MENGUBAH ciptaan ALLAH SWT bermaksud mengubah fitrah yang telah ALLAH tetapkan pada makhluk-NYA sama ada daripada sudut agama atau penciptaan-NYA.
Hari ini dalam zaman penuh pancaroba kini, semakin ramai yang mengundang murka ALLAH hanya kerana mahu kelihatan cantik pada mata manusia. Baik lelaki mahupun perempuan dan paling merunsingkan apabila ramai umat Islam turut terjebak dengan perkara itu.
Sedangkan, ALLAH SWT sudah menegaskan dalam kalam-NYA dengan firman-NYA yang bermaksud: “Tetaplah atas fitrah ALLAH SWT yang telah menciptakan manusia atas fitrah itu, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada penciptaan (fitrah) ALLAH itu.” (Surah al-Rum, ayat 30)
Ironinya, Persatuan Pembedahan Plastik Estetik Antarabangsa (ISAPS) mendedahkan, berlaku peningkatan sebanyak 7.4 peratus dalam prosedur estetik/ kosmetik di seluruh dunia yang dijalankan pada tahun 2019 berbanding tahun 2018.
Pada tahun berkenaan, data menunjukkan bahawa prosedur pembedahan dan bukan pembedahan meningkat masing-masing sebanyak 7.1 dan 7.6 peratus.
Peningkatan itu begitu menakutkan kerana ramai sanggup berhabis puluhan, malah ratusan ribu semata-mata ingin kelihatan cantik pada mata manusia.
Buktinya, dalam satu artikel yang disiarkan media tempatan baru-baru ini, ada seorang lelaki yang obses dengan kecantikan sanggup melakukan pembedahan kosmetik berkali-kali pada wajahnya dengan anggaran kos hampir RM300,000!
Hukum mengubah ciptaan ALLAH
Ya, tidak salah mahu kelihatan cantik mahupun tampan. Namun, biarlah ia berlandaskan syariat yang digariskan dalam agama Islam.
Memetik perkongian artikel Irsyad Al-Fatwa siri ke-599: Hukum Suntikan Pada Wajah Agar Berbentuk V (v-shape face), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memberikan penjelasan tentang maksud pembedahan kosmetik.
Artikel tersebut menyebut, Dr Soleh Muhamad al-Fawzan membahaskan tentang pembedahan kosmetik pada dagu yang melibatkan bahagian tulang rahang untuk tujuan menambah kecantikan.
Ketahuilah, pembedahan dagu demi kecantikan adalah haram apabila penampilan pada bahagian tersebut tiada kecacatan.
Baca juga Khidmat sosial pengajaran terbaik untuk kaki fitnah?
Prosedur tersebut termasuk dalam mengubah ciptaan ALLAH seperti yang dinyatakan dalam nas. Bagaimanapun, bagi tujuan rawatan dan sebagai menutupi aib yang terzahir, ia adalah diharuskan.
Mudah kata, segala kaedah sama ada melibatkan pembedahan plastik atau suntikan yang menyebabkan perubahan daripada bentuk asal hanya bagi tujuan kecantikan adalah haram.
Justeru, umat Islam tidak sepatutnya melibatkan diri dalam segala jenis rawatan kosmetik untuk kecantikan yang boleh mengubah ciptaan ALLAH. Sesungguhnya, setiap penciptaan-NYA pasti mempunyai hikmah yang tersendiri.
Foto : pexels