PAK Cik Kamil dari Kampung Padang Pak Amat, Pasir Putih, Kelantan sudah lebih 34 tahun berniaga. Sejak mula mendirikan gerai roti canai pada tahun 1988 hingga kini, harga roti canainya tetap 50 sen sekeping. Seperti yang diceritakan kepada Sinar Harian, dia tidak kisah memperoleh untung sedikit asalkan berkat. Niatnya cuma satu, dia ingin lebih ramai orang menikmati keenakan roti canainya di samping bersedekah setiap hari.
Pak Cik Kamil atau nama penuhnya Md Kamil Abdullah, 64, antara sekian ramai peniaga Muslim yang sedar akan pentingnya keberkatan dalam perniagaan. Alangkah indahnya dunia bisnes kalau ramai lagi insan sepertinya.
Ekonomi umat Islam berkembang cemerlang. Daripada perniagaan sayur kecil kecilan di pasar basah Lahar Yooi, Seberang Perai Utara hingga menduduki pejabat konglomerat terkemuka di Menara Burj Khalifa di Dubai, nilai barakah dalam perniagaan adalah sesuatu yang wajib diutamakan.
Islam mengiktiraf perniagaan sebagai salah satu ibadah dengan syarat dilaksanakan dengan jujur dan amanah tanpa melibatkan perkara-perkara yang dilarang seperti riba, gharar dan sebagainya.
Bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid.”Berdasarkan hadis tersebut, jelas difahami bahawa perniagaan merupakan pekerjaan yang murni dengan jaminan dapat bersama-sama para nabi dan sahabat di syurga kelak. Siapa yang tidak mahu? Apatah lagi syaratnya mudah, cuma laksanakan bisnes dengan jujur dan amanah.
Mengulas perkara ini, Pengerusi Pertubuhan al Khairiah Mersing, Dr Haji Hidris Sahri berkata, meskipun kelihatan mudah, cabaran besar menanti para peniaga untuk istiqamah dengan tuntutan agama.
Keberkatan dalam berniaga
Sumber rezeki bagi setiap orang bukan terbatas dalam bentuk wang ringgit, material atau harta benda semata-mata tetapi rezeki juga meliputi kelapangan waktu untuk membuat kebaikan dan amal ibadah kepada ALLAH, kesihatan yang baik; hati yang tenang dan lapang, idea bernas dan bermanfaat, hatta kehidupan yang bahagia sekalipun.
Jelas Dr Hidris, rezeki paling baik adalah yang berkat iaitu ‘walaupun sedikit tetapi mencukupi. ’Seseorang mukmin yang mencari rezeki di atas muka bumi ALLAH ini perlu meletakkan iltizam di dalam hati iaitu mencari rezeki bukan untuk mendapat kesenangan hidup semata-mata tetapi mesti meletakkan keutamaan untuk mendapatkan rezeki yang halal dan berkat.
“Sebagai peniaga Muslim, amalan sikap dan akhlak yang baik sangat dituntut. Hal ini bukan sahaja mampu mendisiplinkan diri seorang peniaga Muslim, malah dapat memberikan contoh baik kepada peniaga yang bukan Islam dan akhirnya mendapat keberkatan daripada ALLAH SWT,” katanya.
Bagi mencapai keredaan ALLAH, Dr Hidris menyenaraikan nilai murni yang banyak disentuh di dalam al-Quran dan as-Sunah.
“Antaranya nilai kepimpinan dan pengurusan yang baik, berani menghadapi risiko, amanah, sabar dan bersedekah.
“Amalan nilai-nilai murni ini merupakan salah satu perkara yang membezakan antara peniaga Muslim dan bukan Muslim,“ ujarnya.
Jelas beliau lagi, pelaksanaan nilai-nilai murni ini menjadikan seseorang itu lebih bertawakal kepada ALLAH. Selain itu ia dapat menyumbang kepada ekonomi umat Islam dengan bersedekah dan sebagainya juga secara tidak langsung mampu mengoptimumkan keuntungan perniagaan.
Pengiklanan melampau
Hari ini pengiklanan sesuatu perniagaan adalah satu strategi yang berkesan. Harus diingatkan bahawa al-Quran dan as-Sunah mempunyai garis panduan serta etika pengiklanan agar tidak tersasar daripada landasannya.
Menurut Dr Hidris, etika Islam dalam pengiklanan dan penjualan perlu menjauhi kezaliman, penindasan, manipulasi, penipuan, syubhah serta penghinaan agama yang mungkin berlaku.
“Ingatlah wahai peniaga Muslim, perbuatan menipu dalam bermuamalah adalah dilarang secara mutlak.
“Hal ini kerana perbuatan tidak jujur itu akan menghancurkan kepercayaan di antara pihak yang melakukan transaksi dan menyebabkan perniagaan menjadi kacau,” tambahnya lagi.
Bagi mencapai nilai istiqamah dan barakah Ilahi, peniaga harus menjalankan perniagaan dengan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh syarak.
Ujarnya, perniagaan yang dicemari dengan perkara-perkara yang dilarang seperti riba, maisir dan gharar sudah tentu memberi kesan negatif kepada peniaga bukan sahaja di dunia malah di akhirat kelak.
“Tampilkan rasa khauf (takut) dan raja’ (mengharap) dalam amalan serta ibadah kerana rasa itu membawa kita kepada husnul khatimah ketika meninggal dunia kelak,” titipnya menutup bicara.