JIKA dilihat pada kalendar Islam, malam ini bermulalah 15 Syaaban yang dikenali sebagai Nisfu Syaaban. Ia begitu istimewa kerana mempunyai kelebihan tersendiri.
Malah, begitu banyak hadis yang memerihalkan tentang kelebihan malam berkenaan daripada pelbagai jalur. Cuma, boleh dikatakan kebanyakannya berstatus daif.
Bagaimanapun, terdapat satu riwayat yang dinilai sahih iaitu hadis yang diriwayatkan daripada Muaz bin Jabal RA.
Beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “ALLAH SWT meluhat makhluk-NYA pada malam Nisfu Syaaban, kemudian DIA mengampunkan semua makhluk-NYA kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan.” (Hadis Riwayat Ibn Hibban)
Menurut Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, pada malam istimewa itu, para tabiin dalam kalangan penduduk Syam seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain begitu memuliakannya.
“Bahkan, mereka bersungguh-sungguh melakukan ibadah pada malam Nisfu Syaaban. Malah, melalui merekalah, orang ramai mengetahui tentang kelebihan dan kemuliaan malam tersebut.
“Demikianlah pernyataan yang dinukilkan oleh Ibn Rajab al-Hanbali,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web maktabahalbakri.com.
Baca juga Prasyarat raih keampunan ALLAH SWT pada malam Nisfu Syaaban
Begitupun, agamawan itu mengakui bahawa para ulama berbeza pendapat mengenai kemuliaan malam tersebut tatkala ia tersebar luas dalam kalangan masyarakat.
Ujar beliau, terdapat golongan yang menerimanya dan sependapat dengan para tabiin tersebut. Misalnya, sekumpulan ahli ibadah daripada penduduk Basrah dan selainnya.
“Adapun, terdapat juga golongan yang mengingkarinya. Kebanyakannya dalam kalangan ulama Hijaz seperti ‘Ata’ dan Ibn Abi Mulaikah.
“Malah, ‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam ada menukilkan pandangan daripada fuqaha Madinah iaitu kata-kata pengikut Imam Malik dan selainnya bahawa mereka berkata; ‘Perkara itu kesemuanya adalah bidaah’,” katanya.
Menyambung hujahnya, Dr Zulkifli yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia turut mengemukakan pandangan ulama Syam yang berbeza perspektif berkenaan cara untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban kepada dua pendapat iaitu;
1. Disunatkan untuk menghidupkannya secara berjemaah di masjid.
Diceritakan bahawa Khalid bin Ma’dan, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain memakai baju yang paling cantik, memakai minyak wangi dan bercelak. Mereka melakukan ibadah di masjid pada malam tersebut.
Malah, Ishaq bin Rahawaih bersetuju dengan perbuatan itu. Beliau menyatakan, amalan ibadah yang dilakukan secara berjemaah di masjid itu bukanlah perkara bidaah. Pendapat itu dinukilkan oleh harb al-Karmani dalam Kitab Masa’il.
2. Makruh berhimpun pada malam Nisfu Syaaban di masjid sama ada untuk mendirikan solat, ceramah waima berdoa.
Bagaimanapun, ia tidak dihukumkan makruh apabila seseorang itu menunaikan solat sendirian sebagaimana pandangan yang dikemukakan oleh al-Auza’I iaitu seorang imam yang alim dalam kalangan ulama Syam.
Baca juga Usah lepaskan peluang berdoa, bermunajat pada malam nisfu Syaaban hari ini
Kemudian, Ibn Rajab menyebut bahawa pendapat tersebut merupakan pandangan yang paling hampir dengan kebenaran.
Melihat kepada perilaku yang ditonjolkan oleh para tabiin tersebut, jelaslah terdapat sebahagian daripada mereka yang bersungguh-sungguh melakukan ibadah pada malam Nisfu Syaaban.
Tidak kiralah sama ada berjemaah di masjid ataupun melakukan amalannya secara sendirian.
Justeru, Dr Zulkifli menjelaskan, kita digalakkan untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan ibadah seperti berzikir, membaca al-Quran, beristighfar kepada ALLAH SWT, mendirikan solat sunat, bersedekah dan seumpamanya.
“Malah, dapat difahami daripada ungkapan Imam Syafie bahawa pada malam itu digalakkan untuk kita berdoa kerana ia termasuk dalam lima malam dimakbulkan doa.
“Tambahan pula hadis yang menceritakan kelebihan malam Nisfu Syaaban berdasarkan kesemua jalur-jalurnya adalah sahih dan mempunyai asalnya sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’ut,” katanya.
Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Dr Zulkifli mengajak seluruh umat Islam untuk merebut peluang dan ganjaran yang disediakan dengan mengisi mala mini dengan berzikir kepada ALLAH dan berdoa semoga diampunkan segala dosa, di samping memperbanyakkan taubat dan beribadah kepada-NYA.
“Seperkara lagi, jauhkanlah diri daripada dosa yang menjadi penghalang kepada peluang untuk mendapatkan keampunan ALLAH SWT dan termakbulnya doa pada malam ini,” katanya.
Foto: 123rf, Freepik, Pexels & Unsplash