SEJAK beberapa minggu lalu, jumlah rakyat yang telah dijangkiti Covid-19 semakin meningkat.
Perit apabila dijangkiti wabak tersebut. Demam, sakit badan dan batuk. Kadangkala simptomnya berlarutan walaupun sudah berbulan.
Namun, tempias Covid-19 tidak hanya dirasai oleh si individu yang disahkan positif. Bagi ahli keluarga dan kawan-kawan yang diberikan tanggungjawab menjaga orang sakit, perkara ini juga bukan mudah untuk mereka.
Berulang alik mencari keperluan untuk si pesakit. Terpaksa bekerja di rumah, mengasingkan diri sebagai kontak rapat. Penat rasanya tidak terkira.

Pendakwah, Ustaz Badli Shah Alauddin.
Perkara ini disentuh oleh pendakwah, Ustaz Badli Shah Alauddin menerusi sebuah video yang bertajuk Pahala Menjaga Orang Sakit yang dikongsikan di laman sosial Youtube miliknya.
Menjaga orang sememangnya bukan mudah. Namun, menurut beliau, ada ganjaran besar di dunia dan akhirat bagi mereka yang menjaga orang sakit.
Berikut perinciannya:
1. Dikurniakan kesihatan baik
Mana-mana orang sakit pasti akan dijaga oleh orang yang lebih sihat. Masakan tidak, orang sakit tidak akan mampu menjaga seseorang yang juga sedang sakit. Kan susah kalau kedua-duanya ‘tumbang’ nanti.
Oleh itu, ALLAH memberikan kemudahan kepada sesiapa yang sedang merawat orang sakit dengan mengurniakan kesihatan yang baik supaya dia mampu melaksanakan tugasnya.
2. Didoakan malaikat
Pahala yang diberikan kepada orang yang menjaga atau menziarahi orang sakit begitu besar sekali. Para ulama mengatakan sepanjang perjalanan menuju ke rumah orang sakit itu akan didoakan oleh malaikat.
Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, al-Tirmizi dan Imam Ahmad, Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Apabila seseorang menjenguk saudaranya yang Muslim (sedang sakit), maka (seakan-akan) dia berjalan sambil memetik buah-buahan syurga sehingga dia duduk. Apabila sudah duduk, maka diturunkan kepadanya rahmat dengan deras. Apabila menjenguknya di pagi hari maka tujuh puluh ribu malaikat mendoakannya agar mendapat rahmat hingga tiba waktu petang. Apabila menjenguknya di waktu petang, maka tujuh puluh ribu malaikat mendoakannya agar diberi rahmat hingga waktu tiba waktu.”
Baca juga Nak ziarah orang sakit jangan semberono saja, ketahui adab-adab yang diajar oleh Islam
3. Doa dimakbulkan
Orang sakit dimuliakan oleh ALLAH SWT sebagaimana dalam sebuah hadis qudsi, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH SWT di hari kiamat: “Wahai Anak Adam, AKU sakit akan tetapi kamu tidak menziarahi AKU.”
Berkata (anak Adam): “Wahai Tuhan bagaimana mungkin aku menziarahi ENGKAU padahal ENGKAU adalah Tuhan sekalian alam?”
ALLAH SWT berfirman: “Apakah kamu tidak ketahui bahawa seorang hamba-KU si fulan telah sakit, tetapi engkau tidak menziarahinya. Apakah engkau tidak mengetahui bahawa jika engkau menziarahinya akan engkau dapati AKU di sisinya?” (Riwayat Muslim)
Ustaz Badli Shah menjelaskan hadis qudsi ini sebagai suatu simbolik kepada hubungan orang sakit dengan ALLAH.
Orang sakit lebih rapat dengan ALLAH kerana penyakit yang dihidapi mengingatkannya kepada Tuhan. Dosa mereka juga digugurkan lantas menjadikan doa mereka mustajab.
Sesiapa yang sedang menjaga atau menziarahi pesakit boleh mengambil kesempatan ini untuk meminta orang sakit mendoakan untuk mereka.
“Apabila kau datang menziarahi orang sakit, maka mintalah agar dia berdoa untukmu, kerana doanya makbul seperti doa malaikat” (Riwayat Ibnu Majah)
4. Diberikan rumah dalam syurga
Orang yang jaga atau menziarahi orang sakit juga akan diberikan sebuah rumah oleh ALLAH di syurga.
Daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang menziarahi saudaranya kerana Allah nescaya malaikat akan berseru kepadanya: Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah tersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga.”

BETAPA bertuahnya orang yang sedang menjaga ibu bapanya kerana dipilih oleh ALLAH SWT untuk menerima pahala dan rezeki yang luas.
Dalam masa yang sama, Ustaz Badli Shah juga memberi peringatan agar menjaga ibu bapa yang sedang sakit.
“Kalau menjaga orang biasa pun dapat pahala sebesar itu, apatah lagi kita menjaga ibu bapa yang sakit. Jangan terlalu sibuk mencari duit. Sementara mereka masih ada, santunilah ibu ayah.”
Beliau memetik sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.”
Bukanlah mudah untuk menjaga orang sakit. Kadangkala, melayan kerenah mereka boleh menguji kesabaran seseorang. Dalam situasi begini, tiada perkara yang lebih baik melainkan sabar.

BANYAKKAN berzikir dan menyebut nama-nama ALLAH supaya diberikan kekuatan untuk bersabar.
ALLAH SWT berfirman: “(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.
Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.” (Surah al-Baqarah, ayat 156-157)
Usah mengeluh ketika menjaga orang sakit, sebaliknya, lihatlah perkara ini sebagai suatu peluang untuk beramal soleh dan meningkatkan saham akhirat.
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Foto: Facebook & Pexels