Browsing Tag

70

Ilmu hadis
Isu, Pilihan Editor,

Subhanallah, 70,000 Malaikat Akan Memohon Keampunan Untuk Mereka Yang Amalkan Surah Ad-Dukhan

no comment

TIADA apa lagi yang dimahukan selain menggapai keredaan, rahmat dan keampunan daripada ALLAH SWT sebelum kita menghadap-NYA. Itulah harapan yang paling didambakan oleh setiap umat Islam di muka bumi ini.

Letih dengan ujian? Mengertilah bahawa hidup di dunia ini tidak pernah mencatatkan adanya orang yang akan terselamat daripada sebarang dugaan. Sesungguhnya, ALLAH MAHA MENGETAHUI. Segala yang datang daripada-NYA adalah baik, sekalipun manusia melihat sebaliknya.

Sebagai hamba-NYA yang taat, lafaz istighfar dan amalan taubat perlu sentiasa dilazimkan. Itu sebaik-baik pendekatan untuk meraih reda dan maghfirah-NYA.

Terdapat cara lain yang turut disyorkan. Pendekatan itu adalah dengan melazimkan bacaan Surah ad-Dukhan. Ini kerana intipati yang terkandung dalam surah berkenaan antaranya membantu umat Islam mendapatkan keampunan daripada ALLAH YANG MAHA ESA.

Apakah keistimewaan Surah ad-Dukhan? Apakah bentuk ganjaran yang kita boleh peroleh dengan membasahkan lidah membacanya tanpa jemu?

Amaran

Menjawab semua pertanyaan itu, Sinar Islam Plus mendapatkan komen pendakwah Ahmad Lutfi Abdul Wahab Al-Linggi.

AHMAD LUTFI

Beliau dengan penuh semangat menerangkan latar belakang Surah ad-Dukhan yang menurutnya memiliki keistimewaan yang tidak berbelah bagi.

Ujar beliau, surah ke-44 dalam al-Quran itu tergolong sebagai Surah Makiyyah yang terdiri daripada 59 ayat. Nama ad-Dukhan (kabus, jerebu atau asap) itu diambil sempena kalimah tersebut yang ada pada ayat ke-10 surah berkenaan.

Baca juga Surah ar-Rahman Menyingkap Sifat Pemurah ALLAH SWT

Jelas Ahmad Lutfi, isi kandungannya sarat dengan kisah pengajaran yang boleh dijadikan pedoman dalam kehidupan manusia.

Beliau kemudian menceritakan kisah yang tercatat dalam Hadis Riwayat al-Bukhari.

Menurut riwayat berkenaan, ketika itu, orang kafir Makkah telah melampaui batas. Mereka bukan sahaja menentang agama Islam, malahan dengan sengaja menyakiti dan menderhaka kepada nabi. Oleh sebab itu, baginda berdoa kepada ALLAH SWT agar diturunkan azab.

“ALLAH SWT mendengar permintaan nabi dan mengabulkannya sebagaimana doa Nabi Yusuf AS ke atas orang yang pernah menderhaka kepada baginda AS dengan menurunkan musim kemarau yang panjang. Dek kerana kelaparan yang teramat, mereka akhirnya terpaksa memakan tulang dan bangkai.

“Pada masa sama, orang kafir berkenaan kerap memandang ke langit dengan harapan ALLAH SWT akan membantu mereka. Malangnya, tiada satu pun yang mampu menembusi penglihatan mereka kecuali kabus jerebu yang menutupi pandangan,” ceritanya.

Selanjutnya, kata Ahmad Lutfi, disebabkan tidak tahan dengan keadaan yang berlarutan itu, mereka akhirnya bertemu nabi dan meminta baginda supaya memohon kepada ALLAH SWT untuk menurunkan hujan.

“Malangnya setelah ALLAH SWT mengabulkan permintaan itu, mereka kembali kafir seperti asal. Disebabkan itulah ALLAH memberikan amaran bahawa golongan itu akan diberikan azab yang pedih,” ujar beliau.

Surah ad-Dukhan

JANGAN sesekali meninggalkan al-Quran kerana ia merupakan panduan hidup kita di dunia dan akhirat.

Jalan menambah amal

Bilakah waktu terbaik membaca surah tersebut? Jawab Ahmad Lufti, umat Islam sangat digalakkan untuk membacanya pada malam Jumaat, hari Jumaat dan setiap malam berdasarkan beberapa riwayat yang masyhur.

Menyambung hujahnya, beliau yang juga Pengerusi Tahfiz Al-Quran As-Syarif menjelaskan, begitu beruntungnya orang yang membaca Surah ad-Dukhan kerana imbalannya begitu besar sekali. 

Bayangkan, jika kita melazimkan diri membaca dan menghayati sepenuhnya kalam ALLAH itu akan didoakan oleh 70,000 malaikat yang memohon ampun untuk pembacanya!

Fakta itu ada disebutkan dalam sebuah hadis. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca ad-Dukhan setiap malam, maka 70,000 malaikat memohon ampun untuknya.” (Riwayat at-Tirmizi)

Begitu juga disebutkan dalam hadis daripada Umamah yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah ad-Dukhan pada malam atau hari Jumaat, maka ALLAH akan membina sebuah rumah dalam syurga.” (Riwayat at-Tabarani)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, kata Ahmad Lufti, sudah jelas bahawa Surah ad-Dukhan banyak dikaitkan dengan memohon keampunan.

Menjadi bertambah afdal, seandainya kita memahami erti dan maksud yang tersirat di sebalik surah yang penuh menakjubkan ini.

Senada dengan Ahmad Lutfi ialah pendakwah Bakhtiar Fitri Abdul Hamid.

BAKHTIAR FITRI

Namun Bakhtiar Fitri mempunyai peringatan khas. Ujarnya, meskipun umat Islam berpeluang untuk meraih keampunan ALLAH SWT dengan mengamalkan Surah ad-Dukhan, namun ia bukanlah bermaksud kita tidak perlu lagi bertaubat dan beristighfar.

Mahu atau tidak, katanya, sebagai hamba ALLAH SWT, kita wajib memohon keampunan, beristighfar dan bertaubat, selain menyesal atas segala perbuatan dosa yang pernah dilakukan serta meninggalkan maksiat.

“Ingin saya jelaskan, membaca Surah ad-Dukhan itu adalah antara satu jalan untuk menambah amal dalam mendapatkan maghfirah,” katanya.

Hakikatnya, jelas pendakwah itu, semua hadis yang memerihalkan tentang khasiat, waima kelebihan membaca Surah ad-Dukhan, sebenarnya sekadar memberikan kita galakan untuk mengamalkannya.

Surah ad-Dukhan

BERTAUBAT dan beristighfar tetap perlu dilakukan untuk meraih reda, rahmat dan keampunan ALLAH SWT selain beberapa cara lagi yang dianjurkan oleh Islam.

“Ini bermakna, kita penuhi malam hari dengan amal ibadah selain daripada solat untuk mendekatkan diri dengan ALLAH SWT.

“Sebenarnya, ada beberapa surah lain yang turut digalakkan untuk dibaca pada waktu malam. Antaranya Surah al-Waqiah dan al-Mulk, selain ad-Dukhan. Justeru, sama-samalah kita berusaha untuk mengamalkan surah-surah yang dianjurkan agama bagi meraih ganjaran,” nasihatnya.

Dihindari bala

Dalam pada itu, Bakhtiar Fitri yang juga Perunding Utama Nadi Ilmu Training Management menjelaskan, tidak salah untuk kita mengamalkan beberapa ayat tertentu dalam Surah ad-Dukhan dalam kehidupan seharian.

Misalnya, ayat 12, Surah ad-Dukhan yang berbunyi: “Wahai Tuhan kami! Hapuskanlah azab ini daripada kami, sesungguhnya kami akan beriman!”

“Itu antara satu doa yang ALLAH ajarkan kepada kita untuk menjauhkan diri daripada bala dan seksaan. Sebelum doa itu (diajarkan), ALLAH SWT telah menceritakan tentang perangai orang kafir Makkah yang telah melampaui batas pada ayat ke-10.

“Namun begitu, selepas azab kemarau berpanjangan diturunkan dan ALLAH mengabulkan permintaan supaya ia dihentikan dan digantikan dengan turunnya hujan, mereka tetap lagi kafir. Ia menjadi asbab mengapa ALLAH SWT menyatakan, mereka akan dikenakan azab yang sangat pedih. Dari situlah ALLAH SWT mengajar kita tentang doa itu,” katanya.

Surah ad-Dukhan

LAZIMKANLAH diri membaca Surah ad-Dukhan pada setiap malam atau pada hari Jumaat menurut beberapa riwayat yang masyhur.

Adapun, jelas Bakhtiar Fitri, ayat 59 dalam surah berkenaan yang diamalkan oleh segelintir individu untuk membantu mereka menang ketika berhujah, sebenarnya bukanlah satu bentuk doa.

Jika diteliti, ayat tersebut berkisarkan janji ALLAH SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk memberikan kemenangan kepada baginda, terangnya.

“ALLAH SWT menyatakan kepada baginda untuk menantikan kemenangan ke atas orang kafir. Sementara itu, bagi orang kafir pula, tunggulah kebinasaan yang dijanjikan pada hari kiamat kelak,” katanya.

Mengulas lanjut, pendakwah itu berkata, ayat yang sama juga menyuntik motivasi dan semangat kepada umat Islam.

“Ketika berdakwah dan mendaulatkan agama suci ini, kita sememangnya tidak dapat lari daripada dimusuhi atau dibenci. Walaupun di dunia ini kita nampak seolah-olah kita dan agama Islam dihina atau kalah, namun ketahuilah, kemenangan kita sebenarnya ditangguhkan. Pada hari kiamat kelak, kita pasti akan menang iaitu dengan meraih syurga ALLAH SWT. Sementara itu, orang kafir pula akan dihumban ke dalam neraka,” jelasnya.

Pesan agamawan itu kepada seluruh umat Islam, berpegang teguhlah kepada mukjizat agung al-Quran dan as-Sunnah.

“Bacalah al-Quran pada bila-bila waktu termasuklah melazimkan Surah ad-Dukhan, apatah kita kini masih bergelut dengan wabak Covid-19,” ujar beliau.

Rumah lebih barakah dengan alunan suci al-Quran

BUKAN sahaja individu membaca al-Quran akan beroleh ganjaran pahala, tetapi rumah yang dibacakan dengan kalam ALLAH itu juga akan diberkati berserta penghuninya sekali.

Pendakwah Nor Zahirah Mohd Johari atau lebih dikenali sebagai Da’i Zahirah menjelaskan, Imam al-Ghazali dalam karyanya bertajuk Ihya Ulumuddin menyatakan, setiap huruf dalam al-Quran dijaga oleh para malaikat.

DA’I ZAHIRAH

Bahkan, makhluk ALLAH yang paling mulia itu turut mendoakan kesejahteraan buat mereka yang membacanya, katanya.

“Kitab suci al-Quran terdiri daripada 114 surah dan 6,616 ayat yang diturunkan secara bertahap. Disebutkan bahawa al-Quran mengandungi sebanyak 77,439 kalimah.

“Jumlah hurufnya pula sebanyak 325,345. Maka, mereka yang membaca al-Quran akan didoakan oleh 325,345 malaikat. Jelaslah bahawa apabila kita mendampingi kalamullah dan sentiasa melazimkannya di dalam rumah, maka penghuninya juga akan diberkati,” katanya.

Kepada satu soalan, Da’i Zahirah berkata: “Hukum membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan al-Quran adalah wajib bagi setiap Muslim kerana kitab suci itu merupakan sumber utama ajaran Islam.

Surah ad-Dukhan

HIDUPKANLAH kediaman kita dengan alunan ayat suci al-Quran pada setiap hari.

“Justeru, sebelum kita memejamkan mata buat selama-lamanya dan meninggalkan dunia yang fana ini, sunah kepada kita semua untuk mengkhatamkan al-Quran sekali seumur hidup.

“Hidup kita hanya sekali. Sebelum pergi ke negeri yang kekal abadi, sudah pastilah kita mahu membawa bekalan yang mencukupi sebelum meneruskan perjalanan ke sana.”

Mengulas sikap segelintir umat Islam yang suka mengaji dengan pantas untuk cepat khatam, Da’i Zahirah berpandangan, tiada masalah berbuat demikian dengan syarat bacaannya mestilah terpelihara dari segi tajwid.

Ini kerana katanya, terdapat empat cara bacaan ketika mengalunkan kalam suci ALLAH itu.

“Ia terdiri daripada bacaan at-Tahqiq (paling perlahan), at-Tartil (lebih lancar, bersahaja dan sesuai dengan hukum tajwid), at-Tadwir (tingkatan pertengahan antara perlahan dan cepat) serta al-Hadar (bacaan lancar, tetapi masih menjaga hukumhakam dalam al-Quran),” katanya.

ANEKDOT

GANJARAN membaca al-Quran

Surah ad-Dukhan

DIDIK anak-anak kita sejak dari kecil agar tidak meninggalkan al-Quran yang merupakan mukjizat paling agung diturunkan oleh ALLAH SWT kepada Nabi Muhammad SAW.

1. Menjadi kemegahan umat Islam.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya dan yang menjadi kemegahan umatku adalah al-Quran yang mulia.” (Riwayat Abu Nua’im)

2. Kitab suci itu akan menjadi penyelamat, pelindung dan syafaat kepada mereka yang membacanya.

Rasulullah SAW bersabda: “Pada hari kiamat, al-Quran akan menjadi syafaat kepada orang-orang yang membacanya.” (Riwayat Muslim)

3. Al-Quran senjata paling berkesan untuk membersihkan jiwa yang sering kali lalai kerana banyak melakukan dosa dan maksiat.

Surah ad-Dukhan

AL-QURAN menjadi mukjizat terbesar yang dikurniakan oleh ALLAH SWT kepada Nabi Muhammad SAW.

Daripada Ibnu Umar RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati itu bersinar semula? Katanya, dengan banyak mengingati mati dan membaca al-Quran…” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

4. Satu huruf al-Quran akan mendapat satu kebaikan dan digandakan dengan 10 pahala.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka baginya satu kebaikan dan satu kebaikan itu dilipat gandakan 10 kali. Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (Riwayat at-Tirmizi)

Sumber: Pendakwah Nor Zahirah Mohd Johari (Da’i Zahirah)

Foto: Freepik