TELEFON bimbit adalah satu item wajib pada masa kini. Selain aplikasinya yang pelbagai, pengguna telefon boleh memilih variasi nada dering dari deringan muzik termasuklah suara azan dan bacaan ayat al-Quran.
Persoalannya, adakah dibolehkan menggunakan alunan ayat al-Quran sebagai nada dering?
Menurut penjelasan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, oleh kerana ayat-ayat al-Quran itu kata-kata ALLAH YANG MAHA SUCI lagi MULIA, maka hendaklah diletakkan pada tempat yang sejajar dengan kesucian dan kemuliannya.
“Islam tidaklah menghalang penggunaan nada dering ayat-ayat suci al-Quran dengan syarat penggunaannya menepati adab yang telah ditetapkan,”
“Pada umumnya, ia tidaklah menjadi kesalahan tetapi apabila melihat kepada tempat dan adab penggunaannya seperti memberhentikan bacaan ayat Quran itu, apabila ada panggilan masuk.”
“Apabila ia terjadi, sudah tentu menjadikan ayat tersebut tergantung yang tidak terhasilnya maksud yang benar.”
Muzakarah jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang bersidang pada 28 September 2016, telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-77 berkenaan Hukum Penggunaan Ayat-Ayat al-Quran Dan Laungan Azan Dalam Nada Dering Dan Paparan Skrin Di Dalam Telefon Bimbit dengan sighah seperti berikut :
1. Penggunaan ayat-ayat suci al-Quran sebagai nada dering di dalam telefon bimbit adalah dilarang.
2. Mana-mana laungan azan atau zikrullah dibenarkan penggunaannya dengan menjaga adab-adab dan digunakan di tempat-tempat yang tidak mencemarkan kesucian ayat-ayat tersebut seperti di dalam tandas.
Tidak disentuh makhluk
Dalil tuntutan untuk menjaga kesucian al-Quran ialah Firman ALLAH SWT “Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah al-Quran yang mulia, yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan. Yang tersimpan dalam kitab yang cukup terpelihara. Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui suci bersih”. (Surah al-Waqiah ayat 77-79)
1. Para ulama Islam telah menetapkan hukum dan adab tertentu kepada individu yang ingin memegang, membawa, membaca, menulis, menjual dan melupuskan al-Quran.
2. Apa-apa jua bentuk dan keadaan yang boleh disifatkan menghina al-Quran sama ada melalui perbuatan, tulisan, perkataan dan sebagainya hendaklah dihindari oleh orang Islam. Orang yang sengaja mempersenda dan menghina al-Quran melalui perkataan atau perbuatan maka ia boleh dihukum kafir.
Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ menyatakan ”Dan seseorang yang dengan sengaja mempermain al-Quran atau sebahagian daripadanya atau sengaja mencampakkan mushaf ke tempat kotor atau mendustai apa-apa hukum yang dinyatakan di dalamnya atau menafikan apa-apa yang telah sabit atau ragu-ragu dengan al-Quran sedangkan dia mengetahui perkara tersebut maka hukumnya kafir”.
Baca juga Kisah pelawak zaman nabi, Nu’aiman bin Amru
3. Baginda Rasulullah SAW sendiri turut memuliakan tulisan yang mengandungi zikir atau nama-nama yang mulia.
Anas RA pernah meriwayatkan bahawa Nabi SAW apabila memasuki tandas, baginda SAW menanggalkan cincinnya. Para fuqaha menyatakan sebab Nabi SAW tidak membawa masuk cincinnya ialah kerana pada cincinnya tertulis perkataan “Muhammad Rasulullah”.
4. Para fuqaha dalam memastikan kemuliaan al-Quran menyatakan, ia hendaklah dibaca di tempat yang bersih. Sehubungan itu, fuqaha Hanafiah, Malikiah, Syafiiyyah dan Hanabilah menghukum makruh membaca al-Quran di tempat-tempat yang kotor seperti tempat mandi dan tempat buangan najis.
5. Berkaitan penulisan al-Quran di dinding termasuk dinding masjid, rumah dan sebagainya, para imam besar mazhab sepakat mengatakan adalah makruh menulis sesuatu daripada al-Quran di dinding masjid.
6. Berdasarkan hukum yang dikemukakan di atas juga, maka penggunaan ayat-ayat suci al-Quran, laungan azan dan seumpamanya dalam nada dering dan paparan skrin dalam telefon bimbit boleh diqiaskan kepada beberapa permasalahan hukum seperti yang disebutkan di atas kerana illahnya sama iaitu memastikan unsur penghinaan kepada al-Quran tidak berlaku.