SATU kajian baharu di United Kingdom menunjukkan semangat kejiranan merosot mendadak ketika pandemik ini.
Selepas beberapa bulan peraturan pegerakan dilaksanakan di negara itu, kajian Co-Op Insurance mendapati hanya seorang daripada lima mengambil tahu tentang nasib jiran mereka yang tinggal berseorangan berbanding 31 peratus sebelumnya.
Kajian itu mendedahkan betapa buruknya kesan kekurangan tahap semangat kejiranan ini kepada mereka yang tinggal berseorangan, dengan 75 peratus daripada lebih 9 juta daripada mereka ini tidak tahu siapa yang mahu dihubungi jika menghadapi masalah.
Perkembangan bertambah membimbangkan ketika wabak melanda sekarang, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal berseorangan lebih kerap adalah orang yang berumur, lantas berisiko tinggi jika dijangkiti Covid-19.
Memupuk semangat kejiranan memang satu tuntutan agama Islam, namun masyarakat masa kini, terutama mereka yang menghuni kondominium dan perumahan elit, kurang mengambil berat terhadapnya.
Situasi berbeza dengan zaman ibu bapa dan nenek moyang kita. Bayangkan kalau seorang dikhabarkan sakit, berduyun-duyun orang kampung berziarah. Itu belum kerja kahwin atau majlis cukur jambul lagi.
Malangnya, sukar untuk melihat semua momen itu sekarang. Apatah lagi pada saat seluruh dunia sedang bergelut melawan dengan virus Covid-19 yang boleh membawa maut.
Namun begitu, ia bukanlah tiket yang menyebabkan adab berjiran dipinggirkan begitu sahaja. Dengan kecanggihan teknologi yang pada hari ini dan jaringan telekomunikasi yang baik, kita sepatutnya menggunakan peluang itu untuk bertanyakan khabar jiran.
Itu antara pendekatan memuliakan orang terdekat dengan kita sebagaimana yang dianjurkan dalam agama Islam.
Firman ALLAH SWT: “…Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki…“ (Surah an-Nisa‘, ayat 36)
Pendakwah Nourul Iman Nia‘mat menjelaskan, jiran bermaksud orang yang tinggal sebelah-menyebelah dengan kita sama ada di kiri, kanan, depan mahupun belakang rumah.
“Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud dan at-Tabarani, jiran merupakan orang yang tinggal dalam lingkungan 40 buah rumah dari kediaman kita. Ia merangkumi jiran dari keempat-empat arah rumah kita.
“Kaedah dalam konteks Islam ini untuk membantu kita mengenal pasti siapa jiran kita untuk diberikan hak yang sebaiknya kepada mereka,“ katanya ketika ditemu bual Sinar Islam secara maya.
Betapa rapatnya perhubungan sesama jiran itu sehinggakan Rasulullah SAW bersabda: “Jibril selalu menasihati aku tentang jiran hinggakan aku menyangka bahawa jiran itu akan menerima pusaka daripada jirannya.“ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Nourul Iman menjelaskan, ada beberapa hak jiran yang perlu dipenuhi sebagai tanda memuliakan mereka. Ia sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Indama Yahlu al-Masa‘:
- Beri salam tatkala bertemu.
- Ketika bersembang-sembang dengan jiran, usah memanjangkan perbualan tersebut.
- Sentiasa bertanya khabar jiran.
- Seandainya menerima perkhabaran jiran sakit, ziarahlah dam sampaikan takziah serta mendoakannya. Andai jiran ditimpa musibah, bantulah sedaya yang mungkin.
- Apabila jiran mencapai satu bentuk nikmat daripada ALLAH SWT atau peningkatan hidup, raikanlah keseronokan dan kebahagiaan mereka.
- Jika jiran mempunyai sifat yang jelik, maafkan kesalahannya dan sentiasa mencintainya iaitu dengan cara sentiasa berdoa semoga ALLAH SWT memberikan hidayah kepada jiran berkenaan.
Pendakwah itu turut mengingatkan kita agar tidak sesekali mencari keaiban yang disembunyikan oleh jiran. Lebih-lebih lagi untuk dijadikan ‘bahan‘ menyakiti mereka dan sebagainya. Ini termasuklah tidak terlalu memerhatikan apa sahaja yang dibawa pulang oleh jiran.
Beliau menjelaskan: “Tidak akan masuk syurga mereka yang tidak mengamankan jirannya. Perkara itu ada dinyatakan dalam sebuah hadis masyhur.”
Sementara itu, pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da‘i Fuad menjelaskan, dalam kaedah usul fiqh, ada dijelaskan bahawa sesiapa yang mencari kediaman untuk menetap, ulama meletakkan keutamaan jiran tetangga sebelum mendahulukan daerah atau penempatan rumah tersebut.
Seandainya ditakdirkan kita memiliki jiran yang menguji kesabaran dan menyakiti hati, Da‘i Fuad menyarankan agar kita tetap menunjukkan perwatakan dan keperibadian yang baik.
“Namun, jika mereka telah melampaui batas dan melibatkan hal-hal keselamatan setelah berlakunya perbincangan, maka lanjutkanlah kepada pihak berkuasa,“ saran beliau.
Da‘i Fuad berkata: “Sesungguhnya, mengabaikan dan tidak menjalinkan silaturahim antara jiran tetangga itu telah melanggar perintah ALLAH dalam Surah an-Nisa, ayat 36.
“Ia adalah satu dosa yang sering dilakukan dalam masyarakat pada hari ini apabila tidak melaksanakan kebaikan dan perintah berbuat baik terhadap jiran tetangga mereka. Hal ini kerana dalam Islam, hak jiran tetangga itu telah nyata terdapat dalam al-Quran dengan perintah untuk melakukan kebaikan kepada mereka.
“Bagaimana kita nak lakukan kebaikan jika kita tak mengenali mereka? Bukan itu sahaja, dalam hadis sahih Riwayat alBukhari, ada menyatakan, sesiapa yang ingin diperluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim,” nasihatnya.