TERDAPAT 10 akhlak murni yang wajar diteladani berdasarkan ayat-ayat suci al-Quran.
Kalamullah tersebut diibaratkan sebagai manual kehidupan dan menyentuh pelbagai aspek penting yang membentuk sebuah insan seperti akhlak.
Baca juga Model keluarga terbaik disebutkan dalam al-Quran
Perihal akhlak, al-Quran sudah pun memberikan acuan yang terbaik untuk dituruti seluruh umatnya. Dinukil daripada sebuah hantaran di akaun media sosial, Soul Fitness Centre, ada beberapa akhlak yang pernah disebutkan oleh ALLAH SWT untuk diikuti oleh para Muslimin, iaitu:
1. Tidak mencela orang lain
“…Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain…” (Surah al-Hujurat, ayat 11)
2. Menepati janji
“…Dan jagalah sumpahmu…” (Surah al-Maidah, ayat 89)
3. Menahan kemarahan
“…dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), ALLAH mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Surah Ali Imran, ayat 134)
Baca juga Empat perkara yang lebih berharga daripada isi dunia
4. Bersangka baik kepada orang lain
“Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata”.” (Surah an-Nur, ayat 12)
5. Tidak bergosip
“Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.” (Surah an-Nur, ayat 15)
Baca juga Ketahui 5 cara hapuskan dosa mengumpat
6. Jauhkan diri daripada perbualan buruk
“Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.” (Surah al-Mukminun, ayat 3)
7. Sentiasa merendah diri
“Dan hamba-hamba (ALLAH) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.” (Surah al-Furqan, ayat 63)
8. Balas kejahatan dengan kebaikan
“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Surah Fussilat, ayat 34)
9. Tidak mengutuk agama lain
“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari ALLAH…” (Surah al-An’am, ayat 108)
Baca juga Enam situasi dibolehkan mengumpat yang anda perlu tahu
10. Tidak boros dan kedekut
“Dan juga mereka (yang diredhai ALLAH itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Surah al-Furqan, ayat 67)
Semoga perkongsian ini disematkan dalam jiwa untuk dijadikan amalan dalam kehidupan seharian kita semua.
10 akhlak murni yang perlu diteladani berdasarkan al-Quran
Foto: Pexels