Kalau orang curi barang depan mata, kena berhenti solat ke?
PELBAGAI isu yang melibatkan kes kecurian dalam kalangan masyarakat, bahkan lebih menyedihkan apabila manusia sanggup mencuri di dalam masjid.
Seringkali kita mendengar media melaporkan kejadian mencuri di surau atau masjid ketika jemaah sedang menunaikan solat sehingga menimbulkan persoalan adakah dibenarkan untuk seseorang menghentikan solat atas sebab sebegitu?
Menjawab apa yang diutarkan oleh masyarakat, Ustazah Asma’ Harun tampil menjelaskan kita DIBOLEHKAN untuk berhenti melakukan solat fardu yang sedang ditunaikan sekiranya berlaku kecurian sama ada barang yang dicuri itu milik kita atau orang lain.
Larangan membatalkan solat
“ALLAH SWT melarang hamba-NYA untuk membatalkan mana-mana amalan tanpa sebab yang dibolehkan seperti uzur atau darurat. Firman ALLAH SWT “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada ALLAH dan taatlah kepada Rasul dan janganlah kamu membatalkan amal-amal kamu.” (Surah Muhammad ayat 33)
“Di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyebutkan bahawa: “Membatalkan ibadah yang wajib tanpa sebab, setelah memulakannya adalah tidak harus dengan sepakat para fuqaha’. Hal ini kerana membatalkan ibadah tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak adalah satu perbuatan yang sia-sia dan bersalahan dengan kehormatan solat.” (Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah)
“Solat hanya boleh dihentikan jika seseorang itu berhadapan dengan apa-apa kesukaran (darurat atau uzur) sehingga terpaksa berhenti melaksanakannya. Perkara ini merupakan salah satu usul agama Islam.
“Perkara ini juga selari dengan satu kaedah fiqh iaitu: ‘Keadaan yang darurat itu mengharuskan perbuatan-perbuatan yang haram”
Baca juga Solat pandang Kaabah tanpa melihat tempat sujud, apa hukumnya?
“Walau bagaimanapun bagi seseorang yang solat sunat, hukumnya tidaklah seberat solat wajib. Pada asasnya, adalah lebih utama bagi seseorang untuk tidak hentikan solat tanpa sebarang sebab, tetapi di dalam Mazhab Syafie keringanan diberikan untuk menghentikan solat sunat walaupun tanpa sebab dan keperluan,” Katanya.
Dibolehkan untuk hentikan solat bagi menyelamatkan nyawa dan harta
Ungkap beliau lagi, kita dibolehkan berhenti solat fardu apabila melihat orang yang nyawanya dalam keadaan terancam seperti budak terjatuh ke dalam perigi, diserang binatang ganas atau mangsa dipukul oleh penjenayah.
“Begitu juga keadaannya apabila rumah terbakar ketika sedang solat. Maka dibolehkan untuk kita berhenti solat dan menyelamatkan harta-harta yang penting. Perkara lain yang dibolehkan untuk berhenti solat termasuklah:
1) Berlaku kecurian barang, walaupun milik orang lain.
2) Ibu yang bimbang akan keselamatan anak kecilnya.
3) Musafir yang bimbang akan gangguan pencuri.
4) Membunuh binatang berbahaya seperti lipan, ular atau kala jengking saat memerlukan pergerakan yang banyak.
5) Rasa hendak buang air besar atau kecil.
6) Menyahut panggilan ibu bapa (hanya dibenarkan untuk solat sunat, manakala solat fardu tidak dibenarkan kecuali jika ada hal-hal yang membawa mudarat).
Ustazah Asma’ menyimpulkan dibolehkan bagi seseorang untuk menghentikan solat sekiranya berlaku kejadian-kejadian seperti yang dijelaskan di atas.
“Solat hanya boleh dihentikan jika seseorang itu berhadapan dengan apa-apa kesukaran (darurat atau uzur) sehingga menyebabkan terpaksa untuk berhenti daripada melaksanakannya.
“Pentingnya bagi seseorang untuk mengetahui perkara-perkara yang dibenarkan ke atas seseorang untuk menghentikan solat supaya kita tidak bermudah-mudah dengannya,” katanya di laman Facebook beliau baru-baru ini.
Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus