Browsing Tag

abu lahab

model keluarga terbaik disebutkan al-Quran
Berita Semasa,

Model keluarga terbaik disebutkan dalam al-Quran

MEMILIKI keluarga bahagia dan harmoni pastinya menjadi dambaan setiap insan. Islam sendiri sangat menekankan institusi kekeluargaan yang baik dalam kalangan umatnya. Tahukah anda, terdapat model keluarga terbaik disebutkan dalam al-Quran?

Masakan tidak, keperibadian sesuatu individu bergantung kepada cara dia dibesarkan. Bak kata pepatah Melayu, ‘Bagaimana acuan, begitulah kuihnya’, lahirnya seorang insan soleh yang beriman kepada ALLAH SWT adalah hasil didikan baik daripada ibu bapa.

Dalam pencarian model keluarga yang boleh diteladani, ALLAH sudah pun memberikan contoh-contohnya menerusi kalamullah yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.

Model keluarga dalam al-Quran

AHMAD SANUSI AZMI

Bagi contoh keluarga yang soleh, ALLAH ada menampilkan kisah keluarga Imran di dalam al-Quran. Perkara ini dikongsikan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi melalui laman sosial Facebook miliknya.

Nama diabadikan dalam al Quran

Imran adalah bapa kepada Saidatina Maryam. Menurut Ibn Asyur, beliau dilihat sebagai lelaki yang soleh dalam kalangan Bani Israel (rujuk al-Tahrir wa al-Tanwir, 3/84).

Ali Imran bukanlah seorang nabi atau rasul dan sebaliknya, hanyalah seorang hamba ALLAH yang biasa. Hebatnya beliau sehingga dimuliakan oleh ALLAH SWT dengan namanya diabadikan dalam kitab al-Quran.

Isteri beliau turut digambarkan sebagai ibu dan isteri yang solehah. Ini dapat difahami melalui dialog (doa) beliau ketika mengandungkan Maryam. Isteri Imran bernazar agar anak yang dikandungnya menjadi seorang yang melindungi agama dan mengabdikan dirinya hanya untuk ALLAH (rujuk al-Tabari, Jami’ al-Bayan).

Model keluarga dalam alquran

INSTITUSI kekeluargaan baik adalah yang mentaati ajaran agama seperti keluarga Imran yang diceritakan menerusi kalamullah.

Berkat doa ibu yang solehah serta ayah yang soleh, mereka dikurniakan anak yang solehah iaitu Maryam.

Bukan itu sahaja, atas takdir yang ditentukan oleh ALLAH, guru yang mendidik Maryam juga adalah yang soleh, iaitu Nabi Zakaria

Dalam masa sama, kisah ringkas dalam al-Quran ini juga menggambarkan kepentingan gabungan peranan ibu bapa dan guru dalam mendidik serta menghasilkan pelajar yang baik.

Baca juga 5 Pendekatan Didik Anak Cara Rasulullah SAW Bagi Membentuk Mereka Menjadi Pemimpin Terbaik Pada Masa Depan  

Walaupun Maryam diuji dengan ujian yang amat sukar apabila beliau mengandung tanpa berkahwin, beliau berjaya melalui ujian ini dengan tenang.

Kehebatan keluarga ini menjadikan nama mereka dipatrikan sebagai salah satu nama surah di dalam al-Quran, iaitu surah Ali Imran.

Yang menariknya, ALLAH turut memberikan contoh keluarga yang tidak baik, yang berlawanan dengan kisah keluarga Imran.

Model keluarga dalam alquran

ALLAH telah memberikan banyak contoh sama ada baik mahupun buruk dalam al-Quran sebagai garis panduan membina sebuah keluarga harmoni.

Kedudukan paling hina

ALLAH mengkhususkan satu surah untuk keluarga Abu Lahab, menggambarkan kedudukan mereka sebagai contoh keluarga yang teruk di dalam al-Quran.

Surah ini dimulakan dengan lafaz ‘tabbat’ (celaka) buat Abu Lahab kerana dia banyak menyakiti Rasulullah dan memusuhi Islam. Bahkan, isteri serta anaknya turut membantu dalam perkara ini.

Ummu Jamil, isteri Abu Lahad dikatakan bukan sahaja mencaci Rasulullah, malah menabur duri di jalan yang dilalui oleh Rasulullah.

Baca juga Merotan Bukan Untuk Menghukum, Sebaliknya Ia Pendekatan Akhir Didik Anak-anak Kita

Anak mereka yang berkahwin dengan puteri Rasulullah, Utbah (yang berkahwin dengan Ruqaiyah) serta Utaybah (yang berkahwin dengan Ummu Kalthum) disuruh pula menceraikan isteri mereka (iaitu anak-anak Rasulullah).

Kejahatan Abu Lahab serta ahli keluarga mereka dalam memerangi Islam diabadikan di dalam al-Quran di dalam satu surah sebagai suatu pedoman bagi Muslim.

Semoga perkongsian ini bermanfaat dalam usaha kita mewujudkan sebuah keluarga sakinah yang beriman dengan perintah-NYA.

Foto: Pexels, Freepik & Unsplash