PECAHAN-PECAHAN berkaitan faraid disebut secara dominan dalam al-Quran iaitu enam pecahan daripada lapan yang disebut oleh ALLAH SWT.
Penceritaan bernombor ini menjadi sebahagian bukti mukjizat al-Quran dalam kepelbagaian gaya penerangan sesuatu hukum. Penguasaan pecahan faraid ini menggambarkan suatu bentuk formula yang memerlukan kepada kekuatan dan ketelitian ingatan dalam pembahagian setiap harta pusaka si mati.
Di pihak waris, pengetahuan asas tentang agihan harta pusaka bermula dengan maklumat berkaitan pecahan dalam pembahagian faraid.
Hal ini penting bagi memastikan harta pusaka yang ditinggalkan si mati diberikan haknya kepada mereka yang berhak. Pecahan-pecahan faraid ini berperanan memperincikan lagi habuan yang diperoleh setiap waris si mati selepas kenyataan yang umum melalui firman ALLAH: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh ALLAH).” (Surah an-Nisa’, ayat 7)
Baca juga Usah gunakan kata nista semata-mata untuk dapatkan hak faraid
Pecahan-pecahan nombor yang selalu dipelajari dalam matematik menjadikan ilmu faraid bersifat unik dan tersendiri. Enam pecahan yang khusus berkaitan perundangan faraid ialah satu perdua [1/2], satu perempat [1/4], satu perlapan [1/8], dua pertiga [2/3], satu pertiga [1/3] dan satu perenam [1/6].
Setiap waris yang mendapat pecahan-pecahan ini akan digelar dengan waris ashab al-furud iaitu mereka yang memperoleh harta pusaka secara tetap. Waris ashab al-furud terdiri daripada 12 orang yang meliputi empat orang lelaki dan lapan orang perempuan. Ringkasan formula pecahan faraid kepada setiap waris ashab al-furud adalah seperti jadual 1.
Jadual 1 ini menunjukkan setiap waris memperolehi bahagian masing-masing mengikut pecahan yang ditetapkan berdasarkan situasi dan syarat yang diperincikan dalam perbahasan ilmuan faraid. Sebagai contoh, suami kepada si mati (isterinya) memperoleh dua bahagian faraid iaitu satu perdua (1/2) atau satu perempat (1/4).
Suami akan mendapat satu perdua apabila isterinya meninggal dunia dan tidak meninggalkan sebarang zuriat iaitu anak atau cucu daripada anak lelaki dan ke bawah.
Baca juga Hak faraid bagi balu dan duda yang wajib kita tahu
Manakala suami akan mendapat satu perempat apabila isterinya yang meninggal dunia meninggalkan syarat sebelum ini. Begitulah yang berlaku kepada waris ashab al-furud lain yang akan memperolehi faraid mengikut syarat yang ditetapkan.
Dalam agihan faraid secara pecahan, dapat difahami keanjalan hukum Islam itu sendiri kerana meraikan kepelbagaian kondisi keluarga si mati dan perbezaan nilai harta yang ditinggalkan.
Walaupun waris antara dua individu berkemungkinan sama, tetapi nilai harta pusaka biasanya berbeza. Oleh itu, penentuan dalam bentuk pecahan adalah signifikan dan dapat mengagihkan nilai harta pusaka sebenar kepada setiap waris.
Sebagai contoh dalam jadual 2, dua orang (si mati A dan si mati B) meninggal dunia meninggalkan waris yang sama iaitu ibu, seorang isteri dan seorang anak lelaki. Penyelesaian faraid untuk keduadua si mati ialah sama iaitu ibu mendapat 1/6 (menyamai 4/24), isteri mendapat 1/8 (menyamai 3/24) dan anak lelaki mendapat baki iaitu sebanyak 17/24.
Dengan andaian si mati A meninggalkan harta sebanyak RM12,000 dan si mati B meninggalkan RM36,000, maka setiap waris akan memperoleh habuan yang berbeza walaupun pecahan asal adalah sama.
***Artikel ditulis oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Zahari Mahad Musa
Foto: 123rf & Freepik