MELIHAT lembaran takwim Islam, nisfu Syaaban pada tahun ini jatuh pada hari Selasa iaitu 7 Mac. Nisfu Syaaban bermaksud pertengahan bulan Syaaban iaitu 15 Syaaban.
Menjadi kelaziman masyarakat kita akan meningkatkan ibadah seperti membaca Surah Yasin sebanyak tiga kali dan menunaikan solat sunat pada malam nisfu Syaaban untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.
Masakan tidak, nisfu Syaaban begitu sinonim sebagai malam pengampunan buat hamba-hamba-NYA atau maghfirah. Tidak hairanlah mengapa ramai berlumba-lumba melakukan amal soleh pada malam berkenaan.
Ia bersandarkan fadilat yang disebutkan dalam sebuah hadis daripada Mu’az bin Jabal RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “ALLAH SWT melihat makhluk-NYA pada malam nisfu Syaaban, kemudian mengampunkan semua makhluk-NYA kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan.” (Sahih Ibn Hibban)
Baca juga Syaaban: Jambatan ke Ramadan
Begitupun, masih ada suara-suara yang mempertikaikan amalan lazim yang dilakukan oleh umat Islam. Mereka berhujah bahawa Nabi Muhammad SAW tidak pernah melakukan perbuatan tersebut pada hari berkenaan.
Ujar pendakwah Mohd Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali sebagai MK Azman, sekalipun amalan berkenaan tiada nas daripada al-Quran mahupun hadis, namun semua itu dilakukan berpandukan daripada guru-guru mereka yang memperbanyakkan amalan pada bulan Syaaban.
“Masyarakat Islam di Malaysia melakukan pelbagai aktiviti ibadah seperti solat, membaca al-Quran, berdoa, bersedekah, bertahlil, berwirid dan sebagainya hanyalah untuk mengabdikan diri kepada ALLAH.
“Bahkan, mereka sudah sebati dengan amalan tersebut kerana ia dilihat tidak bertentangan dengan syariat Islam,” katanya kepada Sinar Islam Plus.
Tegasnya, apa yang menjadi pertikaian pihak-pihak tertentu adalah amalan-amalan tersebut dikhususkan pada bulan tertentu.
Justeru, beliau menasihatkan agar umat Islam tidak berselisih pendapat mengenainya kerana ia merupakan amalan baik yang mendatangkan pahala.
“Tak usah mempertikaikan itu sesat, ini sunah. Mudah-mudahan kita semua bersatu dan meningkatkan amal ibadah, meningkatkan ketakwaan dan melakukan amalan.
“Menurut Imam Syafie, jika sesuatu amalan yang membawa kebaikan dan tidak bertentangan dengan syariah, ia adalah bidaah hasanah,” terangnya.
Menyambung hujah, MK Azman menjelaskan, malam nisfu Syaaban sebenarnya mempunyai keagungan tersendiri. Masakan tidak, ia terletak antara dua bulan yang mulia iaitu Rejab dan Ramadan.
Bahkan katanya, ia juga termasuk antara malam-malam yang dimakbulkan doa oleh ALLAH SWT.
Dalam hal itu, beliau menukilkan pandangan Imam as-Syafie yang menyebut dalam Kitab al-Umm bahawa: “Doa mustajab adalah pada lima malam iaitu malam Jumaat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.”
“Nabi Muhammad SAW juga memperbanyakkan ibadah pada malam nisfu syaaban seperti solat, berdoa memohon keampunan dan berpuasa sunat pada siang harinya sehingga Aisyah RA pelik melihat banyaknya ibadah Rasulullah pada ketika itu,” ujarnya.
Darjah keagungan bulan itu boleh dilihat apabila malam nisfu Syaaban turut dikenali dengan pelbagai nama, ungkapnya.
“Antaranya menurut para ulama, ia dikenali sebagai Lailatul Mubarakah (malam keberkatan), Lailatul Qismah wal taqdir (malam pembahagian dan penentuan), Lailatul Ijabah (malam diperkenankan doa) dan Lailatul Syafaat (malam syafaat),” katanya.
Melihat semua fadilat yang terkandung padanya, jelaslah bahawa malam nisfu Syaaban juga ada keutamaannya yang tersendiri.
Justeru, banyakkanlah berdoa kerana ia antara waktu mustajab. Mudah-mudahan, hajat kita akan dimakbulkan oleh-NYA.
Foto: Koleksi foto Sinar Harian