MASA berlalu begitu pantas. Sedar tak sedar, kita kini sudah memasuki fasa terakhir Ramadan. Bulan mulia itu hanya berbaki lebih kurang lapan hari lagi.
Dalam fasa ini, boleh dikatakan ia merupakan kemuncak kepada bulan agung ini. Masakan tidak, ramai ternanti-nanti saat tibanya lailatulqadar atau malam al-Qadar yang penuh keberkatan dan lebih baik daripada 1,000 bulan.
Ia hanya boleh digapai pada 10 malam terakhir Ramadan. Tiada siapa yang tahu bilakah tarikh sebenar malam penuh rahmat berkenaan. Apa yang pasti, secara spesifiknya, ia boleh diraih pada malam-malam yang ganjil.
Rasulullah SAW bersabda: “Carilah malam al-Qadar pada 10 malam terakhir pada malam yang ganjil.” (Riwayat Ahmad)
Barangkali, lailatulqadar boleh sahaja jatuh pada malam ke-21 Ramadan tempoh hari atau mungkin juga malam ini (23 Ramadan), 25, 27 ataupun 29 Ramadan.
Hanya ALLAH SWT sahaja yang MAHA MENGETAHUI tarikh sebenarnya.
Menurut Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, hikmah paling utama mengapa tarikh sebenar lailatulqadar disembunyikan daripada pengetahuan semua supaya kita tetap bersungguh-sungguh beribadah pada hari-hari terakhir Ramadan.
“Maka tidaklah kita hanya beribadah dan bersungguh-sungguh pada satu malam tertentu sahaja,” katanya dipetik menerusi ciapan di Twitter miliknya ketika menjawab pertanyaan warganet.
Apabila masuknya sahaja waktu Maghrib, beliau menyarankan umat Islam supaya melakukan apa sahaja jenis ibadah.
“Ketahuilah, apa sahaja ibadah dari malam (bermula Maghrib) hingga terbit fajar (masuk Subuh) telah dianggap mendapat bahagian daripada ganjaran menghidupkan malam al-Qadr,” jelaskan.
Beliau turut berkongsi pandangan Imam Sa’id Ibn al-Musayyib tentang ibadah pada lailatulqadar.
Imam Sa’id berkata: “Sesiapa yang melakukan solat Isyak pada malam al-Qadr, maka dia telah memperoleh bahagiannya daripada (ganjaran beribadah) padanya.” (Riwayat Malik)
Bagi wanita sedang dalam keuzuran ketika tempoh 10 malam terakhir, usah bimbang. Jelas Muhammad Fahmi, terdapat banyak amalan yang boleh dilakukan untuk mendapat pahala lailatulqadar.
Baca juga Edmonton dan Calgary Izin Laungkan Azan Sepanjang Ramadan
Antara amalan tersebut termasuklah:
1. Berdoa dan zikrullah.
Banyakkan berdoa dengan apa sahaja doa kebaikan dan zikrullah seperti tasbih, takbir, tahmid, tahlil serta lain-lain.
2. Mendengar al-Quran.
Walaupun wanita haid tidak boleh membaca al-Quran, namun mereka boleh sahaja mendengar bacaan ayat suci kalam ALLAH itu. Mendengar al-Quran juga suatu ibadah dan salah satu cara mengambil manfaat daripada kitab suci umat Islam.
3. Menuntut ilmu.
Menuntut ilmu khususnya ilmu fardu ain merupakan ibadah yang utama. Bahkan, ia lebih afdal berbanding solat sunat. Caranya dengan membaca atau mendengar kuliah dan ceramah ilmu.
4. Sekiranya seorang wanita itu menyediakan juadah bersahur, maka ia turut menghasilkan pahala ibadah pada malam al-Qadr.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mempersiapkan (peralatan) bagi mereka yang pergi berperang, dia juga (dianggap) telah pergi berperang. Dan sesiapa yang menjaga (kebajikan) keluarga seseorang yang pergi berperang, dia juga dianggap telah pergi berperang.” (Riwayat Muslim)
Pendek kata, jelas pendakwah itu, apa sahaja ibadah yang tidak disyaratkan bersih daripada haid boleh dilakukan.
“Walaupun ibadah itu tidak saya nyatakan di atas, ia tetap akan menghasilkan pahala pada malam al-Qadr,” katanya.
Rupanya tidaklah sesukar mana untuk kita meraih imbalan pada malam agung itu. Marilah kita bersama-sama mengambil kesempatan dengan meningkatkan amal ibadah dalam bulan Ramadan sebelum ia pergi meninggalkan kita.
Foto: Freepik