MUSIBAH atau ujian sebenarnya adalah untuk mendidik hati setiap orang agar lebih bersabar dan reda dengan apa jua yang berlaku. Ia juga merupakan bukti dan tanda kasih cinta ALLAH kepada hamba-NYA.
Antara tujuan ALLAH SWT memberikan ujian kepada hamba-hamba-NYA adalah untuk melihat siapakah di antara mereka yang sabar dan baik amalannya.
Tambahan pula, setiap ujian yang diberikan oleh ALLAH berbeza-beza melihat kepada kemampuan setiap hamba-NYA. Di dalam al-Quran juga termaktub ayat “ALLAH tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya” (Surah al-Baqarah ayat 286).
Gerakan PENA Malaysia di laman web berkongsi apabila ditimpa musibah perkara pertama yang perlu dilakukan adalah dengan bersabar. Jika hilangnya sabar maka hilang jua pahala yang ALLAH berikan.
“Sabar menghadapi musibah merupakan sebahagian daripada tuntunan iman kepada qada’ dan qadar iaitu keyakinan bahawa segala sesuatu yang berlaku di dunia telah pun ditulis dalam Luh Mahfuz dan segala kejadian dalam hidup manusia berlaku mengikut kehendak dan izin ALLAH.
“Musibah ialah ujian yang ALLAH SWT datangkan atas manusia bagi menentukan antara mereka yang sabar berbanding mereka yang kufur.
“Maka orang yang sabar menghadapi musibah ialah orang yang berjaya kerana meraih pahala, mendapat keredaan-NYA serta diberi ganjaran syurga di akhirat kelak.
Baca juga [VIDEO] Bersabarlah bila ditimpa ujian. Begitu besar rupanya hadiah orang yang bersabar…
“Berbeza dengan orang yang tidak sabar apabila diuji dengan musibah, mencemuh takdir dan mempersoalkannya maka dialah orang yang gagal dalam ujian dunia kerana mendapat dosa, dimurkai ALLAH serta diancam dengan azab api neraka,” jelas artikel berkenaan.
Orang yang sebenarnya ditimpa musibah
Menurut artikel Gerakan PENA Malaysia lagi, justeru orang yang benar-benar ditimpa musibah ialah mereka yang tidak mendapat sebarang pahala daripada musibah yang menimpanya gara-gara dia tidak sabar.
“Ibarat jatuh ditimpa tangga. Sudahlah ditimpa musibah lalu ditambah dengan musibah lain kerana mendapat dosa gara-gara tidak sabar.
“Maka awasilah diri apabila musibah mendatang, jaga hati, lisan dan perbuatan. Jangan ada sebarang reaksi yang menampakkan diri tidak sabar.
“Sebaliknya, tahanlah diri kerana itulah erti sabar dan ucapkan “Innalillah wa inna ilaihi rajiu’un.” (Surah al-Baqarah ayat 156),”
Ummu Salamah RA berkata bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang mukmin tertimpa musibah lalu ia membaca apa yang telah diperintahkan oleh ALLAH, “Innaa lillahi wainnaa ilaihi raaji’uun allahumma`jurnii fii mushiibati wa akhlif lii khairan minhaa (Sesungguhnya kami adalah milik ALLAH dan akan kembali kepada ALLAH. Ya ALLAH, berilah kami pahala karena mushibah ini dan tukarlah bagiku dengan yang lebih baik daripadanya).’ melainkan ALLAH menukar baginya dengan yang lebih baik” (Hadis Riwayat Muslim).
Imam al-Qurtubi menyatakan dalam tafsirnya, musibah ialah setiap perkara yang menimpa manusia dan menyakiti mereka. Perlu difahami di sini bahawa lafaz istirja’ ini bukan hanya disunatkan untuk dilafazkan pada waktu berlakunya sesebuah kematian namun ia umum pada setiap perkara atau kejadian yang menimpa manusia apatah lagi menyakiti mereka.
kuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus