KEMENTERIAN Haji dan Umrah Arab Saudi hari ini mengumumkan akan meningkatkan kapasiti jemaah umrah sehingga 70,000 sehari, bermula esok.
“Dengan penekanan untuk menerapkan tindakan pencegahan, Kementerian Haji dan Umrah, bekerjasama dengan pihak berwenang, meningkatkan kapasiti harian menjadi 70.000 jemaah,” kata kementerian itu dalam Twitternya.
Individu yang ingin pergi menunaikan umrah boleh membuat permohonan melalui aplikasi Penjejak Covid-19 Arab Saudi, Tawakkalna.
Bulan lalu, kementerian mengumumkan bahawa mereka akan mula membuka permohonan melaksanakan umrah secara beransur-ansur dari pelbagai negara mulai 9 Ogos, lapor Saudi Press Agency (SPA).
Kementerian juga secara beransur-ansur akan meningkatkan kapasiti menjangkau 2 juta jemaah setiap bulan.
Permit akan dikeluarkan melalui aplikasi mudah alih Eatmarna dan Tawakkalna iaitu sistem perkhidmatan bersepadu dan langkah pencegahan yang diambil oleh kerajaan untuk keselamatan dan kesihatan mereka yang ingin melakukan ibadah umrah dan ziarah.
Kementerian juga mengesahkan bahawa kerajaan akan memberikan kelonggaran bagi jemaah umrah tempatan kepada individu berusia 12 hingga 18 tahun yang telah menerima dua dos vaksin Covid-19, menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Timbalan Menteri Haji Dr Abdul Fattah Mashat menjelaskan bahawa Kementerian Haji dan Umrah bekerjasama dengan pihak berkuasa lain untuk mewujudkan mekanisme eksekutif dan mewujudkan persekitaran yang selamat dan mudah diakses kepada para jemaah sepanjang perjalanan mereka.
Mashat menambah bahawa jumlah penumpang dalam bas yang membawa jemaah tidak akan melebihi kapasiti 50 peratus untuk memastikan jarak sosial. Pihak berkuasa akan melakukan pembersih dan mengesahkan jemaah yang dikeluarkan oleh aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna sebelum menaiki bas.
Menurut Mashat, kementerian sedang bekerjasama dengan pihak bertanggungjawab untuk menentukan negara-negara yang diberi kebenaran memasuki Makkah untuk umrah dan jumlahnya secara berkala. Ia sesuai dengan klasifikasi tindakan pencegahan dan syarat-syarat untuk negara-negara dari mana jemaah dan pelawat datang ke Arab Saudi.
Jemaah yang datang dari luar Saudi diminta untuk menunjukkan sijil imunisasi yang disahkan oleh pihak berwajib di negaranya dan harus dilampirkan dalam alasan untuk meminta pelaksanaan ibadah dengan syarat vaksin disetujui.
Pihak berkuasa Masjid Agung Arab Saudi di Makkah telah memperhebatkan usaha sanitasi sebagai persiapan untuk umrah sebagai sebahagian daripada tindakan pencegahan wabak.
Seramai 4,000 pekerja telah mula membersihkan Masjidil Haram dan taman serta kemudahan luarannya lebih daripada 10 kali sehari dengan penggunaan pembersih dan minyak wangi berkualiti tinggi.
Hampir 60,000 liter cecair pembasmi kuman mesra alam digunakan semasa proses pembersihan dan sekitar 1,200 liter minyak wangi turut digunakan setiap hari, menurut agensi berita itu.
Hanya jemaah antarabangsa yang diberi vaksin dengan Pfizer, Moderna, AstraZeneca, atau Johnson & Johnson yang akan dibenarkan menunaikan Umrah, menurut Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Sumber: Alarabiya News