BAGI menangani masalah yang bakal timbul di kemudian hari, banyak pihak mula memandang akan keperluan membina kubur bertingkat di tanah wakaf perkuburan Islam.
Firman ALLAH SWT dalam surah Abasa ayat 21 “Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan”.
Antara negara yang telah melaksanakan pembinaan kubur bertingkat ini ialah Mesir dan Singapura.
Manakala di Malaysia pula, antara negeri yang telah mula mengamalkan sistem kubur bertingkat ini adalah seperti di daerah Kerian, Perak seperti yang dinyatakan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin, di mana sistem ini telah lama diamalkan bagi sesetengah kawasan yang berhampiran paya bakau yang mana tanahnya sering berair.
BACA JUGA Haram menjirus air mawar atas kubur selain untuk sebab-sebab ini.
Terdapat juga isu perbuatan segelintir masyarakat yang membuat binaan besar termasuk tempat duduk simen sekitar kubur waris mereka sehingga ada kalanya memasuki kawasan petak kubur bersebelahan. Ini juga antara sebab kawasan perkuburan menjadi padat.
Pelaksanaan kubur bertingkat juga dijalankan di Masjid Al Jamiul Badawi, Pulau Pinang di mana kariah masjid tersebut sudah menjalankan sistem ini pada tahun 2002 lagi akibat kepadatan tanah.
Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-245 : Membina Kubur Bertingkat
Menurut fatwa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tahun 2018, pelaksaan kubur bertingkat adalah harus dan dibolehkan berdasarkan komposisi keadaan kawasan sekitar serta keluasan tanah perkuburan tersebut.
BACA JUGA Baca doa ini ketika melalui kawasan perkuburan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-92 yang bersidang pada 15-17 Disember 2010 telah membincangkan isu ini dan memutuskan seperti berikut:
Setelah mendengar taklimat, pandangan dan hujah yang dikemukakan oleh pihak Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, muzakarah berpandangan bahawa ia diharuskan dan tidak bertentangan dengan syarak, namun dengan syarat berada dalam keadaan darurat seperti:
1. Kepadatan penduduk.
2. Lokasi tanah perkuburan yang terhad.
Muzakarah bersetuju dan memutuskan bahawa berdasarkan prinsip hukum Islam, pembinaan kubur secara bertingkat harus dilaksanakan sekiranya keperluan amat mendesak bagi mengatasi kekurangan tanah perkuburan orang Islam pada hari ini.
Walau bagaimanapun, kajian terhadap modul-modul pelaksanaannya perlu diteliti secara menyeluruh dengan mengambil contoh di beberapa buah negara luar yang telah melaksanakannya di samping mengambil kira aspek penjimatan kos dan seumpamanya.
Sementara itu Sheikh Prof Dr. Hamid Abu Talib, Dekan Kuliyyah Syariah Universiti Al-Azhar berkata, secara dasarnya pembinaan kubur secara bertingkat adalah harus, hal itu disebabkan oleh keadaan darurat contohnya disebabkan kepadatan penduduk dan ruang tanah yang terhad.
Sumber: Mufti Wilayah