DALAM Islam, setiap perniagaan atau jual beli yang dilakukan hendaklah berasaskan persetujuan bersama atau disebut dalam bahasa Arab sebagai taradhi iaitu saling reda meredai.
Prinsip taradhi ini dijelaskan dalam firman ALLAH dalam Surah an-Nisa’, ayat 29 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil (tidak benar), kecuali melalui perniagaan yang berlaku atas dasar reda meredai di antara kamu.”
Persetujuan yang diberi oleh kedua-dua belah pihak yang berkontrak hendaklah bebas daripada unsur-unsur yang boleh mencacatkan reda tersebut seperti ada unsur paksaan dan penipuan.
Selain daripada prinsip taradhi, asas lain yang perlu dipenuhi dalam setiap urus niaga adalah bebas daripada syarat yang boleh menjejaskan akad.
Baca juga Jual beli tanpa tahu harga, ramai yang pandang remeh tentang perkara ini, sedangkan…
Walaupun secara umumnya ada dua pandangan ulama tentang jual beli bersyarat berdasarkan interpretasi mereka terhadap hadis yang berkaitan isu tersebut, tetapi secara rumusannya antara bentuk-bentuk syarat yang boleh menjejaskan akad adalah seperti berikut:
i. Syarat yang menafikan kehendak akad (muqtada aqd) seperti Ahmad menjual rumahnya kepada Zamri dan meletakkan syarat bahawa Zamri tidak boleh menjualnya kepada sesiapa pun selepas itu. Ini kerana apabila akad jual beli telah disempurnakan, pemilikan akan berpindah kepada pembeli. Dia bebas untuk melakukan apa sahaja terhadap barang miliknya.
ii. Menggantungkan sesuatu urus niaga dengan sesuatu yang belum pasti berlaku seperti Hasan berkata kepada Ali: ‘Saya jual rumah ini kepada kamu sekiranya saya berpindah ke tempat lain’. Ini kerana akad jual beli hendaklah dilakukan secara pasti dan bukannya digantungkan dengan sesuatu perkara lain.
iii. Meletakkan syarat berlakunya akad lain selain daripada akad jual beli seperti Fatimah berkata kepada Abdullah: ‘Saya jualkan rumah ini kepada kamu dengan syarat kamu pinjamkan wang kepada saya sekian banyak’. Larangan penggabungan dua kontrak ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak halal pinjaman (digabung) dengan jual beli.” (Hadis Riwayat al-Nasa’i)
Tergantung dan tiada kepastian
Merujuk kepada jual beli bersyarat, penulis pernah dimaklumkan tentang kejadian yang berlaku dalam situasi barangan sangat terhad di pasaran. Contohnya sekarang ini, telur sangat sukar untuk diperoleh di pasaran.
Oleh itu terdapat penjual yang telah meletakkan syarat bahawa jika pembeli hendak membeli telur, dia hendaklah membeli barangan lain juga. Maksudnya, pembeli tidak boleh membeli telur semata-mata.
Timbul persoalan tentang hukum jual beli tersebut. Adakah sah urus niaga tersebut apabila penjual meletakkan syarat berkenaan? Penulis ada merujuk kepada pandangan ulama tentang isu berkaitan.
Baca juga Perkara yang dibenarkan dan tidak boleh dilakukan ketika berakad dalam Islam
Hasil carian, penulis mendapati ada dua pandangan. Satu pandangan mengatakan jual beli tersebut sah jika masing-masing saling bersetuju. Sementara satu lagi pandangan mengatakan ia tidak sah.
Penulis lebih cenderung kepada pandangan yang mengatakan tidak sah. Ini kerana penjual menggantungkan akad jual beli telur dengan barangan lain. Ia satu bentuk urus niaga yang tidak ada kepastian kerana tidak semestinya pembeli ada kehendak untuk membeli barang lain. Dan ketiadaan kehendak ini tentu sekali menjejaskan juga kerelaan hatinya untuk membeli barangan tersebut.
Oleh itu, sebagai langkah berhati-hati, adalah lebih baik para penjual tidak meletakkan syarat seumpama itu apabila ada permintaan yang tinggi terhadap sesuatu barang yang terhad dalam pasaran. Biarlah pembeli membeli berdasarkan kehendaknya dan bukan kerana membeli sesuatu atas desakan tertentu. Wallahu a’lam.
***Artikel ditulis oleh Dr Shamsiah Mohamad yang berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah