AN-NU’AIMAN ibnu Amr Al-Ansary atau Nu’aiman adalah salah seorang sahabat Nabi yang merupakan penduduk Madinah dari kalangan kaum Ansar.
Beliau berasal dari Bani an-Najjar Madinah dan antara umat Islam terawal berada di bandar Madinah. Nu’aiman juga merupakan salah seorang daripada orang-orang yang berjanji setia kepada Rasulullah SAW pada Perjanjian Aqabah Kedua.
Pendakwah bebas, Ustaz Zulkifli Ahmad @ Ustaz Zul Pandan, berkongsi di laman Facebook beliau mengenai kisah seorang pemuda yang sering menghiburkan nabi dengan lawak jenakanya.
Nu’aiman bin Amr bin Rafa’ah, seorang sahabat nabi yang memiliki watak yang sangat nakal dan kreatif. Sehinga siapa sahaja yang berada dengannya akan ketawa dan bahagia.
Walaupun demikian Nu’aiman merupakan seorang ahli badar yang pernah mengikuti perang bersama Rasulullah.
Kisah gurauan ‘muslihat hadiah’
Pada suatu ketika, Nu’aiman melihat seorang penjual madu keletihan mengelilingi Madinah. Tidak ada seorang pun yang mahu membeli madunya. Nu’aiman lalu berjumpa peniaga madu tersebut lantas mengajaknya ke rumah Rasulullah.
Nu’aiman menyuruh peniaga itu menunggu dan dia membawa madu tersebut untuk diberikan kepada Rasulullah.
Kata Nu’aiman “Ya Rasulullah aku tahu engkau menyukai madu, ini aku hadiahkan madu ini kepadamu”
Lalu dia tersenyum sendirian dan berkata kepada penjual madu itu. “Aku akan pergi kerana masih ada urusan lain, sebentar lagi tuan rumah ini akan keluar dan membayar harga madu tersebut”.
Si penjual madu terus merasa gembira kerana dagagannya akhirnya terjual.
Akan tetapi selepas lama menunggu, tiada seorang pun yang keluar dari rumah tersebut, akhirnya peniaga tersebut memutuskan untuk mengetuk pintu rumah Rasulullah.
“Wahai penghuni rumah bayarlah harga maduku”
Rasulullah yang berada di dalam rumah terkejut, Kemudian Rasulullah berkata, “Ini pasti idea Nu’aiman”, baginda hanya tersenyum. Tanpa bercakap banyak, baginda terus membiayai harga madu itu.
Selepas daripada kejadian tersebut, Rasulullah telah bertemu Nu’aiman dan bertanya akan kejadian madu tersebut, tanya baginda kepada Nu’aiman “Mengapa kamu lakukan hal ini?” Nu’aiman menjawab, “Saya ingin mendapatkan kebaikanmu wahai Rasulullah SAW, Saya tidak mempunyai apa-apa (wang untuk membeli hadiah itu)”.
Lalu Rasulullah pun tersenyum dan orang sekeliling baginda turut tertawa.
Walaupun kejadian itu diibaratkan menyusahkan Rasulullah, namun baginda tidak sesekali marah dan tetap menyanyangi sahabatnya itu.
Antara hikmah yang boleh diambil daripada kisah Nu’aiman ini adalah nabi sangat meraikan semua orang, baginda bukanlah seorang yang tidak boleh diajak berjenaka.
Dari kisah ini juga antara gambaran yang boleh dinyatakan adalah, perwatakan baginda bukanlah seorang berperwatakan keras dan garang kerana sikap inilah, baginda sangat disenangi semua orang.
Di sisi lain juga, bukanlah semua para sahabat nabi itu bersikap serius dan tidak boleh diajak berjenaka, bahkan ada juga yang gemar membuat lawak dengan baginda.
Tandanya, keimanan bukanlah milik orang yang sopan dan baik sahaja bahkan iman juga menyentuh mereka yang suka berjenaka seperti Nu’aiman.
Baca juga Ibrah kisah Zulqarnain, pemimpin yang penuh sifat qawwam
Sehinggakan nabi mengiktiraf Nu’aiman dengan berkata “Demi ALLAH yang aku tahu dia mencintai ALLAH dan Rasul-NYA (Hadis Riwayat Al-Bukhari)