SUNNAH basahkan badan ketika hujan adalah antara amalan Rasulullah SAW yang jarang dipraktikkan oleh masyarakat pada hari ini.
Hakikatnya, tatkala guruh berdentum dan titisan air mula menampakkan kesan di tanah, setiap manusia ada perasaan berbeza.
Ada yang bersyukur dengan rahmat ALLAH SWT. Tidak kurang juga mereka yang menarik wajah masam kerana ada rancangan terpaksa ditundakan gara-gara hujan yang turun itu.
Tahukah anda, kita digalakkan membasahkan sedikit dari bahagian badan dengan air hujan yang turun daripada langit sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Nabi.
Perkara ini ada diceritakan oleh Anas bin Malik RA, seperti mana yang dirakamkan di dalam sebuah hadis, katanya:
“Hujan turun dan kami pada ketika itu bersama dengan Rasulullah SAW. Lalu baginda menyelak baju baginda sehinggalah hujan menimpa badan baginda. Kemudian kami bertanya: ‘Wahai Rasulullah, mengapakah anda melakukan ini?’
Maka jawab baginda SAW: “Kerana ia baru sahaja datang (turun) dari Tuhannya yang Maha Tinggi.” (Hadis riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi menjelaskan senario ini di dalam Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim, “hujan merupakan rahmat ALLAH kepada sekalian alam. Maka, Rasulullah melakukan sedemikian untuk mengambil berkat darinya”.
Baca juga Jangan mengeluh ketika hujan
ALLAH SWT berfirman di dalam Surah Qaaf, ayat 9,
“Dan KAMI telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya, lalu .”
Sebahagian ulama menyatakan bahawa bahagian anggota yang dibasahkan air hujan adalah kepala. Manakala ada yang berpendapat ia merujuk kepada badan.
Meninjau pandangan daripada pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pula, mana-mana anggota badan, asalkan ia bukan termasuk bahagian aurat, disunatkan dibasahkan dengan air hujan.
Jadi, untuk mengambil pahala sunat, anda boleh sahaja membasahkan tangan atau muka. Yang penting, jangan memperlihatkan aurat anda.
Baca juga Masjid al-Ghamamah, tempat terakhir Nabi SAW solat raya
Selain itu, tiada zahir nas yang menunjukkan waktu hujan tertentu untuk membasahkan anggota sama ada pada awal turunnya, di pertengahan atau di penghujung.
Namun, seeloknya amalkanlah pada awal waktu turunnya hujan kerana ia disifatkan sebagai nikmat yang baru turun daripada ALLAH SWT.
Sunnah basahkan badan ketika hujan
Foto: Pexels & Unsplash