Browsing Tag

adab ziarah kubur

kubur
Isu,

Baca doa ini ketika melalui kawasan perkuburan

KEADAAN manusia di atas muka bumi ini tidak ubah seperti seorang pengembara. Apabila tiba masanya, kita semua akan meninggalkan dunia untuk menemui ALLAH SWT dan diberikan balasan setimpal amalan yang pernah dikerjakan.

Oleh sebab itu, Rasulullah SAW mengajarkan umatnya agar menziarahi pusara orang yang telah menghadap Ilahi supaya kita sentiasa beringat terhadap hari kebangkitan yang dijanjikan akan tiba.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Dahulu aku menghalang kamu daripada menziarahi kubur, maka (sekarang) ziarahilah kubur, kerana ia boleh menjadikan kamu zuhud terhadap dunia dan mengingati akhirat.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Apabila menziarahi atau melewati kawasan perkuburan, kita sebenarnya disunatkan untuk memberi salam dan menitipkan doa buat jasad yang menghuni pusara berkenaan.

Baca juga Haram menjirus air mawar atas kubur selain untuk sebab-sebab ini.

APABILA berada di pusara atau melalui kawasan perkuburan, kita disarankan agar memberi salam, berdoa dan hanya menyebut perkataan baik sahaja. Foto: Unsplash

Baca juga Ziarahlah kenalan bukan Islam yang meninggal. Ini penjelasannya

Cara beri salam kepada ahli kubur

Perkara ini dijelaskan oleh pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menerusi sebuah hantaran di laman sosial Facebook.

Katanya lagi, salam itu sebaik-baik diucapkan sebanyak dua kali. Salam yang pertama adalah buat sekalian penghuni kubur ketika mula-mula tiba di kawasan perkuburan, manakala salam kedua diberikan semasa sampai di pusara yang hendak diziarahi.

Sekurang-kurang lafaz salam kepada ahli kubur ialah seperti salam yang biasa diucapkan kepada sesama orang hidup, iaitu:

ﺍَﻟﺴَّﻼَﻡُ ﻋَﻠَﻴْﻜُﻢْ

Pun begitu, Ustaz Azhar berkata, ucapan salam yang lebih afdal adalah seperti yang pernah diajarkan Rasulullah SAW, iaitu

ﺍَﻟﺴَّﻼَﻡُ ﻋَﻠَﻴْﻜُﻢْ ﺩَﺍﺭَ ﻗَﻮْﻡٍ ﻣُﺆْﻣِﻨِﻴْﻦَ ، ﻭَﺃَﺗَﺎﻛُﻢْ ﻣَﺎ ﺗُﻮْﻋَﺪُﻭْﻥَ ، ﻏَﺪًﺍ ﻣُﺆَﺟَّﻠُﻮْﻥَ ، ﻭَﺇِﻧَّﺎ ﺇِﻥْ ﺷَﺎﺀَ ﺍﻟﻠﻪُ ﺑِﻜُﻢْ ﻻَﺣِﻘُﻮْﻥَ

Ertinya: “Selamat sejahtera ke atas kamu semua penduduk negeri orang beriman. Dan telah datang akan kamu apa yang telah dijanjikan akan kamu. Dan hari esok akan tertunai. Dan kami semua insya-ALLAH akan bertemu dengan kamu sekalian.”

Baca juga Sentiasa tutup pintu tandas elakkan dari dibuka syaitan

Turut disyorkan ‘Bersama’ dengan isteri belum mandi wajib asbab haid, ini yang wajib tahu

Atau;

ﺍَﻟﺴَّﻼَﻡُ ﻋَﻠﻰَ ﺃَﻫْﻞِ ﺍﻟﺪِّﻳَﺎﺭِ ﻣِﻦَ ﺍﻟْﻤُﺆْﻣِﻨِﻴْﻦَ ﻭَﺍﻟْﻤُﺴْﻠِﻤِﻴْﻦَ، ﻭَﻳَﺮْﺣَﻢُ ﺍﻟﻠﻪُ ﺍﻟْﻤُﺴْﺘَﻘْﺪِﻣِﻴْﻦَ ﻣِﻨْﻜُﻢْ ﻭَﻣِﻨَّﺎ ﻭَﺍﻟْﻤُﺴْﺘَﺄْﺧِﺮِﻳْﻦَ، ﻭَﺇِﻧﺎَّ ﺇِﻥْ ﺷَﺎﺀَ ﺍﻟﻠﻪُ ﺑِﻜُﻢْ ﻻَﺣِﻘُﻮْﻥَ .

Ertinya: “Selamat sejahtera atas penghuni kubur dari mukminin dan muslimin. Semoga ALLAH merahmati yang terdahulu dari kamu semua dan dari kami yang terkemudian. Dan kami insya-ALLAH akan bersama kamu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Kedua-dua lafaz salam berikut diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, jelas agamawan itu.

jenazah

KEMATIAN itu pasti bagi setiap hamba ALLAH SWT di atas muka bumi ini. Foto: Google

Baca juga 11 tanda anda diganggu makhluk halus, berikut pencerahan oleh pakar perubatan Islam.

Sebut perkataan-perkataan baik di perkuburan

Hakikatnya, orang yang telah meninggal dunia boleh mendengar apa yang diperkatakan kepada mereka. Bagaimanapun, cara jenazah mendengar bukanlah melalui pancaindera tubuh badan seperti kita yang masih hidup.

Diceritakan dalam sebuah hadis bahawa setelah selesai tiga hari peperangan di Badar, Rasulullah SAW pergi ke tempat-tempat di mana tentera kafir Quraisy telah terbunuh.

Kata baginda: “Wahai Abu Jahal bin Hisham. Wahai Umayyah bin Khalaf. Wahai ‘Utbah bin Rabi’ah. Wahai Syaibah bin Rabi’ah. Adakah kamu semua dapati apa yang dijanjikan oleh berhala-berhala yang kamu sembah itu benar? Maka sesungguhnya aku dapati apa yang ALLAH janjikan kepada aku itu benar.”

“Apabila Saidina Umar mendengar kata-kata baginda, beliau berkata: “Ya Rasulullah, bagaimana mereka boleh mendengar dan menjawab pertanyaan kamu itu? Sesungguhnya mayat-mayat mereka sedang mereput.”

Jawab Nabi Muhammad SAW: “Demi ALLAH yang jiwaku dalam kuasa-NYA. Pendengaranmu tidak setajam pendengaran mereka. Hanya saja mereka tidak dapat menjawab.” (Hadis Riwayat Muslim)

jenazah

JANGAN bersikap semberono sahaja ketika melangkah masuk kawasan perkuburan. Sebaliknya, ambil tahu adab tatkala menziarahi pusara. Foto: Google

Demikian Rasulullah SAW menjelaskan bahawa jenazah mampu mendengar, tetapi tidak berupaya menjawab.

Oleh itu, kita disarankan agar memberi salam, berdoa dan hanya menyebut perkataan yang baik-baik apabila berada di pusara atau melalui kawasan perkuburan.

Moga-moga kita turut tergolong dalam kalangan orang yang didoakan oleh mereka yang masih hidup apabila kita sudah meninggal dunia kelak.

Sumber: Facebook Ustaz Azhar Idrus

Foto: Google & Unsplash

haram jirus air mawar atas kubur
Hukum,

Haram menjirus air mawar atas kubur selain untuk sebab-sebab ini.

BAGI masyarakat Islam di Malaysia, ada beberapa perkara yang dikira adat ketika melawat tanah perkuburan. Jika tidak dilaksanakan, rasanya tidak lengkap ziarah yang dilakukan itu. Contohnya, perbuatan menjirus air mawar atas kubur.

Dalam Islam, kita digalakkan menziarahi pusara mereka yang telah tiada sebagai peringatan betapa singkatnya hidup kita di dunia. Tiada yang lebih berkuasa daripada ALLAH al-Baqi.

Setiap yang bernyawa pasti akan kembali ke sisi Pencipta-nya suatu hari nanti.

Baca juga Air Kencing Yang Menyumbang Azab Kubur, Berikut Penjelasannya

Perihal menjirus air mawar atas kubur, hakikatnya ramai yang mengamalkan hanya kerana mereka diajar untuk melakukan sedemikian tanpa mengetahui sebab dan hukum di sebaliknya.

haram jirus air mawar atas kubur

ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Penjelasan yang diberikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri adalah sememangnya yang wajib itu adalah jenazah dikebumikan tanpa menjirus sebarang air.

Namun ramai ulama Syafie berpendapat hukumnya harus bagi menjiruskan air ke atas kubur.

Bahkan ada pendapat menyatakan sunat berdasarkan riwayat yang menunjukkan Rasulullah SAW menyiram air ke atas kubur anakandanya Ibrahim.

Begitupun, penggunaan air mawar dianggap sebagai makruh atas sebab suatu pembaziran dan mensia-siakan harta.

haram jirus air mawar

TIDAK wujud amalan menjirus air mawar ke tanah pusara dalam Islam, kerana perbuatan itu dilihat sebagai suatu pembaziran.

Hujah ini diteruskan oleh pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus yang menerangkan bahawa hukum jirus air atas kubur adalah harus bagi kebanyakan ulama asalkan ia dilakukan dengan tujuan berikut:

1. Supaya tanahnya kemas bagi kubur baru (jenazah baru ditanam)
2. Menghidupkan pokok-pokok dan bunga yang hidup di atas kubur tersebut
3. Supaya tanah tidak berdebu

Sebaliknya, jika ada individu yang percaya bahawa jirusan yang dilakukan dapat menyejukkan jenazah atau sebagainya, itu dikira perbuatan khurafat.

Baca juga 5 adab ziarah kubur yang perlu anda ketahui

Pesan Azhar, perkara ini penting untuk kita ambil tahu.

“Ramai orang jirus kubur tetapi dia tidak tahu sebab mengapa jirus (itu dilakukan). (Dia) jirus hanya kerana mak suruh,” katanya.

Sungguhpun kita dibolehkan menjirus air ke atas kubur, namun sebaik-baik amalan ketika menziarahi pusara adalah dengan mendoakan si mati.

haram jirus air mawar atas kubur

UTAMAKAN doa kepada si mati dahulu apabila melawat tanah pusara.

Jelas beliau, sebaik tiba di kubur, ucapkan salam kepada si mati dahulu. Kemudian, bacalah ayat al-Quran yang mudah bagi kita sebelum doa minta kebaikan buat arwah.

Semoga perkongsian menjadi peringatan setiap kali kita pergi menziarahi pusara insan tercinta dan sentiasalah mendoakan supaya si mati dijauhkan daripada azab kubur.

Foto: Iluminasi & Pexels