SKIZOFRENIA ialah kecelaruan mental serius yang menyebabkan penghidapnya mentafsir realiti secara abnormal.
Penyakit ini boleh dirawat, jika tidak ia boleh menjadi lebih parah. Islam mengiktiraf kewujudan skizofrenia dan ada kaedah khusus merawatnya.
Antara simptom-simptom berkaitan skizofrenia adalah seperti berikut:
• Dilusi
• Halusinasi
• Percakapan tidak menentu atau cakap merepek (kecelaruan dalam bercakap)
• Ganguan ketika pergerakan
• Sukar untuk memberi tumpuan
• Tidak mempunyai perasaan
• Tidak dapat mengurus diri
Perkongsian daripada Pengerusi Yayasan al-Amin, Ustaz Muhamad Bin Abdullah Al-Amin (Ustaz Amin) , berhubung pandangan Islam mengenai skizofrenia dan rawatan untuk penyakit ini.
Dari sudut Islam terdapat tiga perkara atau faktor yang perlu dilihat menyebabkan seseorang itu berisiko tinggi untuk terkena penyakit mental ini.
Pertama ialah nafsu, kedua bisikan-bisikan syaitan dan seterusnya faktor genetik atau penyakit diri sendiri.
1. Nafsu
Dari segi nafsu, keinginan seseorang terhadap sesuatu benda boleh menyebabkan mereka mengalami delusi atau bayang-bayangan yang sehinggakan mereka percaya terhadap sesuatu perkara tersebut.
Delusi yang dicampur dengan bisikan-bisikan syaitan menyebabkan seseorang cenderung untuk mengalami skizofrenia.
2. Bisikan syaitan
Islam juga menggariskan bahawa penyakit mental ini juga boleh disumbang oleh bisikan atau hasutan syaitan.
ALLAH SWT berfirman di dalam al-Quran, “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia” (Surah An-Naas, ayat 5)
Syaitan akan membisik-bisikan ke dalam hati manusia dengan pelbagai bisikan dan salah satu daripadanya boleh menyebabkan seseorang itu mengalami delusi dan halusinasi.
Selain itu, syaitan atau jin juga boleh merasuk manusia dan menyebabkan mereka meracau-racau. Ini termasuklah bagi mereka yang dishir.
3. Faktor genetik atau penyakit diri sendiri
Faktor genetik atau keturunan juga boleh meningkatkan risiko seseorang itu terdedah kepada penyakit ini.
Terdapat juga mereka dilahirkan dengan masalah kesihatan seperti dilahirkan dengan masalah kekurangan oksigen dalam tisu badan (hipoksida). Kesannya berlaku keabnormalan pada otak bayi tersebut yang kemudiannya meningkatkan risiko berlakunya skizofrenia.
Selain itu, terdapat juga mereka yang mempunyai badan atau diri yang mudah untuk terpengaruh dengan badan atau cerita luar yang menyebabkan diri mereka mengalami simptom-simptom skizofrenia.
Rawatan Islam untuk skizofrenia
Berikut merupakan doa dan zikir yang boleh diamalkan untuk merawat skizofrenia:
1. Mengamalkan doa
Berdasarkan hadis yang diriwatkan oleh Abu Daud, Rasulullah SAW mengajarkan satu doa “Ya ALLAH, sihatkanlah tubuh badanku, Ya ALLAH, sihatkanlah pendengaranku, Ya ALLAH sihatkanlah penglihatanku, Tiada Tuhan selain engkau Ya ALLAH”.
Banyakkan membaca doa ini sebanyak yang mungkin sambil memegang mata atau telinga.
2. Berzikir dengan Asma Ul Husna
“Ya Zaahir, Ya Baatin”
Mintak ALLAH kurniakan kesihatan zahir dan batin dengan memperbanyakkan berzikir atau menyebut nama-nama ALLAH ini.
3. Tidak menghukum
Jangan menghukum mereka yang mengalami simptom-simptom skizofrenia ini sebagai kurang iman atau lemah iman.
Sebaliknya membantu dengan memberi sokongan dengan menjadi pendengar yang baik. Penyakit ini tidak memilih status iman atau seseorang. Malahan, terdapat juga ustaz atau ahli agama yang turut terkena penyakit mental ini.
Tindakan yang terbaik ialah membantu mereka yang mengalami skizofrenia ini dengan sentiasa berada disisi mereka, menjadi pendengar yang baik dan membantu mereka untuk mendapatkan rawatan.
4. Mendapatkan rawatan perubatan dan terapi
Perawatan Islam juga tidak menolak rawatan perubatan moden dan psikoterapi.
Baca juga Mantapkan pegangan aqidah, banteras penyeleweng Islam
Ubat-ubatan adalah antara salah satu ikhtiar yang harus diamalkan dengan harapan menjadi penyembuh atau syifa dari ALLAH. Selain ubat terdapat juga terapi yang boleh membantu rawatan iaitu:
• Terapi individu
• Latihan kemahiran sosial
• Terapi keluarga
Kesedaran yang tinggi mengenai penyakit ini bukan sahaja kepada pesakit, bahkan ahli keluarga dan anggota masyarakat turut memainkan peranan untuk bersama-sama memberikan sokongan.