‘ISLAM lah cara hidup yang sempurna’
Pastinya ramai daripada kita pernah mendengar ungkapan tersebut suatu ketika dahulu.
Masakan tidak, frasa ini merangkap lirik bagi sebuah lagu nasyid terkenal yang wajib didendangkan saban kali sambutan Maulidur Rasul diadakan ketika di bangku sekolah.
Agama Islam sememangnya suatu cara hidup yang sempurna. Ia mengandungi ajaran meliputi seluruh aspek kehidupan manusia baik daripada sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar urusan.
Hendak tidur juga ada adab tertentu yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Salah satu adab sebelum tidur yang dianjurkan dalam Islam adalah membersihkan tempat tidur.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Sekiranya salah seorang daripada kamu mendatangi tempat tidurnya, hendaklah dia mengambil (memegang) bahagian dalam kainnya, kemudian mengibas tempat tidurnya dengan kain tersebut serta sebutlah nama ALLAH (iaitu membaca Bismillah), kerana sesungguhnya tidak ada seorang pun yang tahu apa yang terjadi setelah dia meninggalkan tempat tidurnya. Sekiranya dia mahu berbaring, berbaringlah di sebelah rusuk kanannya dan berdoa; Maha suci ENGKAU, Ya ALLAH Wahai Tuhanku, dengan namaMU aku berbaring, dan dengan namaMU aku angkat pinggangku. Jika Engkau menahan nyawaku, maka berilah keampunan kepadanya dan jika ENGKAU melepaskannya, maka peliharalah sebagaimana hamba-hambaMU yang soleh.” (Riwayat Muslim)
Menurut hadis di atas, perbuatan mengibaskan tilam sebelum tidur adalah suatu sunnah.
Kata Imam al-Nawawi, amalan mengibaskan tilam sebelum berbaring di atasnya adalah untuk memastikan tiada benda berbahaya seperti kala jengking atau objek tajam berada di tempat tidur.
Selain itu, perbuatan ini juga dapat membantu menghilangkan kotoran seperti tanah atau debu sejajar dengan ajaran Islam yang sentiasa mengingatkan umatnya untuk menjaga kebersihan.
Cara mengibas pula adalah dalam keadaan tangan dilindungi dengan hujung kain supaya tidak tercedera sekiranya benar-benar ada objek yang berbahaya di atas tilam berkenaan.
Anda juga boleh menggunakan kain atau apa sahaja yang sesuai bagi mengibas tempat tidur atau tilam.
Dalam waktu yang sama, jangan lupa membaca basmalah agar diberikan perlindungan oleh ALLAH SWT daripada perkara yang tidak diingini.
Kibaskan tilam sebanyak tiga kali atau sehingga yakin sudah tiada apa-apa kotoran atau serangga yang memudaratkan. Kemudian, barulah berbaring dan membaca doa sebelum tidur.
Begitulah kasihnya Baginda kepada kita sebagai umatnya sehinggakan saat hendak tidur pun, masih lagi memberikan peringatan agar mengibaskan tempat tidur supaya tiada serangga kecil atau hama yang dapat menganggu kita.
Semoga amalan ini dijadikan rutin harian kita sebelum tidur. Islam adalah cara hidup yang sempurna jika kita benar-benar mempraktikkannya.
Sumber: Artikel Irsyad al-Fatwa Siri Ke-429: Mengibas tilam sebelum baring di atasnya
Foto: Pexels & Unsplash