyi ‘Terlalu Istimewa’ ini dikenali dengan sifat mencintai kucing dan dia sendiri memiliki lebih 40 ekor kucing di rumahnya.

Adibah cukup menyayangi kucing peliharaannya dan tidak pernah berkira mengenai wang yang dihabiskan untuk menampung keperluan haiwan belaannya, seperti yang pernah dikongsikan oleh beliau dalam sebuah temuramah bersama Berita Harian Online pada 2016.

“Sejujurnya, saya kurang pasti berapa banyak saya berhabis bagi membayar makanan, kos bulanan dan perubatan untuk kucing-kucing yang dibela. Apa yang pasti, saya tidak pernah berkira jumlah wang untuk kegunaan mereka.

“Bukan mudah untuk menjaga 41 ekor kucing kerana saya membeli makanan yang berkhasiat untuk mereka. Tanggungjawab yang dipikul tidak seharusnya dipandang mudah kerana ia ibarat menganiaya sekiranya tidak dibuat dengan baik,” katanya yang mengingati setiap nama kucing peliharaannya itu.

jagalah kucing dengan baik

KUCING dipercayai mula dijadikan haiwan peliharaan semenjak ia berjaya dijinakkan oleh masyarakat Mesir Purba.

Kucing disayangi sejak zaman Rasulullah

Bukan Adibah Noor sahaja yang menyukai makhluk berbulu itu. Kecomelan dan telatah kucing yang mencuit hati membuatkan haiwan tersebut sangat disenangi sejak zaman Rasulullah SAW lagi.

Pastinya ramai pernah mendengar ada hadis mengatakan kucing adalah haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW. Malah, baginda juga dikatakan mempunyai seekor kucing bernama Muezza.

Namun, menurut Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin ataupun lebih dikenali sebagai Dr Maza, hadis mengatakan kucing adalah haiwan kesayangan Rasulullah SAW tidak benar.

Tambahnya, tiada kucing yang khusus dalam hidup Nabi SAW kerana baginda menyayangi semua haiwan.

Baca juga Tuan kepada kucing kena bersihkan jika haiwan peliharaannya berak di rumah jiran. Ramai yang pandang remeh perkara ini… 

Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga mengulas bahawa tiada riwayat yang menyebutkan bahawa Rasulullah membela seekor kucing dengan nama tersebut.

Pun begitu, ada sahabat Rasulullah SAW yang sangat dikenali dengan sifat mencintai kucing iaitu Abu Hurairah RA.

Menurut laman web The Patriots, sebelum memeluk Islam, nama sebenar perawi hadis terkemuka ini adalah Abdul Syams yang membawa maksud ‘hamba matahari’. Namun, Rasulullah menukar namanya kepada Abdul Rahman.

Baca juga [VIDEO] Apabila bulu kucing melekat di tempat solat, kita perlu…

Beliau digelar Abu Hurairah yang bermaksud ‘bapa kucing’ kerana kegemarannya bermain dengan anak kucing.

Dari Abdillah bin Rafi’ berkata: “Aku berkata kepada Hurairah: “Mengapa kamu dipanggil Abu Hurairah?” dia berkata: “Apakah kamu takut kepadaku?” aku berkata: “Tentu demi Allah sungguh aku takut kepadamu,” dia berkata: “Aku pernah menggembala kambing keluargaku dan aku mempunyai haiwan kucing kecil lalu aku letakkannya di malam hari di suatu pohon lalu apabila siang hari aku pergi bersamanya kemudian bermain bersamanya lalu mereka memanggil ku Abu Hurairah.” (Sunan al-Tirmizi)

jagalah kucing

BUKAN sekadar kucing, kita juga perlu melayan makhluk ALLAH yang lain dengan baik termasuk tumbuhan dan sesama manusia.

Aniaya binatang penyebab masuk neraka

Seperti yang dijelaskan oleh pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tiada masalah untuk memelihara kucing namun kita perlulah menjaganya dengan baik.

Haram menyakiti haiwan tanpa sebab yang dibenarkan syarak. Jangan disebabkan kelalaian kita menjaga haiwan peliharaan menjadi punca kita terjerumus ke neraka.

Baca juga Tak sah jual beli anak kucing yang masih dalam kandungan

Seperti yang diceritakan Abdullah bin ‘Umar RA dalam sebuah hadis, seorang wanita pada zaman Nabi SAW dikenakan azab api neraka kerana mengabaikan haiwan belaannya. Sabda Rasulullah SAW:

Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.

Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga dia boleh makan serangga yang berada di tanah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Baca juga 5 rahsia murah rezeki perkongsian PU Amin, salahnya satu daripadanya bagi kucing makan

Sebagai umat Islam, kita diwajibkan berbuat ihsan kepada makhluk ALLAH yang lain. Makhluk yang dimaksudkan bukan terhad kepada kucing sahaja, bahkan termasuk manusia, tumbuhan serta haiwan lain.

Foto: Pexels