SESUNGGUHNYA tujuan kita dihidupkan adalah untuk beribadah kepada ALLAH SWT bagi memberatkan lagi timbangan amalan ketika di akhirat kelak.
Bayangkan, kita merasakan diri kita telah berusaha untuk memperbanyakkan amalan di dunia ini sebagai bekalan di akhirat dengan rajin bersedekah, membaca al-Quran dan melakukan ibadah sunat yang lain.
Namun, saat berada di Padang Mahsyar, segala kebaikan itu berterbangan menjadi debu.
Sebagaimana firman ALLAH dalam Surah al-Furqan ayat 23 yang bermaksud:
“Dan KAMI bicarakan (persembahkan) apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu KAMI jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.”
Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun, di laman Facebooknya ada berkongsi antara penyebab amalan menjadi sia-sia:
1. Merasa ujub dengan amalan sendiri
Ujub ialah satu penyakit yang sukar untuk diubati. Ia menyebabkan seseorang itu memandang diri sendiri dengan pandangan kemuliaan dan kebesaran sebaliknya memandang orang lain dengan pandangan penghinaan.
Imam al-Ghazali berkata, ujub itu adalah mengagungkan diri, atau menganggap agung amal yang dilakukan. Daripada Anas bin Malik RA, katanya, sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Tiga perkara yang membinasakan: Orang yang kedekut ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan seseorang itu merasa kagum pada dirinya.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)
Baca juga Empat amalan kecil tetapi besar ganjarannya
2. Beramal kerana manusia
Antara perkara yang paling ditakuti dalam beramal soleh adalah niat ketika melakukannya. Kerana niat itu menentukan amalan kita diterima ALLAH atau sebaliknya.
Daripada Tsauban RA, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Sungguh saya telah mengetahui bahawa ada suatu kaum dari umat saya yang datang pada hari kiamat dengan membawa kebaikan sebesar gunung Tihamah, lalu ALLAH menjadikannya debu yang berterbangan.
“Tsauban berkata, “Ya Rasulullah, sebutkanlah ciri-ciri mereka kepada kami, dan jelaskanlah tentang mereka kepada kami, supaya kami tidak menjadi seperti mereka tanpa kami sedari.” Baginda bersabda, “Sesungguhnya mereka itu adalah saudara kamu dan daripada golongan kamu.
“Mereka solat malam sepertimana kamu mengerjakannya, tetapi mereka adalah kelompok manusia yang apabila mereka bersendirian dengan perkara yang ALLAH haramkan, mereka melakukan perkara haram itu.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
3. Menyakiti hati orang lain
Setiap hari kita berjumpa dan berinteraksi dengan orang sekeliling. Kadang kala perbuatan bergurau senda itu terlalu kasar dan mengeluarkan kata-kata kesat sehingga menyakiti hati orang lain.
Berjagalah dalam bermuamalah, bimbang kita termasuk dalam golongan muflis yang disebutkan dalam hadis Rasulullah ini. Daripada Abu Hurairah RA beliau mengatakan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya mereka yang muflis dalam kalangan umat aku ialah mereka yang datang pada hari kiamat kelak membawa pahala daripada solat, puasa dan zakatnya.
“Namun pada masa yang sama dia juga membawa dosa memaki-hamun sesama manusia, dosa menuduh seseorang dengan tuduhan yang jahat, dosa memakan harta orang lain dengan zalim, dosa menumpahkan darah sesama manusia, dosa memukul atau mencederakan sesama manusia.
Baca juga Jangan sakitkan hati orang lain sesuka hati
“Maka diberikan pahalanya kepada mereka yang dizaliminya ketika di dunia dahulu. Jika habis pahalanya sedangkan belum selesai tuntutan manusia ke atasnya, maka diambil dosa manusia itu lalu ditanggung ke atasnya dan akhirnya dia dihumban ke dalam api neraka.” (Hadis Riwayat Muslim)
Amalkan doa ini agar ALLAH menerima amal kebaikan yang kita lakukan di dunia ini. Moga ia menjadi bekal buat kita di akhirat nanti.
“Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 127)
Marilah kita muhasabah diri semula. Adakah kita pernah melakukan perkara-perkara ini tanpa kita sedari? Jika ada, sama sama kita kembali bertaubat kepada ALLAH dan memohon agar sentiasa dalam rahmat-NYA dan dijauhkan daripada sifat sedemikian.
Foto: Canva