PENULIS dan ulama terkenal Indonesia Allahyarham Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau Hamka pernah berkata, “Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup, kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja.”
Jika manusia sekadar hidup untuk makan, minum atau mencari rezeki, burung pun keluar mencari rezeki. Lalu apa yang membezakan kita dengan haiwan, dan apakah tujuan sebenar manusia diciptakan?
Lihatlah roda kitaran hidup kita selama ini. Bermula dari saat kita dilahirkan kemudian memasuki zaman kanak-kanak, menempuh alam persekolahan, bekerja, berkahwin, berkeluarga dan akhirnya meninggal dunia. Lalu anak cucu kita juga melalui kitaran hidup yang sama.
Pernah seketika kita berhenti sejenak dan memikirkan adakah kehidupan ini hanya sekadar itu? Berkongsi artikel yang diterbitkan oleh JejakTarbiah mengenai erti sebenar seorang manusia diciptakan di muka bumi ini.

BUYA HAMKA
Sayyid Ibrahim Husayn Shadhili Qutb ( Sayyid Qutb) seorang penulis dan pemikir tersohor Mesir telah berpesan agar sentiasa bertanya pada diri sendiri tentang tiga perkara ini iaitu:
1. Dari mana kita datang?
2. Untuk apa kita berada di sini?
3. Kemana kita akan pergi?
Hanya dengan mengajukan persoalan ini pada diri, kita akan menemukan tujuan hidup kita yang sebenar. Tidak ada perkara sia-sia yang ALLAH ciptakan dan setiap sesuatu itu mempunyai tugasnya yang tertentu.
Jika dengan bekerja kita dibayar gaji, maka begitu jugalah ALLAH memberi nikmat kepada kita untuk melaksanakan satu tugas besar di muka bumi ini. Kehidupan yang diberi ini bukanlah sekadar untuk melengkapkan satu kitaran hidup yang bermula dengan kelahiran, membesar, bekerja, berkahwin, berkeluarga dan meninggal dunia.
Dua tujuan utama manusia diciptakan
ALLAH telah menggariskan dalam al-Quran dua tujuan utama kita diturunkan ke bumi.

SEBAGAI hamba ALLAH, setiap hari selama 24 jam kita adalah hamba-NYA. -Foto: Canva
Tujuan pertama seperti firman-NYA dalam Surah Az-Dzariyat ayat 56: “Dan (ingatlah) AKU tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-KU.”
Apakah yang dimaksudkan dengan ibadah? Bagaimana untuk beribadah kepada Allah? Adakah apa yang kita lakukan sepanjang hari termasuk dalam ibadah?
BACA JUGA Empat golongan manusia terbaik di sisi Rasulullah SAW
Ibadah berasal dari kata ‘abd’ ertinya hamba. Seorang hamba dalam setiap saat, situasi dan keadaan adalah tetap seorang hamba. Dia tidak berhak untuk memilih dalam melaksanakan sebahagian perintah dan meninggalkan sebahagian perintah yang lain dari tuannya.
Begitulah juga kita sebagai hamba ALLAH, setiap hari selama 24 jam kita adalah hamba-NYA. Kita menyangka ibadah terhad hanya ketika solat, puasa, zakat dan haji sahaja.
Makna ibadah yang sebenar ialah mengikuti aturan dan hukum Tuhan dalam setiap langkah dan keadaan. Setiap gerakan yang dilakukan akan menjadi ibadah yang dilakukan dengan niat yang betul.

TUGAS khalifah adalah untuk menyeru semua manusia untuk kembali kepada ALLAH dengan hanya menyembah ALLAH serta taat, tunduk dan patuh pada perintah-NYA sahaja. -Foto: Canva
Tujuan kedua kita diciptakan adalah untuk menjalankan tugas sebagai khalifah. Bagi memahami konteks sebenar khalifah, kita perlu meneliti kembali makna Islam dan tujuan utama kita diturunkan iaitu untuk menghambakan diri pada ALLAH.
BACA JUGA Roh yang tak tenteram akan ganggu manusia hidup? Ketahui pandangan Islam tentang perkara ini
Islam bermaksud berserah, tunduk dan patuh pada ALLAH tanpa sebarang bantahan dan tugas pertama kita adalah untuk beribadah kepada-NYA. Maka tugas khalifah adalah untuk menyeru semua manusia untuk kembali kepada ALLAH dengan hanya menyembah ALLAH serta taat, tunduk dan patuh pada perintah-NYA sahaja.
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, “Sesungguhnya AKU hendak menjadikan khalifah di bumi…” (Surah al-Baqarah ayat 30)
Itulah antara dua tujuan mengapa kita diciptakan di muka bumi ini. Bukan sekadar untuk memenuhi kehendak dan keperluan harian, namun untuk beribadah dan sebagai hamba kepada Sang Pencipta.