GEJALA pencabulan, buli dan kekerasan gengsterisme membabitkan remaja di sekolah dan institusi pengajian tinggi kembali kedengaran mutakhir ini.
Perilaku sebegini amat dibenci oleh Islam kerana isu ini bukan hanya membawa kecederaan kepada mangsa malah berakhir dengan kematian yang sia-sia.
Islam memerintahkan umatnya agar sentiasa memiliki sifat saling mengasihi sesama Muslim dengan memuliakan, menghormati dan menyayangi mereka bahkan Islam menganjurkan perpaduan dengan semua pihak.
Daripada Anas RA dari Nabi SAW bersabda “Tidak (sempurna) iman seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri”. (Sahih Al-Bukhari)
Memetik artikel harakahdaily mengenai buli, cabul, gengsterisme yang semakin menjadi-jadi, tahap kesedaran dan kemanusiaan mengenai isu ini dalam kalangan anggota masyarakat semakin terhakis dan menjadi tidak penting.
Islam meletakkan garis panduan dalam mengatur kehidupan manusia agar sentiasa dalam keadaan harmoni, selamat dan aman. Firman ALLAH SWT “Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara.” (al-Hujurat ayat 10)
Perkembangan yang merisaukan ini perlu diberi perhatian yang serius oleh semua pihak. Termasuk ibu bapa, guru, masyarakat dan persekitaran.
CARA ISLAM TANGANI BULI
Ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak-anak sejak awal kelahiran dengan budi pekerti yang luhur dan sifat kemanusiaan yang tinggi.
Guru memainkan peranan penting dalam mendidik dan membekalkan ilmu kepada generasi umat ini. Kepekaan dan keprihatinan guru mengenai perkembangan anak-anak tanpa adanya sikap pilih kasih dan prejudis.
Masyarakat dan persekitaran juga ada pengaruhnya terhadap perkembangan anak-anak. Persekitaran yang baik (soleh) akan membentuk jati diri anak yang baik. Begitulah juga sebaliknya persekitaran yang rosak akan mengakibatkan kerosakan kepada generasinya.
Seterusnya mengambil petikan daripada pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), mengenai cara Islam tangani buli adalah dengan setiap pihak memainkan peranan masing-masing dalam membentuk akhlak dan jati diri pelajar.
Dalam menangai masalah buli ini, beberapa perkara penting perlu dilaksanakan bermula daripada aspek tarbiah dan pemantaun oleh ibu bapa, guru dan juga masyarakat.
Antara perkara yang boleh diusahakan ialah memupuk jiwa mengasihi sesama insan. Jika setiap individu saling mengasihi, tidak mungkin ada yang tergamak membuli orang lain meskipun dirinya tidak berpuas hati mengeai sesuatu perkara.
Baca juga Dera anak angkat ibarat mencabuli amanah yang dipertanggungjawabkan
Jauh sekali sanggup memudaratkan orang lain yang hakikatnya mereka bersama-sama menuntut ilmu bagi mencipta kejayaan hidup. Tidak ada manusia yang boleh hidup sendiri tanpa dikelilingi insan yang mengasihi dirinya.
Ibu bapa dan guru juga perlu sentiasa mengigatkan anak dan pelajar mereka pentingnya menyemai rasa kasih sayang.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Tidaklah seseorang daripada kalian sempurna imannya sehingga dia mencintai untuk saudaranya sesuatu yang dia cintai untuk dirinya”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
MERAPATKAN JURANG PERBEZAAN
Selain itu rapatkan juga jurang perbezaan. Ramai orang memandang tinggi aspek perbezaan sesama insan. Di sekolah misalnya ada kumpulan senior dan junior. Begitu juga di tempat kerja.
Jika jurang itu dijadikan asas utama dalam semua bentuk pertimbangan, tidak mustahil senior akan membuli junior hanya dengan alasan yang diperbesarkan.
Sebagai solusi yang boleh dilakukan adalah dengan mencampurkan mereka bersama supaya dapat meraikan sedikit perbezaan. Biarkan mereka melakukan tugasan secara berkumpulan bukan berpuak-puak seperti yang biasa diamalkan.
Bukankah Islam melarang budaya berpuak-puak sesama manusia mengikut kasta tahap tertentu. Kerana islam amat menitikberatkan soal kualiti.
Baca juga Buli orang tanpa rasa bersalah… Hati-hatilah, perbuatan itu bakal dituntut di akhirat kelak
Tidak semestinya seseorang itu lebih senior maka dialah yang terbaik dan tidak semestinya juga berada dalam kelompok majoriti, dia boleh sewenangnya menindas golongan minoriti.
Itulah antara perkara yang perlu ditekankan dalam kehidupan golongan remaja sekolah dan penuntut universiti. Mereka perlu terus dipimpin agar sentiasa berada di pada landasan yang betul.
Gambar : Pexels