SETELAH filem ‘Mat Kilau’ tular dan hangat dibicarakan oleh masyarakat, timbul pelbagai spekulasi mengenai hukum menonton wayang di pawagam. Penangan filem inspirasi sejarah pejuang bangsa Melayu Islam, pelbagai lapisan khalayak daripada kalangan anak muda hingga datuk nenek yang dipimpin cucu telah hadir ke panggung untuk menonton di layar lebar. Mereka tidak segan datang beramai ramai kerana kisah yang ditampilkan adalah kisah perjuangan agama dan tanah air serta bukannya cerita airmata atau drama romantis.
Ustaz Zulkifly atau dikenali sebagai Ustaz Zul Pandan melalui laman Facebooknya telah berkongsi mengenai hukum menonton wayang. Melalui bingkisan videonya, beliau mengambil pandangan daripada Dr Yusuf al-Qaradawi di laman web ‘pendirian-pendirian daripada Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi’.
Baca juga : Tak sah bagi daging korban yang siap dimasak?
Al-Qaradawi menyatakan hukum pawagam bergantung kepada hukum filem apa yang dipertontonkan di dalamnya. Ia dibolehkan dengan syarat kandungan filem itu jauh daripada maksiat dan perkara keji, tidak melalaikan diri dari melaksanakan kewajipan agama dan jauh dari percampuran antara lelaki dan wanita yang menyebabkan kerosakan.
TIGA SYARAT YANG MEMBOLEHKAN SESUATU FILEM ITU DITONTON
1. Kandungan filem yang bermanfaat dan tidak ada unsur maksiat dan perkara mungkar.
Teknologi yang semakin canggih pada masa kini telah membentuk pelbagai isi kandungan di media sosial. Ada filem yang membawa kepada kebaikan dan manfaat kepada penonton, dan ada pula yang secara terang-terangan membawa kepada perkara yang dilarang agama.
Peranan setiap lapisan masyarakat terutama ibu bapa perlu diberi perhatian yang lebih terutama apabila melibatkan anak-anak kecil yang cenderung setiap hari dengan gajet dan pemilihan kandungan yang ditonton.
Firman ALLAH SWT “dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu” (surah al-Luqman ayat 17)
2. Tidak mengabaikan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan seperti solat
Realiti yang perlu dibicarakan, walaupun pahit untuk ditelan namun itulah hakikatnya. Hanya kerana tidak mahu terlepas daripada setiap babak filem tersebut, ramai yang sanggup meninggalkan solat tanpa sebarang perasaan bersalah. Sebagai Muslim, solat wajib diutamakan kerana itulah tiang agama. Filem yang ditonton itu tidak salah, namun jika sampai meninggalkan solat maka hukumnya haram.
3.Tiada percampuran antara lelaki dan wanita
Percampuran tersebut sehingga berlakunya sentuhan haram seperti berpelukan dan bercumbuan di dalam pawagam merujuk hukum yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah, lelaki dan wanita duduk sebelah menyebelah di dalam kelas pengajian (irsyad al-faatwa siri 362).
Berdua-duaan dengan pasangan yang bukan mahram adalah suatu perbuatan yang ditegah agama. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya,” (Hadis Riwayat Muslim).
Imam Al-Nawawi Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini ‘’janganlah seorang lelaki itu duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengannya mahramnya. Sekiranya seorang lelaki berkhalwat bersama-sama dengan wanita ajnabiyyah (hala dinikahi) tanpa ada yang ketiga maka perbuatan itu adalah haram secara sepakat para ulama. Demikianlah juga (hukumnya) jika bersama-sama perempuan tersebut seseorang yang mereka tidak berasa malu dengannya disebabkan kecilnya dia seperti seorang kanak-kanak lelaki berusia dua atau tiga tahun dan seumpamanya maka kewujudan anak tersebut sama seperti tidak ada orang’’ (Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi).
Baca juga Sutrah, penghadang daripada orang ramai ketika solat
Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa tidak ada masalah untuk seorang lelaki itu untuk duduk bersebelahan dengan perempuan bukan mahram di dalam kelas pengajian sekiranya sudah tidak ada pilihan tempat duduk yang lain.
Ini memandangkan tidak berlaku khalwat dalam keadaan tersebut kerana kelas turut dipenuhi oleh ramai orang yang lain. Meskipun begitu, perlulah dijaga batasan perhubungan agar tidak bersentuhan kulit di antara keduanya.
Maka dapat disimpulkan bahawa hukum menonton wayang di pawagam adalah harus jika tidak membawa sebarang perkara kemungkaran dan keburukan sehingga menjadikanya haram di sisi Islam.