BELUM sampai hujung bulan, namun poket sudah kering kehabisan wang. Itulah realiti pahit yang harus ditelan sesetengah orang.
Dengan kos sara hidup yang kian meruncing setiap hari menyebabkan segala barang keperluan asas mendadak naik, malah ada yang perlu mencatu demi kelangsungan hidup.
Namun tiada siapa dapat menyangkal rahsia Ilahi, kerana sesungguhnya gaji yang tinggi bukan ukuran besarnya rezeki yang diterima akan tetapi keberkatan di sebalik setiap apa yang diperoleh.
Pendakwah bebas, Ustaz Haryyanto Rizal Rokman berkongsi dalam satu ceramah mengenai keberkatan rezeki. Ujarnya, “kalau keberkatan hilang dalam kehidupan, kita akan melihat hadirnya kegelisahan dalam bentuk musibah, bencana dan sebagainya.
“Dalam Islam perkara yang paling ditiktiberatkan adalah mengenai keberkatan, dalam konteks mencari rezeki bukan soal mencari harta benda tetapi keberkatan itu.
Menurut beliau lagi, “Setiap daripada kita mempunyai rezeki dan sudah ditetapkan oleh ALLAH SWT, bila kita lahir sahaja rezeki sudah ditentukan.
“Analoginya, rezeki sudah ditentukan sejak azali lagi dan apa yang perlu kita lakukan adalah usahakan untuk mengundang rezeki tersebut, seperti dalam firman ALLAH dalam surah Ali ‘Imran “Dan apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada ALLAH”.
Seterusnya mengambil perkongsian oleh pensyarah Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Izhar Ariff Mohd Kashim di dalam ceramah yang sama. Beliau menyatakan lima amalan yang boleh dilakukan secara istiqamah agar setiap rezeki yang hadir itu berkat dan mencukupi.
1) Membayar Hutang
Jika ada hutang dengan orang, lunaskanlah. Jangan ditangguh terutama apabila sudah berjanji akan membayar hutang tersebut pada tarikh tertentu. Kalau kita mungkir janji, orang yang meminta hutang pasti tidak gembira bahkan akan marah dan mungkin juga menyumpah kerana tidak menunaikan janji seperti yang disebut.
Baca juga Berhati hati dengan idea ‘Energy duit’, ia bercanggah dengan ajaran Islam
Mereka ini dikira orang teraniaya dan doa mereka dimakbulkan ALLAH. Oleh kerana sikap acuh tidak acuh inilah kadang-kadang kita akan ditimpa musibah. Oleh itu untuk peroleh kesenangan hidup, bayarlah hutang walaupun dalam jumlah yang sedikit.
2) Beri duit kepada Mak Ayah
Sedikit atau banyak bukan soalnya, beri wang kepada mak dan ayah dengan jumlah yang kita mampu setiap bulan. Mereka pasti akan menerima pemberian kita dengan senang hati dan pasti doa mereka akan mengiringi agar kita sentiasa dilimpahkan kemurahan rezeki.
3) Sedekah
Satu lagi cara untuk ALLAH meluaskan rezeki adalah dengan memberi sedekah. Apabila kita meringankan beban orang dalam kesusahan. Maka ALLAH akan menggandakan rezeki kita. Perkara paling utama dalam bersedekah adalah jangan sesekali berkira dengan setiap jumlah yang kita beri.
4) Berbuat baik kepada binatang
Jangan zalim dengan binatang kerana mereka juga makhluk ALLAH. Apabila kita melakukan kebaikan dengan binatang, maka mereka akan mendoakan kesejahteraan kita. Rezeki akan bertambah dan yakinlah dengan setiap janji ALLAH.
Baca juga Syahid dalam kebakaran, ketahui dua sudut istilah syahid kepada Muslimin
Sebagai contoh, jika ada kucing yang kelaparan maka berilah makan, jika ada yang sakit maka bawalah ke pusat perubatan haiwan. Perkara yang dipandang biasa inilah akan dinilai kelak di akhirat.
5) Solat Duha
Dalam Islam sudah diajar, salah satu amalan sebagai ikhtiar untuk dimurahkan rezeki adalah melakukan solat Duha. Buatlah secara konsisten dan yakin dengan ALLAH YANG MAHA PEMBERI REZEKI.
Lakukan dua atau empat rakaat mengikut kemampuan kita. Tak rugi jika luangkan masa hanya 10 hingga 15 minit sehari dengan meminta ALLAH melimpahkan nikmat-NYA pada kita.