SUJUD syukur merupakan sujud yang dilakukan untuk menzahirkan rasa terima kasih kepada ALLAH SWT atas nikmat yang hadir secara tiba-tiba atau terselamat daripada sesuatu bala.
Ramai di antara kita yang terus melakukan sujud syukur tanpa mengetahui rukun dan sebab mengapa sujud syukur ini dilakukan.
Pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus, di laman media sosialnya, berkongsi mengenai sebab-sebab yang membolehkan seseorang melakukan sujud syukur.
Beliau menjelaskan, sujud syukur hukumnya adalah sunat kerana mengikut perbuatan Nabi SAW.
Daripada Abi Bakrah RA daripada Nabi SAW “Sungguhnya apabila datang kepada Nabi suatu perkara yang menggembirakan atau disampaikan kepadanya berita gembira lalu Nabi pun turun sujud kerana syukur kepada ALLAH.” (Hadith Riwayat Abu Daud dan Tirmizi dan Ibnu Majah)
SYARAT SAH SUJUD SYUKUR
Disyaratkan bagi sahnya sujud syukur itu suci dari hadas kecil dan besar dan suci dari najis pada badan dan pakaian dan tempat sujud dan menutup aurat dan mengadap kiblat.
RUKUN SUJUD SYUKUR
1. Takbir dengan niat hendak sujud syukur samada ketika berdiri atau duduk.
2. Sujud sekali dan sunat membaca bacaan seperti bacaan sujud sajadah atau bacaan dalam sujud biasa atau puji-pujian kepada ALLAH.
3. Duduk seperti duduk sembahyang dan memberi salam.
Sujud syukur hanya dilakukan sekali sahaja seperti sujud sajadah dan tidak boleh dilakukan sewaktu dalam solat dan jika dilakukan didalam solat nescaya batal solatnya. Sujud syukur ini hukumnya sunat bukan wajib melainkan dengan sebab bernazar.
Menurut Imam Nawawi seperti yang dipetik daripada Kitab ar-Raudhah at Talibin, syarat sujud syukur itu seperti syarat sujud sembahyang dan cara sujudnya sama seperti sujud sajadah di luar sembahyang dan tidak harus sujud syukur itu dilakukan dalam sembahyang sama sekali.
SEBAB DISUNATKAN SUJUD SYUKUR
Sebab disunatkan sujud syukur ialah kerana mendapat nikmat atau terlepas dari ujian. Maksud nikmat itu ialah nikmat yang baru berlaku dan nikmat yang besar.
Contoh nikmat yang besar itu ialah seperti mendapat zuriat, membeli rumah atau membeli kenderaan, mendapat pekerjaan atau mendapat jodoh, menemui kembali hartanya yang dicuri atau hilang dan seumpamanya.
Baca juga Bersujudlah selalu, agar wajah kekal berseri sepanjang hari
Manakala, mendapat nikmat yang kecil tidak disunatkan sujud syukur seperti makan nasi, minum kopi, mandi atau memakai pakaian baru dan sebagainya.
TIDAK SUNAT SUJUD SEBAB NIKMAT YANG BERKEKALAN
Begitu juga tidak disunatkan sujud syukur kerana nikmat yang sedia ada seperti Islam, sihat tubuh badan, pendengaran, penglihatan dan seumpamanya.
Imam Nawawi juga menyebut, “Dan tidak disunatkan sujud kerana nikmat yang berkekalan.”
Menurut Syeikh Zakaria Al-Ansari pula, “Dan keluar dengan sebab nikmat yang baru datang itu ialah nikmat yang sudah kekal ada seperti sihat tubuh badan dan Islam dan cukup keperluan hidup maka tidak disujudkan kerananya sebab ia tidak berkeputusan.” (Kitab Ghararul Bahiyyah Syarah Al-Bahjah Al-Wardiyah)
Tetapi jika sihat itu datang selepas sakit, memeluk agama Islam, berubah hidup dari miskin menjadi kaya maka disunatkan ia sujud syukur.
Baca juga 6 reka bentuk masjid unik seluruh dunia membuktikan Islam meraikan kepelbagaian budaya
Rasulullah SAW juga hanya melakukan sujud syukur apabila mendapat satu berita yang menggembirakan.
Tidak disunatkan sujud syukur apabila mendapat berita gembira yang menyalahi syarak atau perkara lagha (lalai) seperti mendapat berita menang pertandingan menyanyi dan menari dan sebagainya.
TERLEPAS DARI MALAPETAKA ATAU MUSIBAH
Terlepas dari musibah ialah terlepas dari bala atau malapetaka yang besar seperti sembuh dari penyakit, terselamat dari kemalangan, kebakaran, lemas dan seumpamanya yang memudaratkan agama, nyawa dan harta bendanya.
SUJUD SYUKUR KERANA BEBAS DARIPADA PENJARA
Sujud syukur yang dilaukukan oleh seseorang yang mendapat nikmat kebebasan setelah keluar daripada penjara sekalipun ia masuk kerana melakukan kesalahan.
Imam As-Syafie di dalam Kitab Al-Bayan fi Fiqhi menyebutkan “Barang siapa yang baru terjadi atasnya satu nikmat yang besar seperti dikurniakan ALLAH seorang anak atau harta atau menemui hartanya yang hilang atau terlepas daripadanya satu petaka yang besar seperti jika dia telah dipenjarakan lalu dibebaskan atau dia sakit lalu sembuh atau dibinasakan musuhnya maka disunatkan bahawa dia lakukan sujud kerana syukur kepada ALLAH.”