Browsing Tag

adab berpuasa

Lailatulqadar
Isu, Pilihan Editor,

Jangan Riak Apabila Bertemu Lailatulqadar

no comment

Oleh DR MOHD HASRUL SHUHARI

RAMADAN bakal meninggalkan kita tidak lama lagi. Maka, gunakanlah baki bulan yang ada itu dengan penuh beradab agar menjadi penyebab kepada kita untuk menggapai keampunan ALLAH SWT.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Jibril AS datang kepadaku dengan berkata: “Binasalah seseorang hamba itu yang sempat bertemu Ramadan kemudian berpisah dengannya dalam keadaan dosanya tidak diampunkan.“ (Riwayat al-Bukhari)

Adab dan fadilat berpuasa telah dijelaskan oleh Imam al-Ghazali dalam Kitab Bidayah al-Hidayah. Menerusi monumental berkenaan, puasa bukan sekadar meninggalkan makan, minum dan jimak semata-mata bagi mereka yang sudah berkahwin, tetapi juga merangkumi penjagaan terhadap seluruh anggota badan.

Selain itu, orang berpuasa juga perlu menjaga perut dan kemaluannya iaitu tidak banyak makan dan berzina.

Ketika berbuka puasa, Imam al-Ghazali menasihati agar kita makan makanan yang halal dan tidak menjamah dalam kuantiti yang banyak.

Lailatulqadar

IMAM AL-GHAZALI berpesan supaya tidak makan dalam kuantiti yang terlalu banyak kerana ia memberatkan perut yang tidak memberi faedah kepada puasa seseorang.

Perbuatan itu hanya akan memberatkan perut dan tidak memberi faedah kepada puasa kita. Kita perlu ingat bahawa tujuan berpuasa adalah untuk memecahkan syahwat dan menambahkan ketakwaan.

Imam al-Ghazali juga menasihatkan umat Islam agar tidak sekadar berpuasa pada bulan Ramadan sahaja. Kita disaran untuk merebut ganjaran lebih tinggi dan mendapat kedudukan teratas ketika di akhirat dengan berpuasa sunat. Justeru, umat Islam perlu menjadikan semangat ibadah Ramadan kali ini dengan melakukan amalan ibadah puasa sunat yang lain.

Antara hari-hari terdapat fadilat untuk berpuasa pada hari Arafah (9 Zulhijah) bagi yang tidak mengerjakan haji ketika itu, hari ‘Asyura (10 Muharam), 10 hari awal bulan Zulhijah, 10 awal bulan Muharam, bulan Rejab, Syaaban, bulan-bulan haram (Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab), ayyam al-baid (hari-hari putih iaitu 13, 14 dan 15 hari bulan hijrah), hari Isnin dan Khamis dan seumpamanya.

Kelebihan puasa sunat antaranya dapat menghapuskan dosa-dosa kecil sama ada yang dilakukan secara mingguan, bulanan atau tahunan.

Jelas Imam al-Ghazali, puasa adalah asas bagi ibadah dan kunci untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. Maka, perlulah kita memperbanyakkan amalan berkenaan.

Lailatulqadar

BERPUASA sebenarnya merupakan kunci untuk mendekatkan diri kepada ALLAH dan semoga ibadah yang dilakukan dalam bulan Ramadan itu dapat diteruskan pada bulan-bulan lain dengan melakukan puasa sunat.

Lailatulqadar

Antara kelebihan bulan Ramadan yang mencuri tumpuan ramai ialah malam lailatulqadar.

Baca juga Apa Sahaja Ibadah Dapat Ganjaran Hidupkan Lailatulqadar

Diriwayatkan bahawa pada zaman Bani Israel, terdapat seorang lelaki yang beribadah pada malam hari dan berjuang memerangi musuh pada siang harinya. Selama 1,000 bulan beliau melakukannya tanpa jemu.

Maka ALLAH menurunkan ayat Surah al-Qadr yang menjelaskan bahawa satu malam lailatulqadar adalah lebih baik daripada 1,000 bulan Bani Israel tersebut.

Ini adalah peluang keemasan kepada umat Islam pada akhir zaman untuk beribadah agar dapat menyamai atau melebihi ibadah umat terdahulu yang berumur panjang.

Ketahuilah, para malaikat termasuk Malaikat Jibril turun pada malam tersebut dengan membawa rahmat. Mereka (turun) dari setiap langit dan dari Sidratulmuntaha menuju ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut sehingga waktu fajar.

Lailatulqadar

BERUSAHALAH untuk beribadah untuk mengejar fadilat lailatulqadar dan istiqamah melakukan amal soleh meskipun Ramadan sudah meninggalkan kita.

Imam al-Qurtubi ketika memetik pandangan al-Dahhaq bahawa ALLAH tidak mentakdirkan pada malam tersebut melainkan keselamatan. Turut juga dinukilkan pandangan Mujahid bahawa malam tersebut adalah selamat kerana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada ketika itu.

Saidatina Aisyah berkata: “Aku bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, apa pendapatmu jika aku mengetahui bahawa pada suatu malam itu ia adalah lailatulqadar, apa yang perlu aku ucapkan?“ Baginda menjawab: “Ucapkanlah, Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa‘fu‘anni (Wahai Tuhanku ENGKAULAH Tuhan YANG MAHA PEMAAF yang menyukai kemaafan, maka maafkanlah daku).“ (Riwayat at-Tirmizi)

Namun, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berpandangan, terdapat kebimbangan akan menimbulkan riak dan hasad dengki jika seseorang mendedahkan bahawa dirinya berjaya menemui lailatulqadar kepada orang ramai. Ini adalah adab ketika seseorang itu mendapat nikmat ALLAH tersebut.

Ia berdasarkan kepada ibrah yang diambil daripada ucapan Nabi Yaakub AS kepada anaknya, Nabi Yusuf AS. Setelah bermimpi melihat 11 bintang, matahari dan bulan sujud kepadanya. Bapanya melarang Nabi Yusuf menceritakan mimpi itu kepada saudara-saudaranya kerana bimbang mereka mengatur rancangan jahat terhadapnya.

Lailatulqadar

JANGAN berbangga dan menghebohkan bahawa kita menemui lailatulqadar kepada orang ramai kerana ia dibimbangi akan menimbulkan riak serta perasaan hasad dengki.

Menurut al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali dalam Kitab Lataif al-Maarif pula, seseorang itu dikira telah menghidupkan malam lailatulqadar apabila mereka mendirikan solat Isyak secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah juga.

Ia mungkin selari dengan hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa melaksanakan solat Isyak berjemaah, maka ia mendapatkan pahala solat separuh malam, dan barang siapa melaksanakan solat Isyak dan Subuh dengan berjemaah, maka ia mendapatkan pahala solat sepanjang malam.“ (Riwayat at-Tirmizi)

Harapan saya, semoga umat Islam dapat melaksanakan ibadah pada bulan Ramadan dengan menjaga semua anggota badan di samping bersabar dan tidak menjadi pelahap dan membazir.

Semoga kita sama-sama memperoleh keberkatan daripada ALLAH YANG MAHA ESA.

***Dr Mohd Hasrul Shuhari ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin

Foto: Freepik