HASSAN al-Basri, seorang ulama sufi (642M/ 21H – 728M / 110H) dikenali kerana pintar berbahasa menerusi kata kata hikmahnya.
Nasihatnya mampu melembutkan hati. Bahkan membuat sesiapa sahaja yang mendengarnya mengalirkan air mata dan menimbulkan keinsafan bagi yang menghayatinya. Berikut adalah antara pesanan Hasan al-Basri yang popular:
1. Tentang rezeki
“Aku tahu rezekiku tidak akan diambil oleh orang lain jadi hatiku pun menjadi tenang”
Sejak janin berusia empat bulan 10 hari, ALLAH SWT sudah menetapkan rezeki secukupnya, setiap garis perjalanan dan hidup kita sudah tertulis.
Kata Imam Ibnu Qayyim: “Janganlah bebankan dirimu dengan kerisauan tentang dunia kerana urusan dunia milik ALLAH”.
“Janganlah bebankan dirimu dengan kerisauan tentang rezeki kerana rezeki datang dari ALLAH”.
“Janganlah bebankan dirimu dengan kerisauan tentang masa depan kerana masa depan di tangan ALLAH”.
“Apa yang perlu engkau risau hanyalah satu perkara sahaja , iaitu bagaimana engkau membuat ALLAH reda kerana sekiranya engkau membuat ALLAH reda, DIA akan reda padamu .
“Apabila DIA reda padamu , DIA akan melindungimu dan mencukupkan keperluanmu” .

ALLAH ar-Razzaq yang maha pemberi rezeki kepada setiap hambanya tanpa pilih kasih.
Di dalam al-Quran juga terdapat lapan jalan rezeki yang ALLAH tentukan untuk setiap hamba-NYA iaitu :
1. Rezeki yang telah terjamin
2. Rezeki tak terduga
3. Rezeki kerana anak
4. Rezeki kerana istighfar
5. Rezeki kerana bernikah
6. Rezeki kerana bersyukur
7. Rezeki kerana sedekah
8. Rezeki kerana usaha
Selaku hamba-NYA, manusia wajib berusaha dengan gigih untuk mencapai apa yang dihajati namun di akhirnya ALLAH jua lah yang menentukan setakat mana rezeki kita.
Baca juga Halaqah Hassan Al-Basri Yang Menusuk Jiwa, Ramai Yang Menangis Apabila Dengar Butir Bicaranya
2. Tentang amalan
“Aku tahu amalanku tidak akan dilaksanakan oleh orang lain jadi aku pun menyibukkan diri dengannya.”
Umat Islam wajib percaya bahawa setiap perbuatan yang di lakukan akan diperhitungkan di mahkamah ALLAH kelak.
Perbuatan yang baik akan dibalas dengan ganjaran yang setimpal manakala dan begitulah sebaliknya.
Daripada ‘Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda, “tingkatkan amalmu dengan baik, atau lebih dekatlah kepada kebaikan, dan bergembiralah, kerana amal seseorang tiada dapat memasukkannya ke syurga.” tanya para sahabat, “amal anda juga begitu, ya Rasulullah?” jawab beliau, “amal ku juga begitu. Tetapi ALLAH melimpahi ku dengan rahmat-NYA. Dan ketahuilah, bahawa amal yang paling disukai ALLAH SWT ialah amal yang dikerjakan secara terus-menerus walaupun sedikit.” (Hadis Riwayat Muslim)
Imam Syafi’i menyebut tentang tiga amalan yang paling berat pahalanya. Ia ada kaitan dengan akhlak seseorang Muslim.

JIKA hati baik, maka baiklah anggota badan yang lain. Jika hati rosak, maka rosaklah yang lain.
Amalan yang pertama iaitu berinfak dalam keadaan yang sempit dan tidak semua orang dapat melaksanakannya. Kedua, warak ketika bersendiri iaitu menjauhkan diri sebolehnya daripada melakukan sebarang maksiat. Perkara yang terakhir, berkata benar di hadapan orang yang ditakuti iaitu orang yang mungkin memiliki kekuasaan atau kekayaan yang lebih tinggi.
3. ALLAH MAHA MELIHAT
“Aku tahu ALLAH melihat kepadaku sehingga aku pun malu jika dia melihatku maksiat.”
Melakukan perkara-perkara yang ALLAH suka dan menjauhi perkara yang dilarang merupakan satu perjuangan dalam menentang hawa nafsu dan syaitan.
Jika diri sering terjerumus dalam maksiat maka bacalah doa yang diajarkan oleh Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi (ulama besar Mesir): “Ya ALLAH, haramkanlah aku daripada merasakan lazatnya maksiat kepada-MU, dan kurniakanlah aku merasakan lazatnya taat kepada-Mu”.
Semoga kita dapat menghindarkan diri daripada dosa dan maksiat.
4. Tentang mati
“Aku tahu kematian sedang menungguku jadi aku pun menyiapkan bekal bertemu Rabb-ku”
Kematian merupakan destinasi terakhir manusia sebagai khalifah di bumi ini, sebagaimana firman ALLAH di dalam surah al-Ankabut ayat 57: “Setiap yang bernyawa akan merasakan kematian. Kemudian hanya kepada KAMI, kalian dikembalikan.”
Baca juga 10 tanda kematian yang baik
Kematian adalah satu rahsia yang tiada siapa berani menyebutnya. Ia sudah pasti akan menjemput kita ke ‘dunia’ yang sebenar. Persiapkan lah bekal yang secukupnya untuk ke sana.
Itulah antara empat pesanan yang bermakna dan menusuk kalbu dari seorang tokoh ulama Imam Hasan Al-Basri.