ISTILAH bekas banduan tidak wujud dalam ‘kamus’ Islam. Justeru, tiada isu golongan tersebut tidak boleh memohon bantuan di bawah institusi zakat andai mereka termasuk dalam lapan senarai kelompok asnaf selagi bergelar Muslim.
Demikian komentar Ketua Unit Pembangunan Asnaf, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MAIP), Ustaz Md Hashrul’din Amdan ketika ditanya berhubung bentuk bantuan kepada bekas banduan untuk kembali meneruskan kehidupan selepas dibebaskan.
Jelas beliau, di bawah skim bantuan zakat MAIP, terdapat banyak jenis bantuan seperti modal dan peralatan, sara hidup, mualaf serta lain-lain.
“Kita tidak memilih waima mereka banduan atau bekas banduan, selagi dia orang Islam dan termasuk sebagai asnaf tidak kiralah sama ada fakir, miskin atau al-gharimin, mereka layak dapat bantuan.
“Cuma kena buat permohonan. Setakat ini, pihak kami tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana bekas banduan atau persatuan tertentu untuk bantuan zakat. Yang ada hanyalah daripada program Komuniti Intervensi Dadah Malaysia (DiC),” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini. Bukan sahaja bantuan, Ustaz Md Hashrul’din menjelaskan, MUIP mempunyai sebuah penempatan asnaf yang dikenali sebagai Pusat Komuniti Asnaf Bukit Kenau melibatkan sebanyak 80 unit jika mereka memerlukannya.
Peluang pekerjaan
Kepada golongan asnaf termasuk bekas banduan dalam kategori berkenaan di Pahang, katanya, mereka boleh cuba membuat permohonan tertakluk kepada kekosongan.
“Jika ada ruang, kami akan hubungi mereka dan panggil menghadiri sesi temuduga untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar layak boleh mendiaminya secara percuma selagi mana mereka bergelar asnaf.
“Pada masa ini, terdapat 25 unit penempatan dalam proses baik pulih, insya-ALLAH kita akan buat kemasukan baharu pada tahun depan.
“Dalam penempatan itu juga, kami dalam proses untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada komuniti di situ,” katanya sambil menjelaskan antara kriteria pemohon yang dipertimbangkan termasuklah kategori fakir, miskin dan keutamaan diberikan kepada mereka yang berkeluarga serta tiada tempat untuk dituju.
Bagi penceramah bebas, Ustaz Mohamed Sabir Jamaludin, bekas banduan memerlukan rumah perlindungan untuk mereka memulakan kembali kehidupan selepas lama ‘dikurung’.
Lebih-lebih lagi mereka yang sebatang kara, sudah berusia lanjut dan hidup dalam buangan serta langsung tiada sumber kewangan.
Sebagai penceramah jemputan yang terlibat dalam program pemulihan dan rawatan di penjara, beliau melihat peri pentingnya hal perkara tersebut pada masa sekarang.
Baca juga Peluk Islam ketika dalam penjara, bekas banduan kini jadi pendakwah
“Ada dalam kalangan mereka memang benar-benar telah insaf, tetapi tidak diterima oleh masyarakat. Ke mana mereka hendak pergi? Di mana mereka hendak tidur?
“Lebih-lebih lagi bekas banduan yang sudah tua dan tiada sesiapa,” katanya ketika ditemui Sinar Islam Plus di pejabatnya di Kajang, Selangor baru-baru ini.
Jati diri bekas penghuni penjara
Meskipun perkara itu kelihatan remeh, namun sewajarnya perkara itu perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini memandangkan ia berkait rapat dengan soal akidah mereka.
“Kita tidak mahu lihat ada pihak lain yang membantu kelompok ini, seterusnya menarik mereka dalam dakyah yang memesongkan,” tegas beliau.
Sebelum ini, bekas Pengarah Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Ibrisam Abdul Rahman yang kini merupakan Timbalan Komisioner Jeneral Penjara, Jabatan Penjara Malaysia pernah menyuarakan perkara sama pada tahun lalu.
Memetik laporan media tempatan, beliau meluahkan rasa sedih kerana kurangnya pembabitan NGO Islam di negara ini dalam membantu bekas banduan dari aspek pemulihan, sokongan dan mendapatkan pekerjaan, sebaliknya lebih cenderung kepada isu di luar negara.
Perkara itu diberitahu ketika Perbincangan Meja Bulat Mengenai Proses Integrasi Semula Bekas Banduan Dalam Masyarakat secara maya dan turut disertai bekas Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Jerald Joseph serta beberapa NGO lain.
Baca juga Pernah bergelar banduan, bekas guru ini bangkit daripada kisah silam
Selain bekas banduan, Ustaz Mohamed Sabir yang juga Presiden Pertubuhan Alif dan Ketua Pegawai Eksekutif Alif Consultant Plt berpandangan, penghuni penjara juga memerlukan ‘suntikan luar’ untuk memantapkan jati diri mereka apabila dibebaskan kelak. “Mereka bukan hanya perlu solat dan baca al-Quran sahaja, tetapi juga kena memahaminya. Jika tidak tahu inti patinya akan memberi implikasi kepada jati diri mereka.
“Walaupun para banduan sudah diberikan bimbingan agama oleh kader daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan pegawai penjara, namun kita ada banyak NGO Islam di luar. Mungkin mereka boleh menghulurkan bantuan berbentuk ceramah motivasi kepada penghuni tirai besi.
“Pihak institusi pengajian tinggi pula boleh bantu mereka dari segi cara hidup dengan memberikan sijil-sijil pencapaian tertentu,” sarannya.