Elak guna kalimah ‘Priest Muslim’, undang kekeliruan dalam masyarakat
ISLAM dikenali sebagai agama yang syumul (menyeluruh). Namun bukanlah semua perkara itu boleh sewenangnya diguna pakai terutama apabila melibatkan agama dan budaya lain walaupun hanya pada sepatah perkataan.
Memetik perkongsian Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari UITM, Dr Mohd Hapiz Mahaiyidin, istilah khusus agama yang mempunyai maksud negatif tidak boleh digunakan sewenangnya.
“Walau priest diterjemahkan sebagai imam dalam Bahasa Melayu, namun makna khusus perkataan tersebut digunakan bagi paderi Kristian. Ia sebagaimana perkataan monk digunakan bagi sami Buddha dan rabbi bagi imam penganut Yahudi.
“Sesuatu perkataan yang mengandungi banyak makna tidak wajar digunakan secara umum apabila ia digunakan secara khusus dalam ritual agama dan budaya.
“Dalam Islam sebagai contoh, al-Quran melarang umat Islam menyebut perkataan raa’ina (راعنا) dengan menggantikannya dengan unzurna (انظرنا) dalam ayat 104 surah al-Baqarah;
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَقُولُواْ رَٰعِنَا وَقُولُواْ ٱنظُرْنَا وَٱسْمَعُواْ ۗ وَلِلْكَٰفِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٌ
“Menurut al-Tantawi dalam kitab tafsir al-Wasit, ini kerana doa kalimah راعنا memang mempunyai erti yang baik iaitu “perhatikanlah kami wahai Tuhan” dalam Bahasa Arab, namun ia kebetulan sama dengan bahasa Ibrani yang bermaksud hinakanlah kami,” ungkap beliau di laman facebook.
BACA JUGA Gembira atas musibah orang lain? Segera nyahkan perasaan itu jauh-jauh
Mengulas lanjut, Hapiz menjelaskan lagi apabila umat Islam menyebut kalimah tersebut, orang Yahudi akan memperolok-olok doa mereka. Ia seperti mana mereka menyebut al-Saamu alaikum, lalu Baginda SAW menyuruh umat Islam membalas dengan Wa’alaikum sahaja.
“Ini kerana sebutan mereka tidak jelas adakah ia السام عليكم (mati atau celaka) atau السلام عليكم assalamu (sejahtera) dengan huruf lam atau tidak.
“Berdasarkan ayat ini, Ibn Kathir menegaskan syarak melarang umat Islam meniru pertuturan dan perbuatan orang kafir yang bertentangan dengan dasar dan prinsip agama.
“Paderi (priest), sami dan rabbi adalah istilah khusus maksud imam dalam agama masing-masing. Justeru atas asas ihtiyat dan sadd al-zari’ah, penggunaan “priest muslim” adalah mengelirukan dan tidak boleh (saya elak dari guna perkataan haram) digunakan walaupun dengan niat yang baik kerana kalimah itu ada makna khususnya.
BACA JUGA Semak sebelum beli perhiasan ayat al-Quran, berat azab menanti orang yang permainkan kalamullah.
“Jika dibenarkan, akan ada nanti label Rabbi Muslim, Monk Muslim, Sami Muslim atau tokong Muslim menggantikan gelar Imam, khatib, ustaz atau tok guru,” katanya.
Elak syubhah
Umat Islam dinasihat agar mengelak diri masing-masing daripada terlibat dengan tindakan yang boleh disalah faham atau dikaitkan dengan agama lain.
Walaupun pada asasnya sesuatu tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai syubhah, Mufti Pulau Pinang, Dato Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata keadaan boleh menjadi lebih buruk apabila membawa kepada haram.
Wan Salim berkata menggunakan gelaran seperti priest boleh disalah anggap kerana ia biasanya merujuk kepada pembesar dalam agama lain, dalam Islam tak ada istilah ada paderi atau priest, yang ada haji, ataupun ulama kalau seseorang itu ada ilmu.
“Ia dipanggil syubhah (kerana) itu nama panggilan kepada pembesar dalam agama lain. Maknanya nama yang mengelirukanlah, gelaran priest selalunya digunakan untuk pemimpin agama Kristian,” katanya.
Pandangan sama turut dikongsi Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, yang berpendapat seseorang yang mengaku Islam tidak boleh berbuat perkara yang berkaitan agama lain pada diri mereka.
Misalnya, kata Mohamad Shukri, seseorang yang mengenakan pakaian kuning sehingga boleh dianggap seumpama sami Buddha. Memang salahlah kerana membuat perkara-perkara yang ada kaitan dengan agama lain,” katanya.
Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus