Oleh MUHAMMAD YUSUFF HASSAN
KAKITANGAN University of Manchester, England mendakwa institusi mereka menjadi alat mengembangkan dasar keganasan Israel terhadap negara jiran Arabnya.
Dalam satu surat terbuka yang ditandatangani lebih daripada 200 pekerja dan penyelidik University of Manchester, institusi itu didesak memutuskan hubungan University Tel Aviv.
Surat terbuka yang ditujukan kepada naib canselor universiti, Nancy Rothwell mengatakan universiti Israel “sangat terlibat” dalam pengeboman terhadap semenanjung Gaza bulan lalu, yang mengorbankan 248 rakyat Palestin, termasuk 66 kanak-kanak.
Hubungan berterusan dengan universiti Israel itu hanya memperlekehkan komitmen University of Manchester untuk menentang keganasan dan penindasan kaum.
“Bukan hanya University of Manchester tetapi kami juga terpalit dalam penindasan dan keganasan yang dilakukan Israel,” kata surat itu.
Kira-kira 1,900 orang Palestin cedera oleh pengeboman Israel pada bulan Mei dan hampir 60,000 orang kehilangan tempat tinggal dalam keganasan tersebut.
Doktrin Dahiya
Universiti Tel Aviv menjadi tuan rumah kepada Institut Pengajian Keselamatan Nasional (INSS), sebuah kumpulan pemikir yang dekat dengan pertubuhan ketenteraan Israel, yang membentuk falsafah ketenteraan negara haram itu – seperti Doktrin Dahiya- ketika berdepan dengan Palestin dan negara-negara Arab yang berdekatan.
Doktrin Dahiya, dinamakan bersempena kawasan perumahan di sempadan Beirut yang hampir dimusnahkan oleh tentera Israel semasa perang Israel-Hizbullah pada tahun 2006.
Doktrin itu mengesyorlan pemusnahan infrastruktur awam sebagai langkah pencegahan yang sewajarnya apabila menentang kumpulan anti Israel.
Dalam sebuah makalah yang tidak lagi dihoskan oleh laman web INSS University Tel Aviv – tetapi sempat dikutip oleh Institut Pemahaman Timur Tengah- Gabi Siboni, pengarah program Hal Ehwal Ketenteraan dan Strategik di INSS mengatakan:
“Israel harus bertindak balas secara tidak proporsional untuk memberi mesej jelas bahawa Negara Israel tidak akan menerima sebarang usaha untuk mengganggu ketenangan yang sedia wujud di sepanjang sempadannya.”
Di samping menjadi hos kepada INSS, University Tel Aviv juga banyak terlibat dalam penyelidikan senjata, dengan kerjasama syarikat pengeluar senjata dan ketenteraan Israel.
Sebuah penerbitan yang dituliskan pada tahun 2009 yang dikeluarkan oleh jabatan pemasaran universiti tersebut, memuji peranan institusi itu dalam mengembangkan teknologi yang digunakan oleh tentera Israel.
Isaac Ben-Israel, mantan jeneral yang mengetuai Agensi Angkasa Israel dan program Pengajian Keselamatan Universiti Tel Aviv, dikutip sebagai berkata:
“Ketenteraan [penyelidikan dan pembangunan] di Israel tidak akan wujud tanpa universiti. Mereka melakukan semua penyelidikan ilmiah dasar, yang kemudian dikembangkan oleh industri pertahanan atau tentera. ”
Ikatan Manchester
Laman web University of Manchester pada masa ini menyenaraikan projek penyelidikan kolaboratif dengan University Tel Aviv yang melibatkan pengajian Sains Alam, Perubatan dan Alam Sekitar, Pendidikan dan Pembangunan.
Pegawai di universiti itu sebelum ini dikritik setelah teknologi yang dikembangkan oleh institusi tersebut akhirnya dikongsi dengan pengeluar senjata Israel.
Nanene, sejenis bahan berasaskan graphene yang dikembangkan oleh penyelidik Universiti Manchester, yang memiliki kegunaan dalam pengeluaran pesawat terbang, sedang dalam proses diambil alih oleh Israel Aerospace Industries (IAI).
Nanene dikembangkan oleh penyelidik di University of Manchester dan hak miliknya diperoleh oleh firma kejuruteraan
Versarien pada tahun 2014 ketika membeli 85 peratus saham dalam 2-DTech Limited, sebuah syarikat yang dilahirkan daripada hasil penyelidikan graphene di universiti itu.
IAI menghasilkan peluru berpandu dan dron yang digunakan oleh tentera Israel, serta sistem anti-peluru berpandu Iron Dome.
Salah seorang penandatangan surat terbuka itu, memberitahu wartawan Middle East Eyes bahawa sementara mereka bangga dengan komitmen universiti yang menentang tindakan anti-perkauman dan penjajahan haram, pegawai universiti harus memadankan kata-kata dengan tindakan.
“Penentangan terhadap perkauman universiti hanya menjadi ungkapan kosong untuk digunakan bagi tujuan perhubungan awam dan pemasaran”, kata beliau.
Sementara itu, jurucakal University of Manchester berkata pihak universiti ingin meyakinkan kakitangan dan pelajarnya bahawa “perkongsian itu tidak ada kaitan dengan perkara ketenteraan atau sokongan politik.
“Kami menghargai hubungan dengan universiti di Israel sebagai bahagian penting dalam strategi antarabangsa kami untuk terlibat dengan institusi pendidikan tinggi. Semua interaksi tersebut berdasarkan panduan dan peraturan pemerintah United Kingdom.
Sumber : Middle East Eyes/ The Institute for Middle East Understanding (IMEU) /Al Jazeera