Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD
BERHUTANG pada asalnya memang diharuskan dalam agama Islam. Keharusan itu dapat difahami daripada firman ALLAH SWT: “Wahai orang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang-piutang yang diberi tempoh hingga suatu masa tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu.” (Surah al-Baqarah, ayat 282)
Sejarah juga telah membuktikan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah berhutang dan menjadikan baju besinya sebagai cagaran kepada hutang berkenaan.
Saidatina Aishah RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW berhutang dengan seorang Yahudi untuk membeli makanan dan mencagarkan baju besi baginda sebagai jaminan hutang itu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam Islam, akad pinjaman wang (qard) termasuk dalam kategori aqd al-rifq (akad belas ihsan).
Ini kerana matlamat atau maksud asasi daripada akad itu adalah untuk membantu pihak penghutang (peminjam) pada saat dia memerlukan pertolongan dalam bentuk memberi hutang.
Baca juga Amalan riba merosakkan iman, akidah. Jauhi sifat tercela itu
Atas asas itulah ALLAH SWT melarang keras pensyaratan atau penetapan bayaran balik hutang melebihi jumlah asal pinjaman. Lebihan tersebut diistilahkan sebagai riba.
Bukan itu sahaja, selari dengan sifat akad pinjaman itu sebagai aqd al-rifq, Islam amat menggalakkan pemiutang agar memberi kemudahan dan kelonggaran dalam bab pembayaran balik hutang kepada penghutang yang mu’sir iaitu penghutang yang berada dalam kesempitan dan ketidakmampuan untuk membayar balik hutangnya pada tarikh yang ditetapkan.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa menghilangkan suatu kesusahan Muslim daripada kesusahan dunia, nescaya ALLAH akan menghilangkan daripadanya kesusahan akhirat. Dan sesiapa yang memberi kemudahan kepada orang yang mu’sir (kesulitan membayar hutang), nescaya ALLAH akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Dan ALLAH selalu menolong hamba-NYA selama hamba berkenaan menolong saudaranya.” (Riwayat Muslim)
Walaupun akad pinjaman wang atau berhutang itu pada asalnya adalah harus, tetapi ia boleh bertukar menjadi haram dan berdosa sekiranya tujuan asal penghutang adalah untuk mengambil hak orang lain secara batil.
Pengambilan hak orang lain secara batil itu boleh berlaku dalam bab pinjaman wang apabila penghutang memang dari awal lagi tiada niat untuk membayar balik hutang kepada pemiutang atau sengaja melewat-lewatkan bayaran balik hutang sehingga akhirnya tiada bayaran dilakukan.
Hukum haram dan berdosa membuat pinjaman wang/berhutang tersebut boleh difahami daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Rasulullah SAW. Sabda baginda SAW: “Diampunkan semua dosa bagi orang mati terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia).” (Riwayat Muslim)
Begitu juga dalam sebuah hadis lain: “Jiwa seorang Mukmin tergantung kerana hutangnya hingga hutangnya dilangsaikan.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Baihaqi)
Melihat semua hadis berkenaan, dalam bab berhutang, pihak penghutang juga sewajarnya ‘mengaplikasikan’ sifat belas kasihan terhadap pemiutang selari dengan sifat akad pinjaman itu sebagai akad belas kasihan.
Sifat belas daripada pemiutang yang sanggup menolong penghutang dengan memberi pinjaman wang pada saat dia memerlukan bantuan sepatutnya dibalas balik dengan dengan sifat yang sama juga.
Ia diterjemahkan dalam bentuk kesediaan membayar balik hutang kepada pemiutang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk melangsaikannya secepat mungkin.
Oleh itu, orang yang cuai dan sengaja tidak mahu membayar hutang memang wajar mendapat penghinaan di dunia dan akhirat. Masakan tidak, dirinya telah melakukan perbuatan yang haram dan berdosa.
Malah, hukuman itu selari dengan hilangnya sifat belas kasihan daripada hatinya sehingga sanggup mengambil harta orang lain secara batil.
***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah
Foto: Freepik