ISLAM memandang sumbang mahram atau inses sebagai haram dan zina terkeji kerana individu yang sepatutnya melindungi keluarganya telah menganiaya mereka.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, UKM, Dr Zaizul Ab Rahman memetik pandangan Ibn Hajar al-Haitami bahawa, zina yang paling keji adalah berzina dengan mahram sendiri.
“Ibn Hajar merupakan pakar fiqh Mazhab Syafie, ahli Kalam dan Tasawuf. Kitab karangannya iaitu az-Zawajir an Iqtirafil Kaba‘ir mencatatkan bahawa berzina dengan mahram adalah perbuatan paling hina bahkan pelaku inses tidak layak tinggal di bumi ALLAH SWT,
Jelas beliau, di dalam fiqh Islam terdapat konsep muhrim yang mengatur hubungan sosial di antara individu yang masih ahli keluarga.
“Seseorang itu tidak sepatutnya menjalin hubungan cinta atau perkahwinan dengan ibu bapa, datuk atau nenek, saudara kandung, saudara tiri (bukan saudara angkat), saudara dari ibu bapa, anak saudara serta cucu,”katanya.
Sebenarnya banyak punca mendorong berlakunya inses. Antara yang popular dan sering diperkatakan ialah tipisnya iman serta gagal mengawal nafsu lalu anak sendiri menjadi mangsa serakah batin.
ALLAH SWT menegaskan dalam surah Yusuf, ayat 53 yang bermaksud: “Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Lambakan akses pornografi
“Kebiasaannya lelaki yang gagal menyalurkan naluri serta nafsu seks secara formal, mengalami tekanan emosi akibat perasaan rendah diri dan keinginan seks yang tidak tercapai dengan pasangannya akan menyalurkan ke jalan yang salah,
“Penerapan ajaran agama Islam dalam diri keluarga dan masyarakat perlu dititikberatkan. Anak-anak wajar didedahkan dengan nilai agama sejak kecil lagi seperti kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya,’ jelas Zaizul yang merupakan Pakar Psikologi Agama, Pemikiran Islam dan Kesihatan Mental Islam.
Lambakan bahan lucah di internet turut mempengaruhi pemikiran dan psikologi lebih-lebih lagi didorong oleh perasaan ingin tahu atau mencuba sesuatu yang baru.
“Kesibukan orang tua mencari rezeki di luar rumah dan perceraian ibu bapa juga menjadi penyebab inses.
“Ada kejadian di mana isteri mengetahui aktiviti jelik suaminya terhadap anak mereka namun mengambil sikap berdiam diri dan tidak membuat laporan polis. Hal ini kerana si ibu takut diceraikan dan hilang punca pendapatan,”ujarnya.
Pelihara nasab
Faktor ekonomi keluarga B40 yang rendah seperti keadaan rumah yang sempit dan ketiadaan bilik yang cukup untuk didiami oleh anak-anak yang ramai memang menyumbang berlakunya aktiviti inses.
“Di Malaysia, sebilangan besar keluarga B40 terpaksa hidup umpama ikan sardin di dalam sebuah rumah kecil. Mereka tidak dapat mengasingkan anak-anak perempuan dan lelaki terutamanya apabila anak-anak mula mencapai akil baligh,” terang Zaizul seraya memetik mafhum surah an-Nur, ayat 58 berkenaan penjagaan aurat di dalam rumahtangga.
Firman ALLAH: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain.”
Demi memelihara nasab keturunan, kehormatan manusiawi dan menjamin kesejahteraan komuniti sesebuah negara, Zaizul menyeru agar hukuman yang berat dikenakan kepada pelaku inses.
“Jenayah kronik ini perlu ditangani segera dengan mengembalikan keharmonian institusi keluarga, menjaga sempadan pergaulan, hapuskan sumber lucah di internet serta meningkatkan tahap keimanan dalam keluarga,”jelasnya.