KISAH yang ingin penulis kongsikan kali ini merupakan satu cerita benar yang harus menjadi suri teladan kepada kita semua.
Seperti yang ditakdirkan, rakan penulis bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang sederhana pendapatannya. Mereka berkerja di satu syarikat sama, namun berlainan jabatan. Hidup mereka memanglah tidak mewah, namun bukanlah sampai tahap menderita. Pun demikian, perjumpaan semula bersama rakan-rakan sekolah menengah beberapa tahun lalu membuatkan bahtera yang dibina sejak tiga tahun lalu, menjadi berkecamuk.
Rakan penulis itu telah menemui lelaki yang merupakan cinta monyetnya dulu. Bermula dari detik itu, kedua-duanya mula rapat sehingga kami rakan-rakannya terhidu mereka menjalin hubungan sulit.
Wanita itu menafikannya, namun perbuatannya yang ingkar sebagai seorang isteri menjelaskan semuanya. Antara perilaku paling ketara, dia enggan pulang ke pangkuan suaminya di rumah dan bertegas mahu tinggal bersama ibunya walaupun dilarang.
Situasi tersebut yang menjadi bualan membuatkan kami yang rapat dengannya menjadi keliru.
Dari segi hukum, istilah isteri derhaka atau nusyuz sememangnya tidak boleh digunakan secara sembarangan, apa lagi diungkapkan oleh bibir si suami sesuka hati. Terdapat prosedur tertentu bagi mensabitkan kesalahan tersebut.
Apakah yang dimaksudkan dengan perbuatan nusyuz seorang isteri terhadap suaminya? Benarkah wanita yang nusyuz tidak boleh menerima nafkah lagi?
Baca juga Isteri Boleh Tuntut Fasakh Kalau Suami Berpoligami Bersikap Tak Adil
Diputuskan oleh mahkamah
Pendakwah Abu Bakar Ali as-Sudani menjelaskan, perbuatan nusyuz itu jelasnya, bererti derhaka atau selingkuh. Nusyuz berlaku apabila seorang wanita enggan mentaati perintah suami.
“Misalnya, isteri yang enggan melayani suami di tempat tidur tanpa keuzuran syarie seperti haid, nifas dan seumpamanya. Begitu juga perbuatan isteri yang meninggalkan rumah tanpa izin suami. Lebih dahsyat lagi apabila isteri menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.
“Ketahuilah, semua itu merupakan perbuatan nusyuz yang berstatus dosa besar dan haram dilakukan,“ tegasnya.
Menyambung hujah, Abu Bakar yang juga Penolong Pendaftar Perkahwinan Daerah Petaling di Selangor turut memberi peringatan tegas kepada suami supaya tidak sewenang-wenangnya melabelkan isteri sebagai nusyuz.
Beliau berkata, pensabitan nusyuz itu hanya ditentukan oleh mahkamah syariah.
“Suami tidak boleh menentukan sama ada isterinya nusyuz ataupun tidak. Cuma, dia boleh melihat bibit-bibit nusyuz si isteri dan dibawa ke mahkamah untuk diputuskan oleh badan kehakiman berkenaan,“ katanya.
Hukuman
Firman ALLAH SWT: “…Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka…“ (Surah an-Nisa‘, ayat 34)
Sebagaimana disebutkan dalam kalamullah berkenaan, Abu Bakar menjelaskan, apabila isteri disabitkan nusyuz, suami hendaklah memberi nasihat kepada isteri secara berhikmah, berlemah lembut dan bukan dalam nada menengking, marah atau emosi negatif lain.
Ketika proses itu, berilah peringatan terhadap dosa-dosa yang dilakukannya. Sebutkan juga kepadanya bahawa perbuatan derhaka akan memberi implikasi besar. Antaranya hilang hak mendapat nafkah daripada suami.
“Andai kata, semua nasihat berkenaan masih tidak ‘jalan‘ juga, maka Islam memberikan jalan kedua iaitu berpisah tempat tidur sebagai memberi pengajaran supaya isteri bertaubat.
“Sekiranya cara itu juga tidak berkesan kerana isteri mempunyai pasangan lain, maka langkah ketiga, Islam membenarkan seorang suami memukul isterinya dengan pukulan yang mendidik, tidak mendera dan mencederakan isterinya atau memukul pada bahagian muka serta tempat-tempat sensitif.
“Seandainya tidak berjaya juga, maka perkara itu boleh dibawa ke mahkamah. Pihak mahkamah mungkin akan membuat sesi sulh (perbincangan bersama pihak-pihak dalam suatu pertikaian).
“Mungkin ada jalan lagi untuk berdamai. Jika tidak boleh berdamai, maka mahkamah akan memutuskan hukuman nusyuz ke atas isteri tersebut,“ jelasnya.
Kepada satu soalan, Abu Bakar menjawab: “Seorang suami tidak menanggung dosa isterinya. Apatah lagi dalam keadaan suami tidak membenarkan isterinya berbuat demikian, contohnya keluar rumah.
“Namun, kerana kedegilannya, maka isteri tadi akan menanggung sendiri dosa kecuali jika suami membenarkan isterinya melakukan perbuatan nusyuz seperti bersama lelaki lain.
“Jika itulah yang berlaku, maka suaminya juga akan berkongsi dosa bersama isterinya, bukan menanggungnya.“ Andai kata sang isteri bertaubat kepada ALLAH SWT selepas disabitkan nusyuz oleh pihak mahkamah, maka akan terangkatlah nusyuz tersebut, ungkapnya.
“Jika sebaliknya dan wanita tadi tidak sempat bertaubat serta mati dalam keadaan tersebut, dia kembali kepada penciptanya dalam keadaan berdosa besar yang jelas berada dalam neraka ALLAH SWT,“ katanya.
Baca juga Ingatan Untuk Para Suami Dan Bapa, Ramai Yang Lakukan Dosa Ini Tanpa Sedar
Hak isteri nusyuz
Apakah langkah yang perlu dilakukan suami jika mahu membawa kes isteri nusyuz ke muka pengadilan?
Menjawab persoalan itu, peguam syarie, Nurain Akmal Khairunnisa Amir Hamzah menjelaskan, terdapat dua langkah yang boleh dilakukan. Suami boleh memfailkan kes di mahkamah syariah ataupun membuat dakwaan melalui Bahagian Pendakwaan Jabatan Agama Islam.
“Seandainya suami membuat dakwaan di bahagian pendakwaan dan dibuktikan sedemikian, maka kes akan dimulakan dengan kes jenayah yang mana Seksyen 130 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 memperuntukkan tentang isteri yang tidak menurut perintah.
“Jika disabitkan bersalah, isteri tadi boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500 bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan kedua atau lebih, denda dikenakan tidak melebihi RM1,000.
“Selain itu, Seksyen 128 enakmen yang sama juga memperuntukkan bagi isteri yang menganiayai suami atau menipu harta suaminya. Ia dianggap sebagai satu kesalahan,“ katanya.
Bukan itu sahaja, pengamal undang-undang syariah itu memberitahu, kes nusyuz juga boleh difail dan didaftarkan melalui prosedur kes mal di mahkamah.
Beliau menambah, pensabitan nusyuz mengambil kira pembawaan bukti dan keterangan yang kukuh dengan merujuk kepada Seksyen 60 Enakmen UndangUndang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.
“Menerusi peruntukan berkenaan, perbuatan nusyuz diperincikan apabila isteri enggan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya.
“Ia meliputi cara seperti menjauhkan diri daripada suaminya, meninggalkan rumah suaminya, melakukan sesuatu yang bertentangan dengan arahan suami selagi mana tidak menyalahi hukum syarak dan enggan mengikuti suaminya berpindah ke tempat yang disediakannya,“ katanya.
Bagaimanapun, peguam syarie itu berkata, talak bukanlah satu-satunya penyelesaian bagi isteri yang didakwa nusyuz. Semuanya bergantung kepada wanita berkenaan sama ada ingin mengekalkan ikatan perkahwinan berkenaan atau tidak.
“Lazimnya, isteri yang disabitkan nusyuz memang akan menerima perceraian tersebut kerana hak mereka akan gugur daripada menerima sebarang nafkah diri daripada suami.
“Satu lagi perkara biasa yang saya lihat, isteri yang nusyuz memang pada hakikatnya berkehendakkan perceraian daripada suami. Namun, atas sebab keengganan suami untuk memberi kerjasama, isteri tersebut bertindak sedemikian.
“Sekiranya isteri tidak mahu bercerai, suami boleh terus memfailkan kes perceraian di mahkamah dan melalui prosedur seperti yang ditetapkan oleh mahkamah,“ katanya.
Ditanya tentang hak isteri yang disabitkan nusyuz, Nurain Akmal Khairunnisa menjelaskan terdapat dua keadaan tertentu. Seandainya isteri disabitkan nusyuz ketika dalam ikatan perkahwinan, maka hanya nafkah isteri yang digugurkan.
“Sementelah, isteri yang disabitkan nusyuz selepas perceraian, pengguguran hak melibatkan nafkah diri dan idah.
“Cuma dalam hak-hak lain seperti nafkah anak, hak jagaan anak, mutaah dan harta sepencarian pula, ia tidak dinafikan. Sebaliknya, isteri yang nusyuz masih berhak untuk mendapatkan haknya,“ jelasnya.
Suami isteri digalak dekatkan diri dengan agama demi elak perceraian
IKATAN suci perkahwinan lazimnya dimulakan dengan bibit-bibit percintaan, kemudian disempurnakan dengan tanggungjawab.
Namun begitu, pengabaian terhadap amanah yang diberikan baik kepada suami mahupun isteri, menjadi faktor utama mengapa berlakunya kes perceraian.
Demikian komentar yang dilontarkan oleh pendakwah Wan Akashah Wan Abdul Hamid tatkala menyorot rekod peningkatan luar biasa kes perceraian terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Berdasarkan statistik, Jabatan Kehakiman Syariah melaporkan sebanyak 6,569 kes perceraian didaftarkan sepanjang tempoh tiga bulan pertama PKP tahun lalu.
Dalam hal ehwal rumah tangga, kata pendakwah itu, setiap pasangan sewajarnya tidak memandang suami isteri sebagai gelaran semata-mata. Sebaliknya, anggaplah ia sebagai amanah daripada ALLAH SWT untuk dilunaskan dengan sebaik-baiknya.
“Apabila seorang lelaki menyunting wanita sebagai isterinya, dia perlu sedar dengan tanggungjawab yang bakal dipikulnya sebagai suami.
“Kalau kita faham tentang konsep ini, pasti kita tidak akan melakukan sesuatu yang mengguris hati pasangan masing-masing. “Lebih-lebih lagi sehingga berlakunya perceraian,“ katanya kepada Sinar Islam Plus.
Dalam pada itu, Wan Akashah mengakui bahawa kehidupan yang dilalui kita pada hari ini merupakan antara ujian terbesar.
Rasulullah SAW bersabda: “Bersegeralah kamu melakukan amal-amal soleh kerana akan muncul pelbagai fitnah yang menyerupai malam yang gelap-gelita. Dalam keadaan itu terdapat orang yang di sebelah paginya mukmin dan sebelah petangnya kafir, atau petangnya masih beriman dan pagi harinya telah menjadi kafir. Dia menjual agamanya dengan kepentingan dunia yang sedikit.“ (Riwayat Muslim)
Berdasarkan ungkapan hadis berkenaan, jelas agamawan itu, apa yang digambarkan itu seolah-oleh berlaku ketika ini. Apa tidaknya, satu dunia bergelut dengan ujian wabak Covid-19 yang membawa maut.
“Walaupun pelbagai cara dan usaha dilakukan, namun ia masih belum reda umpama malam yang gelap-gelita sehinggakan institusi kekeluargaan runtuh atas banyak faktor.
“Disebabkan perlu ‘berkurung‘ di rumah untuk memutuskan rantaian wabak berbahaya itu, ditambah pula dengan keadaan kediaman yang sempit, membuatkan ramai tertekan.
“Ada segelintir suami isteri dan ibu bapa yang tidak bijak dalam menguruskan tekanan hidup. Stres kerana dibuang kerja, dipotong gaji, anak-anak dan sebagainya,“ katanya.
Justeru, beliau menyarankan agar pasangan suami isteri mendekatkan diri dengan amalan yang dianjurkan oleh agama.
“Kalau ada amalan agama seperti solat berjemaah, mengaji dan sebagainya dalam kehidupan keluarga itu, insya-ALLAH walaupun PKP, tetapi tidak menjadikannya satu sebab berlakunya perceraian,“ katanya.
ANEKDOT
HIKMAH ALLAH SWT jadikan manusia berbeza
– Firman ALLAH SWT: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya KAMI telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan KAMI telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain…“ (Surah al-Hujurat, ayat 13)
– Berdasarkan kalamullah tersebut, jelaslah bahawa ALLAH SWT menjadikan perbezaan antara lelaki dan wanita tidak lain tidak bukan adalah untuk saling mengenal antara satu sama lain.
– Antara jalan yang diizinkan-NYA untuk berbuat demikian adalah menerusi gerbang perkahwinan.
– Tersirat pelbagai hikmah di sebalik ikatan suci pernikahan itu. Ia bukan sahaja sebagai satu jalan untuk menunaikan tuntutan fitrah antara lelaki dan perempuan, tetapi juga melahirkan generasi yang baik dan berakhlak mulia dengan zuriat yang halal, selain memelihara daripada keruntuhan akhlak.
– Bahkan, ALLAH SWT juga mahu kita membina kekeluargaan Islam dan asas-asas kerjasama serta tolong-menolong sesama manusia.
Sumber: Pendakwah Abu Bakar Ali as-Sudani
Foto: Freepik & 123rf