PEMERGIAN Profesor Emeritus (Ulung) Tan Sri Dr Muhammad Kamal Hassan pada 23 Februari 2023 baru-baru ini merupakan kehilangan besar kepada dunia intelektual Islam. Beliau bukan sahaja seorang tokoh intelektual Melayu Islam yang luar biasa ilmunya, tetapi juga tokoh intelektual yang sangat mulia akhlaknya.
Saya pertama kali kenal nama beliau pada awal 1980-han melalui tulisannya berkaitan Sains Sosial Islam. Dekan saya yang memperkenalkan tulisan tersebut. Walaupun beraliran kiri, Dekan saya itu menjadi berminat dengan keberadaan Islam yang dihuraikan dalam tulisan tersebut. Beliau mencadangkan tulisan itu dijadikan rujukan pelajar-pelajar kursus Asas-Asas Pembangunan Islam yang saja ajar.
Pada pandangan saya, Dekan saya itu tertarik dengan tulisan tersebut kerana bahasa dan cara penghujahannya. Latarbelakang akademik Profesor Muhammad Kamal ialah Pengajian Islam, tetapi tulisan dan hujah-hujahnya menggunakan bahasa Sains Sosial yang merentasi ideologi kapitalistik dan sosialistik, secara logik, analitikal dan kritikal, bukan secara berkhutbah.
Dengan cara inilah, pada pandangan saya, Profesor Muhammad Kamal berjaya mengangkat imej dan darjat Pengajian Islam, sehingga menarik intelektual daripada pelbagai bidang, termasuk Dekan saya dan saya sendiri daripada bidang Pengajian Pembangunan.
Bahasa dan kaedah penghujahan seperti Professor Muhammad Kamal ini membolehkan sebuah tulisan saya berkaitan Pembangunan Berteraskan Islam diterima diterbitkan oleh sebuah jurnal beraliran kiri, sehingga kumpulan intelektual kiri yang mendokong jurnal tersebut mengundang saya membentangkan pemikiran pembangunan berteraskan Islam di sebuah seminar mereka.
Tetapi barangkali kerana saya terlalu muda ketika itu dan masih belum cukup ilmu untuk berdepan dengan kumpulan kiri tersebut, Profesor Muhammad Kamal menasihat saya agar tidak menerima undangan mereka. Saya juga menyedari akan implikasi negatif terhadap Islam dalam pandangan kumpulan kiri itu jika saya tidak dapat menjawab persoalan-persoalan mereka dengan baik.

BELIAU bukan sahaja seorang tokoh intelektual Melayu Islam yang luarbiasa ilmunya, tetapi juga tokoh intelektual yang sangat mulia akhlaknya.
Profesor Muhammad Kamal sesungguhnya banyak membantu perkembangan dan perjuangan intelektual Islam saya. Beliau menulis Kata Pengantar buku sulung saya berkaitan Pembangunan Berteraskan Islam dengan komen dan saranan yang sangat memberangsangkan.
Dalam satu seminar, beliau menegur saya kerana ternampak saya terlalu taksub kepada persoalan qalbu, seolah-olah mengenepikan akal. Beberapa tahun selepas itu, beliau bercakap dan menulis tentang qalbu secara mendalam. Ketika beliau menjadi Felo Tamu di tempat saya (ISDEV USM), beliau menyampaikan sebuah syarahan dan menghasilkan sebuah buku yang cukup menarik tentang qalbu. Antara tagline beliau yang cukup diingati ramai ialah “hardware versus heartware”.
Kesarjanaan Profesor Muhammad Kamal tidak hanya terhad kepada domain teoretikal semata-mata. Beliau menyelami apa yang berlaku secara realiti dan meluahkan perasaannya yang objektif untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut.
Misalnya, apabila Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi mahu melaksanakan Islam Hadhari, beliau terlibat secara aktif memberi pencerahan kepada pelbagai pihak. Beliau memberitahu saya bahawa wacana berkenaan Islam Tamadun begini telah dan sedang berlaku di negara-negara Arab. Ia merupakan respons kepada kegagalan gagasan Islam Sufi dan gagasan Islam Politik yang telah dicuba dalam perjuangan Islam di negara-negara tersebut.
BACA JUGA BELASUNGKAWA. Tokoh pemikir Islam, Tan Sri Mohd Kamal Hassan meninggal dunia
Ketika saya menjalankan penyelidikan tentang Kemasukan Pelajar-Pelajar Aliran Agama ke Universiti di Malaysia di bawah biayaan Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) Malaysia, Profesor Muhammad Kamal dilantik JPT menjadi salah seorang Ahli Jawatankuasa Pemandunya. Beliau banyak memberi saranan bagaimana mahu mengintegrasikan ilmu wahyu dan ilmu semasa sebagaimana saya mahu sarankan kepada JPT. Saranan-saranan tersebut dibuat sama ada ketika saya membentangkan dapatan saya kepada Jawatankuasa tersebut, atau ketika saya berbincang dengan beliau secara tidak rasmi sebelum pembentangan.
Dalam satu mesyuarat untuk membantu memberi idea kepada penubuhan Universiti Islam Malaysia, Profesor Muhammad Kamal menjawab soalan saya dengan berkata: “Masalah universiti-universiti Islam yang telah wujud sekarang ialah masalah “bodies”nya”. Maksudnya ialah masalah para pendokong universiti-universiti tersebut, terutamanya para pensyarah, yang tidak semestinya mempunyai ilmu dan semangat Islam yang mantap sebagaimana yang dimiliki oleh generasi pertama universiti-universiti Islam tersebut.

UCAPAN daripada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika saya berusaha menubuhkan ISDEV sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan, Profesor Muhammad Kamal telah dilantik oleh USM menjadi Ahli Jawatankuasa Penilai untuk menentukan kelayakan dan feasibility penubuhan ISDEV. Beliau telah memberi sokongan yang sangat kuat, dan kemudiannya terus memberi sokongan moral dan intelektual dengan menerima undangan kami melantik beliau sebagai Felo Tamu ISDEV.
Satu ketika, beliau memenuhi undangan saya untuk bercakap di USM tentang dilema ummah di Malaysia, yang kemudiannya saya sunting menjadi buku dengan tajuk yang sama. Beliau juga banyak bercakap dan menulis tentang pendidikan dan bahaya budaya hedonisme dan pessimisme.
BACA JUGA Dr Farid Ravi kongsi perjalanan terakhir isteri, mahu sempurnakan impian arwah
Sebelum beliau meninggal, beliau menghasilkan sebuah buku tentang rasuah dan hipokrasi dalam kalangan ahli-ahli politik Melayu-Islam di Malaysia. Beliau meluahkan kekecewaannya yang amat sangat terhadap rasuah dan hipokrasi yang sedang berleluasa, dan menyenaraikan “wasiat” (testament) intelektualnya” kepada generasi muda yang bakal mengemudi negara. Beliau mengemukakan garis-panduan penting yang beliau namakan Theocentric Leadership Paradigm untuk mengatasi kedua-dua masalah tersebut.
Walaupun Profesor Muhammad Kamal merupakan nama besar dan lejenda dalam dunia intelektual Islam, beliau sangat terkenal dengan akhlak baiknya.
Beliau tidak membenarkan saya memanggilnya Tan Sri, malah secara bergurau memberi amaran tidak mahu “berkawan” dengan saya jika tidak ikut kehendaknya ini.
Beliau tidak kisah jika beliau hanya diberi tiket penerbangan ekonomi jika diundang ke mana-mana acara, seperti mana yang berlaku secara tidak sengaja ketika saya menjemput beliau ke satu acara di USM. Beliau juga tidak mahu menerima honorarium, malah sebaliknya menghadiahkan honorarium tersebut kembali kepada ISDEV.

WALAUPUN beliau memegang jawatan tinggi, umpamanya ketika menjadi Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), namun tawaduk dan ukhwahnya tetap tidak terjejas.
Dengan rendah diri beliau pernah mengaku kepada saya kelemahan beliau dalam memberikan syarahan kepada masyarakat umum. Katanya intipati dan kaedah beliau memberi syarahan akan membuat pendengar umum tertidur, kerana beliau tidak ada keupayaan untuk menyesuaikan syarahannya dengan pendengar umum yang sedemikian.
Walaupun beliau memegang jawatan tinggi, umpamanya ketika menjadi Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), namun tawaduk dan ukhwahnya tetap tidak terjejas. Dalam satu ziarah saya ke pejabat beliau, beliau menghantar saya pulang hingga ke tempat letak kereta. Beliau keluar dari pejabatnya, turun lif bersama saya, dan berjalan lebih kurang 400 meter ke kereta saya di bawah cuaca yang agak panas. Saya menghalangnya, tetapi beliau tetap berjalan mengiringi saya sehingga saya berlalu. Layanan seorang Rektor terhadap sahabat yang kerdil seperti saya ini adalah sangat mempamerkan rasa rendah diri dan kasih sayangnya.
BACA JUGA Pusaka ilmu ulama tersohor, Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi
Selepas beliau menjadi Rektor, sifat-sifat ini terus berkekalan. Dalam satu temujanji dengan beliau, beliau tetap melayani saya berbincang walaupun ketika itu beliau baru saja beberapa minit mengalami slip disc, dan pinggangnya masih berbalut dengan bengkong. Beliau tidak benar saya pulang tanpa berbincang kerana katanya nanti beliau akan menjadi bertambah sakit jika tinggal keseorangan.
Beliau ketika itu banyak duduk di pejabat tersebut yang dipenuhi dengan buku-buku, dan jarang pulang ke rumah kerana mahu catch-up perkembangan ilmu yang katanya banyak beliau tertinggal sebelum itu kerana kesibukan tugas sebagai Rektor.
Dalam berhadapan dengan intelektual yang berlainan aliran pemikiran, seperti juga bila berhadapan dengan intelektual beraliran pemikiran yang sama, Profesor Muhammad Kamal sangat bersopan santun. Beliau menggunakan pendekatan non-confrontational, dengan cuba menonjolkan intipati dan pemikiran yang baik teman intelektual tersebut, kemudian barulah diiringinya dengan analisis beliau sendiri secara logik, berfakta, dan analitikal.
Saya sering saksikan sendiri sifat Profesor Muhammad Kamal yang begini. Antaranya ialah ketika beliau menyampaikan syarahan sepentas dengan seorang tokoh intelektual beraliran kiri di satu Kongres Majlis Profesor Negara. Beliau menonjolkan kebaikan pemikiran intelektual kiri tersebut, kemudian barulah disampaikan pandangannya dalam konteks pemikiran kiri berkaitan.
Begitulah secebis kehebatan intelektual dan akhlak Profesor Muhammad Kamal Hassan yang sukar dicari ganti.
Saya yakin teman-teman yang lebih rapat dengan beliau mempunyai pengalaman-pengalaman yang lebih luarbiasa daripada saya. Semoga ALLAH kurniakan ganjaran sebaiknya kepada Profesor Muhammad Kamal Hassan, Insya-ALLAH.

PROFESOR Kehormat di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Prof Muhammad Syukri Salleh.
Muhammad Syukri Salleh
Penulis adalah Profesor Kehormat di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.