KURANG dua bulan lagi, Ramadan bakal menjengah. Jika dihitung, hanya berbaki 40 hari sahaja bulan paling mulia itu membuka tirainya.
Bagi yang pernah meninggalkan puasa Ramadan pada tahun lalu dek kerana uzur syarie, pastinya mereka sedang bertungkus-lumus menghabiskan baki puasa qada tersebut.
Namun begitu, ada segelintir orang tanpa rasa bersalah membatalkan puasa qada tersebut disebabkan oleh suatu perkara yang remeh.
Ini kerana pada pandangan mereka, masih ada banyak masa lagi untuk menggantikan puasa berkenaan pada hari yang lain sebelum tibanya Ramadan akan datang.
Hakikatnya, baik puasa Ramadan mahupun puasa ganti Ramadan, hukumnya masih sama. Kedua-duanya adalah fardu ain dan wajib ditunaikan.
Memetik artikel Al-Kafi #1802: Apakah Hukum Membatalkan Puasa Ganti Ramadan yang disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan baru-baru ini menyatakan, tidak boleh membatalkan puasa ganti Ramadan dengan sengaja tanpa uzur yang disyariatkan oleh syarak.
Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani RA, katanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah berbuka sedangkan aku berpuasa”. Maka Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Adakah kamu sedang mengqadakan sesuatu (puasa)?” Beliau berkata: “Tidak”. Sabda baginda SAW: “Maka tidak memudaratkan kamu (tidak berdosa) sekiranya ia puasa sunat.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Baca juga Jangan Lepaskan Peluang Berpuasa Pada Hari Asyura
Berdasarkan hadis berkenaan, maka jelaslah bahawa tidak berdosa andai sengaja berbuka jika berpuasa sunat. Begitupun, bagi mereka yang berpuasa qada, maka tidak dibenarkan berbuat demikian.
Dalam hal itu, Imam Taqiyuddin al-Hisni menyebut dalam Kitab Kifayah al-Akhyar bahawa: “Sesiapa yang mengerjakan puasa ganti, sekiranya puasa yang perlu digantikan segera (seperti puasa yang sengaja dibatalkan tanpa uzur) begitu juga, sekiranya puasa boleh dilewatkan ganti (puasa yang batal kerana uzur tertentu seperti musafir dan sakit), menurut pandangan yang sahih dan nas daripada Imam al-Syafie di dalam al-Umm bahawa tidak boleh membatalkannya kerana telah melakukan perkara yang wajib dan tidak ada keuzuran. Oleh itu, dia wajib menyempurnakannya sepertimana seseorang yang menunaikan solat pada awal waktu, maka tidak boleh membatalkannya.”
Mengulas lanjut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, puasa ganti Ramadan merupakan fardu ain yang diwajibkan ke atas mereka yang meninggalkannya.
“Maka sesiapa yang memutuskan atau membatalkan puasa berkenaan dengan sengaja adalah haram. Bahkan, ia menyebabkan dosa yang besar,” tegasnya.
Ia sebagaimana yang disebutkan Syeikh Jamal menerusi Hasyiah Jamal ala Syarh al-Minhaj: “(Menurut Imam Zakaria al-Ansari: haram membatalkan fardu ain) sebahagian daripada dosa besar sepertimana yang disebut oleh para ulama.”
Justeru, kepada mereka yang sedang berpuasa qada, pejabat mufti berkenaan menasihatkan supaya menyelesaikan ibadah tersebut dengan sempurna.
“Ia melainkan individu tersebut ada kekangan tertentu iaitu dalam keadaan uzur yang disyariatkan seperti sakit, haid atau bermusafir,” jelasnya.
Foto: Freepik