SETIAP insan yang bernyawa pasti akan menemui ajal tidak cepat atau lambat walau sesaat pun. Apabila terpisahnya roh daripada jasad maka ia juga sebenarnya telah terpisah daripada alam dunia.
Pemergian ibu bapa sudah tentu menjadi suatu kehilangan yang besar kepada anak-anak yang ditinggalkan. Namun, sebagai manusia kita perlu reda dan meneruskan kehidupan seperti sediakala tanpa kehadiran mereka.
Dengan itu, segala perkara atau amalannya ketika di dunia akan terputus daripadanya melainkan tiga perkara berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Apabila matinya seseorang insan maka akan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh (atau solehah) yang mendoakan kedua ibu bapanya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Hakikatnya, sekalipun mereka telah tiada, masih ada beberapa amalan dan bakti yang boleh kita lakukan agar roh mereka tenang di alam sana.
Laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan, ada mencatatkan enam amalan murni yang patut dilakukan oleh si anak setelah ibu bapa mereka meninggal dunia.
Antaranya ialah:
1. Menguruskan jenazah ibu bapa
Setelah ibu bapa meninggal dunia, perkara pertama yang boleh dilakukan untuk berbakti kepada mereka ialah menguruskan jenazah mereka secepat mungkin. Meskipun biasanya pengurusan jenazah dilakukan oleh pihak yang mahir dan terlatih, namun ambillah peluang terakhir untuk menguruskan jenazah ibu bapa.
Jika tidak tahu, maka ini masa untuk mula belajar kerana anak-anak sebaiknya terbabit secara langsung dalam memandikan, mengkafan, menyolatkan dan mengebumikan jenazah.
2. Melunaskan hutang ibu bapa
Sesungguhnya roh seorang anak Adam itu terhalang kerana hutang, hatta semua dosa akan diampunkan bagi orang yang mati syahid kecuali hutang. Maka jika ibu bapa masih mempunyai hutang yang belum dibayar, usahakanlah untuk melunaskan hutang tersebut.
Jika anak dan ahli keluarga tidak mampu, maka umat Islam perlu saling membantu untuk melunaskannya. Sebaiknya bertemulah dengan pihak yang memberi hutang supaya boleh berbincang dengan lebih lanjut.
Sama juga dalam hal ibadah. Jika ibu bapa pernah berniat untuk melakukan ibadah haji dan mereka tidak sempat untuk melaksanakannya, maka kita boleh menunaikan ibadah tersebut bagi pihak mereka.
Baca juga Utamakan Hutang Berbanding Sedekah Walaupun Kepada Ibu Bapa
3. Melaksanakan wasiat yang ditinggalkan
Wasiat bermaksud apabila seseorang semasa hayatnya telah berikrar berkaitan harta atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau sebarang maksud yang dibenarkan hukum syarak selepas seseorang itu mati.
Wasiat ibu bapa yang ditinggalkan kepada anak-anak perlu ditunaikan selagi tidak melanggar hukum Islam. Hal ini termasuklah janji-janji semasa hayat mereka dahulunya yang perlu anak-anak tunaikan.
4. Mendoakan ibu bapa
Doa merupakan penghubung yang paling dekat antara anak-anak dan ibu bapa yang telah meninggal dunia. Tidak ada perkara yang lain mereka mahukan kecuali doa-doa daripada anak yang soleh.
Setiap kali selesai mendirikan solat, jangan lupa untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa agar roh mereka tenang di alam sana dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Antara doa yang diajarkan di dalam al-Quran ialah seperti berikut:
“Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isra’, ayat 24)
Baca juga 70,000 malaikat mendoakan kita bila lakukan amalan ini
5. Meneruskan perkara yang baik dan hentikan yang buruk
Semasa ibu bapa masih hidup, mereka sering melakukan amalan membantu fakir miskin dan juga turut bersedekah buku-buku untuk kegunaan kanak-kanak yang memerlukan, atau ibu selalu memberi makanan kepada anak-anak yatim, maka seeloknya amalan tersebut diteruskan.
Oleh itu, marilah kita berbuat kebaikan dan mengamalkan apa yang telah diajarkan oleh ibu bapa kita kerana mereka akan mendapat pahala ilmu yang bermanfaat yang telah kita lakukan itu nanti.
Sebaliknya, jika mereka ada melakukan kesalahan yang bertentangan dengan syariat seperti pernah berselisih faham dengan seseorang, maka pergilah berjumpa pihak tersebut untuk meminta maaf.
6. Sedekah jariah untuk ibu bapa
Perbanyakkan bersedekah terutama sedekah jariah seperti pembinaan sekolah agama, masjid, rumah anak yatim dan mewakafkan tanah perkuburan orang Islam dan niatkan untuk mereka iaitu ibu bapa kita jika berkemampuan.
Sedekahkan al-Quran, kitab, buku-buku Islam di sekolah-sekolah agama atau Maahad Tahfiz atau di mana-mana masjid serta niatkan untuk kedua-dua ibu bapa kita yang telah meninggal dunia itu.
Marilah sama-sama kita berusaha memberi saham yang terbaik untuk kedua-dua orang tua kita yang telah meninggal dunia. Amalkanlah amalan-amalan di atas untuk terus berbakti kepada mereka yang tersayang yang telah pergi meninggalkan kita.
Foto: iNews & Pexels