DUNIA ibarat mazra’atul akhirat iaitu ladang yang diusahakan untuk bercucuk tanam bagi menuai hasilnya di akhirat. Justeru setiap amalan umat Islam di muka bumi ini akan membantu memberatkan amalan kebajikan di akhirat kelak.
Bekalan yang dibawa mestilah berdasarkan sumber yang sahih iaitu dari al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak Ulama dan bukanlah bekalan yang boleh menyebabkan kita terjerumus ke neraka.
Di dalam al-Quran ada diterangkan ancaman daripada ALLAH SWT yang jelas sangat menakutkan kepada pelaku maksiat.
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras dan kasar (layanannya). (Surah at-Tahriim, ayat 6)
Menerusi perkongsian daripada pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Anuar, di laman sosial YouTubenya ada empat amalan yang dapat membantu memberatkan timbangan di akhirat.
1. Melaksanakan solat sunat rawatib ba’diyah dan qabliyah
Solat sunat rawatib adalah merujuk kepada solat-solat sunat yang mengiringi dan mengikuti solat fardu, sama ada sebelum atau selepas solat fardu lima waktu.
Solat Rawatib ini terbahagi kepada dua, iaitu:
a) Solat sunat Qabliyyah (solat sunat sebelum solat fardu)
b) Solat sunat Ba’diyyah (solat sunat selepas solat fardu)
Jika berkesempatan, lakukan solat sunat ini. Hal ini kerana, ALLAH telah berjanji mengharamkan neraka bagi mereka yang melaksanakannya. Daripada Ummu Habibah RA, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengerjakan solat 4 rakaat sebelum Zuhur (Qabliyyah) dan 4 rakaat selepasnya (ba’diyyah), ALLAH akan mengharamkan neraka baginya.” (Hadis Riwayat an-Nasa’i)
2. Puasa
Puasa yang dilakukan dengan ikhlas mengikut tuntutan syarak akan menerima ganjaran pahala yang amat besar dan membantu memberatkan amalan di akhirat kelak. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:
“Di syurga terdapat lapan pintu, diantaranya ada pintu yang bernama ar-Rayyan. Tidak diizinkan masuk melaluinya kecuali orang-orang berpuasa.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Baca juga Status puasa apabila meninggalkan solat
Pahala puasa akan hanya digunakan apabila kita menghadapi timbangan amal (mizan) untuk menimbang dosa dan pahala di hadapan ALLAH. ALLAH membayarnya dengan pahala puasa dan hanya DIA sahaja yang MAHA MENGETAHUI nilai tersebut.
Perkara ini dinyatakan di dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud:
Firman ALLAH yang bermaksud: “Semua amal perbuatan anak Adam adalah untuk-NYA, kecuali puasa, ia adalah kepunyaanKU, dan AKU-lah yang akan membalasnya. Dan bagi orang yang berpuasa diberikan dua kegembiraan.
“Satu kegembiraan ketika berbuka dan satu kegembiraan lagi ketika menemui Tuhannya (menerima balasan yang telah dijanjikanNYA). Dan sesungguhnya bau yang keluar dari mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi ALLAH daripada kasturi.” (Hadis Riwayat Tabrani)
3. Akhlak yang baik
Antara akhlak baik yang boleh kita amalkan ialah dengan memiliki sifat-sifat mahmudah seperti ikhlas, jujur, amanah, sabar, zuhud, qanaah, syukur, dan reda dengan takdir yang ALLAH tentukan.
Dari Abu Hurairah RA, beliau berkata: “Rasulullah pernah ditanya tentang sesuatu yang paling banyak memasukkan manusia ke dalam syurga, maka baginda pun menjawab, “Takwa kepada ALLAH dan akhlak yang mulia.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)
Baca juga Akhlak Di Laman Sosial Adalah Cerminan Status Hati Kita. Sama-Sama Kita Renungkan
4. Membaca Ayat Kursi
Berilah sedikit ruang waktu untuk membaca ayat Kursi selepas mengerjakan solat fardu kerana ia sangat mudah dan ringkas yang boleh dijadikan amalan.
Daripada Sayyidina Abu Umamah (al-Bahili) RA berkata: Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang membaca Ayat Kursi setiap kali selepas solat fardu, tidak ada yang boleh menghalangnya daripada memasuki syurga kecuali kematian.” (Hadis Riwayat an-Nasa’i).
Marilah kita pertingkatkan amal-amal soleh kita dan lakukanlah dengan ikhlas semata-mata kerana ALLAH. Pertingkatkan empat amalan kebaikan seperti di atas sebagai usaha-usaha kita untuk memberatkan timbangan amal pahala kita untuk menghadapi alam akhirat yang kekal selamanya.
Foto: Canva