UMAT Islam di Malaysia wajar peka dan ikhlas menjaga sensitiviti agama agar tidak mengundang bala dari YANG MAHA ESA.
Sebagaimana firman ALLAH dalam surah al-Anfal, ayat 25 yang bermaksud, “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa ALLAH Maha Berat azab seksa-NYA.”
Pihak kerajaan wajar mengambil serius setiap perbuatan yang menyentuh sensitiviti agama khususnya, demi menjaga keharmonian negara. Budaya kita bukan seperti budaya liberal Barat memandang enteng kesucian agama.
Oleh itu, prinsip kebebasan ala Barat tidak sepatutnya menjadi rujukan dalam menentukan pendekatan keharmonian kaum dan kesejahteraan beragama dalam negara.
Tindakan proaktif perlu diambil bagi menghalangnya berleluasa. Demikian juga proses pendidikan dan kesedaran awam amat penting bagi memastikan masyarakat saling menghormati sensitiviti agama.
Tumpuan kepada Falsafah Iqra’
Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman berkata, falsafah Iqra’ sepatutnya dijadikan panduan pendidikan kerana asas Islam ialah agama ilmu.
“Ayat pertama yang diturunkan ialah ‘Iqra’, dan ini menunjukkan betapa kuatnya Islam meletakkan asasnya dengan ilmu.
“Justeru, ilmu amat diperlukan kalau ingin mengetahui apa itu Islam. Barulah penilaian dapat dibuat dengan adil.
Pembinaan sahsiah dan mentaliti generasi muda Muslim pada hari ini jelasnya, perlu difokuskan kepada pengukuhan ilmu aqidah.
“Mereka perlu diperkukuhkan dengan ilmu mengenal ALLAH dan tujuan beribadah. Silibus ini patut ditekankan sejak sekolah rendah lagi. Apabila memiliki kefahaman teguh, seseorang itu akan memiliki rasa kehambaan, seterusnya melaksanakan ibadah dengan penuh kefahaman dan penghayatan. Di mana sahaja berada, dia akan merasa dirinya bertuhan,”
Pada masa yang sama media massa juga wajar memainkan peranan dakwah. Jelas Dr Sukki, pihak berwajib boleh menggunakan saluran media rasmi kerajaan untuk memperuntukkan waktu, khususnya waktu perdana bagi menerangkan tentang Islam, prinsip-prinsip Islam dan berusaha memperjelaskan isu-isu kontroversi yang sering diperkatakan di dalam Islam seperti poligami, hudud dan sebagainya kepada khalayak.
“Usaha dakwah ini perlu digerakkan secara bersepadu dan berterusan agar segala salah faham tentang agama suci Islam dapat diperbetulkan. Kita negara Islam, semestinya tiada masalah untuk menggunakan fasiliti rasmi yang ada. Jangan biar rakyat mencari informasi yang banyak berkecamuk dan belum pasti kesahihannya di media sosial,” tegas beliau lagi mengakhiri bicara.
KEBEBASAN ATAU HAK ASASI BUKAN ALASAN HINA AGAMA
DALAM konteks Malaysia, memang Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memberikan kebebasan bersuara kepada rakyat Malaysia, namun ia tertakluk kepada batas ditentukan undang-undang bagi menjamin ketenteraman awam, moral dan kepentingan umum.
Bebas bersuara bukan bermakna berhak bercakap apa sahaja yang disukai. Orang bersuara mungkin menimbulkan kesan ke atas orang lain dari sudut maruah, kehormatan dan harga diri.
Undang-undang melarang penghinaan agama penting bagi mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.
Perbuatan menghina agama tertakluk kepada beberapa kawalan undang-undang di Malaysia. Pertama, Seksyen 298 Kanun Keseksaan, iaitu bagi kesalahan menyebut perkataan atau melakukan perbuatan melukakan perasaan agama seseorang tertakluk hukuman penjara setahun dan denda.
Hukuman lebih berat di bawah Kanun Keseksaan adalah di bawah Seksyen 298A, iaitu bagi perbuatan menghina yang boleh mendatang kebencian, menjejaskan keharmonian dan kemudaratan. Ia membawa hukuman penjara dua hingga lima tahun dan denda.
Selain itu, bagi kesalahan dilakukan menggunakan media sosial dan internet, pendakwaan juga boleh dilakukan melalui Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan dalam kalangan orang Islam pula, terdapat undang-undang di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Enakmen Negeri memperuntukkan hukuman tidak lebih tiga tahun penjara dan denda RM5,000.
baca juga: Jangan pandang remeh perbuatan hina agama